Saturday, October 10, 2020

ALMARHUM TUANKU ABDUL MALIK PENAUNG PSMCK DALAM KENANGAN

DITERBITKAN DALAM BULETIN LINDUNGAN BULAN BIL 28/2016

KELUARAN KHAS SEMPENA MESYUARAT AGONG KE-60

PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA CAWANGAN KEDAH DARUL AMAN (PSMCK)

 

OLEH HAJAH RAHINUN MOHD NOOR, BCK

 


Tanggal 29 November 2015, rakyat negeri Kedah telah dikejutkan dengan berita sedih kemangkatan DYTM Tuanku Raja Muda Kedah. Berita  sedih dan dukacita itu telah dimaklumkan,  bahawa Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman, Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah, telah mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah, kira-kira pukul 1 pagi. Baginda mangkat pada usia 86 tahun, akibat kegeringan dan sakit tua, lebih kurang 2 bulan selepas kemangkatan isteri baginda Almarhumah Tengku Hajah Raudzah binti Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj.

 

Mengenang kembali riwayat hidup baginda, Tunku Abdul Malik diputerakan pada 24 September 1929 di Istana Anak Bukit, Kedah. Tunku Abdul Malik merupakan adinda kepada DYMM Tuanku Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang kini dilantik sebagai  Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong buat kali yang ke-2.  Tuanku Abdul Malik merupakan putera kepada pasangan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dengan Yang Amat Mulia Tunku Sofiah Binti Almarhum Tunku Mahmud.

 

Pada zaman kanak-kanak, Tunku Abdul Malik mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah. Di sinilah baginda berpeluang dapat bergaul dengan rakan-rakan sedarjahnya, yang menjadikannya lebih memahami akan kehidupan dan keadaan hidup rakyat biasa.  Pengalaman itu amat bermakna dalam pembentukan seorang  anak raja sehingga menyantuni peribadinya yang perihatin dan berjiwa rakyat. Selepas itu baginda menyambung  pelajaran  menengah ke Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Kemudian baginda melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi di Wadham College, Oxford, United Kingdom, dalam bidang Ilmu Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.

 

Tunku Abdul Malik menamatkan zaman bujangnya apabila bertemu jodoh dengan puteri Sultan Selangor iaitu Yang Amat Mulia Tengku Raudzah Binti Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj. Baginda berkahwin pada 16 Julai 1956 di Istana Bukit Kota, Alor Star.

 

Apabila Ayahanda baginda mangkat pada 13 Julai 1958 dan kekanda baginda Tunku Abdul Halim dilantik sebagai Sultan Kedah, baginda telah berkenan untuk mengurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah kepada Tunku Abdul Malik pada 23 Februari 1959. Akhirnya Tuanku Sultan telah berkenan melantik Tunku Abdul Malik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah berkuatkuasa 28 November 1981.

 

Oleh kerana baginda menceburi bidang pendidikan  dalam  Ilmu Kemasyarakatan, maka  tidak hairanlah baginda telah berkenan menjadi Penaung kepada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), sejak persatuan ini  diasaskan pada tahun 1956, sehingalah kemangkatan baginda (2015). Di bawah naungan baginda persatuan ini bergerak semakin hari semakin maju.

 

Sehingga kini PSMCK sudah genap mencecah usia 60 tahun, sehingga dapat memantapkan budaya dan jati diri masyarakat Kedah, melalui kecintaan terhadap sejarah. PSMCK bergerak aktif dalam memasyarakatkan ilmu sejarah, melalui pelbagai aktiviti yang direncanakan saban tahun. Sehubungan itu, Baginda DYTM Raja Muda Tunku Abd Malik, telah memberikan sokongan yang kuat kepada PSMCK dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan pada setiap masa.

 

PSMCK amat merasakan kehilangan baginda kerana sepanjang penglibatan  baginda, boleh dikatakan setiap agenda besar PSMCK akan mendapat  sentuhan baginda. Begitu juga setiap majlis dan program-program budaya dan akdemik, akan diserikan jua dengan kehadiran baginda. Sokongan dan keterlibatan baginda amat menyumbang dan menambahserikan lagi majlis dan aktiviti persatuan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda dan dimasukkan di  kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

 

No comments:

Post a Comment