Monday, October 12, 2020

ALMARHUM SULTAN BADLISHAH: PELOPOR KEMERDEKAAN TANAH MELAYU

 

DITERBITKAN DALAM BULETIN LINDUNGAN BULAN BIL 31/2019

KELUARAN KHAS SEMPENA MESYUARAT AGONG KE-63

PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA CAWANGAN KEDAH DARUL AMAN

 

 OLEH HAJAH RAHINUN MOHD NOOR, BCK

Selepas perang tahun 1945, Raja-Raja Melayu telah dipaksa dan diugut oleh Inggeris untuk tandatangani perjanjian, sebagai tanda bersetuju dengan penubuhan Malayan Union.  Wakil kerajaan Inggeris  Mac Michael, tidak memberi  masa untuk Raja-Raja berunding dengan majlis masing-masing, malah mengugut Raja-Raja Melayu yang enggan, untuk digantikan dengan Sultan yang lain, kerana mereka akan dituduh atas tuduhan bekerjasama dengan Jepun.

Sehubungan itu, Tuanku Sultan Badlishah yang menyedari tipu muslihat Inggeris, telah menggunakan saluran diplomasi menghantar surat bantahan rasmi menentang Malayan Union kepada Setiausaha Negara Britain, dan salinan-salinannya dikirimkan kepada Perdana Menteri Britain, Pemangku Ketua Pembangkang Britain Mr Anthony Eden. Selain itu baginda juga telah menulis surat kepada Sir Shenton Thomas Mantan Pesuruh Jaya Tinggi British, menyatakan rasa kesal dan kecewa terhadap sikap kerajaan British yang berhasrat menjajah Tanah Melayu. Dalam surat itu juga dinyatakan bahawa Sultan-Sultan lain telah dipaksa menandatangani perjanjian baharu itu tanpa sebarang rundingan dan baginda memaklumkan rasa kecewa yang teramat sangat, bantahan baginda tidak dipertimbangkan. Bersama surat itu juga baginda mengemukakan satu petisyen yang telah dikemukakan kepada Setiusaha Negara Britain. Baginda juga mencadangkan agar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya bebas mengkaji pandangan sultan dan pandangan rakyat terhadap Malayan Union.

Di samping itu baginda telah menyatakan bantahan  menentang Malayan  Union, dalam surat yang dihantar  kepada DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Baginda juga menyatakan dengan jelas bantahannya, dan memaklumkan kekecewaan dalam surat itu, tentang beberapa pucuk surat yang telah dihantar kepada pihak Inggeris yang tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.

Di samping surat bantahan rasmi, baginda juga telah menghantar surat kepada Pengarang sebuah akhbar Britain, menerangkan bahawa tandatangan pembentukan Malayan Union, bukanlah tandatangan yang diperoleh secara sukarela tapi mereka telah dipaksa dan diugut. Baginda juga telah menulis surat kepada sahabat baginda Mr Stowell, menyatakan perhargaanya kerana bersimpati dengan orang Melayu, dan memaklumkan baginda telah melantik seorang peguam John Foster untuk untuk mewakili sultan menentang Malayan Union.

Sebagai kemuncaknya orang Melayu bersama pemimpin masyarakat telah membantah , dengan mengadakan perhimpunan Anti Malayan Union. Di Kedah seramai 50,000 orang telah membanjiri Padang Court di Bandar Alor Setar, menyataka tentangan secara terang-terangan kepada pihak British dan gagasan Malayan Union. Bantahan rakyat ini direstui dan disertai oleh sultan-sultan,  termasuklah baginda Sultan Badlishah. Jadi baginda Sultan telah berusaha secara diplomasi dengan pihak British menentang Malayan Union melalui surat-surat yang dihantarnya, dan di samping itu baginda terus memberikan  sokongan kepada perjuangan dan tindakan rakyat  jelata, sehingga akhirnya Malayan Union gagal dilaksanakan dan Tanah Melayu mengorak langkah menuju proses ke arah kemerdekaan,  sehingga akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Alhamdulillah.

 

No comments:

Post a Comment