Tuesday, May 8, 2018

DAY 3 (1) 14 APRIL: BERAT - STRUGA - OHRID (MECEDONIA)


14 APRIL - SABTU
BERAT ALBANIA - STRUGA - OHRID MECEDONIA



Pagi di Berat Albania nyaman dan damai. Sayup-sayup kedengaran bunyi azan dari mesjid terdekat dengan Hotel Grand White City tempat kami menginap. Kami telah diaturkan berjemaah sembahyang subuh di sebuah bilik yang ditempah khas oleh Kak Zaharah ketua kumpulan kami. Sungguh syahdu berjemaah di bumi Albania yang satu masa dahulu tidak dibenarkan mana-mana agama sekalipun diamalkan oleh penduduk negeri itu. Tapi sekarang semua telah berubah. Sinar Islam sudah mula berkedip dan syiarnya dapat dirasakan bila berada di sini, dan masyarakat Islam pula sudah mula berjinak-jinak dengan agama. Sekurang-kurangnya sudah dapat kedengaran azan bergema di masjid-masjid. Selepas itu ada penduduk yang berjemaah di sana, itupun sudah merupakan satu pencapaian, ke arah menegakkan syiar Islam. Waktu subuh masuk pukul 4.20 pagi waktu Albania, tapi penduduk tempatan mendirikan sembahyang subuh lebih sejam selepasnya, jadi kami pun solat subuh pagi itu jam 5.40 pagi. Sungguh syahdu dirasakan oleh semua jemaah semasa bermunajat di bumi Balkan itu. Walau suasana dan bumi yang berbeza, cuaca juga berbeza, orang yang tidak sama budaya, berlainan pula rupa parasnya, tapi disatukan oleh satu pegangan iktikad yang serupa menjunjung keesaan Allah yang satu. 

Kemudiannya, pagi yang ceria itu selepas subuh diserikan lagi dengan menikmati hidangan sarapan yang sungguh meriah dengan pelbagai jenis roti, buah-buahan, dan biskut. Kami sungguh teruja dengan jem pelbagi rasa buah-buahan  seperti strawberi, buah teen dan 'peach' hasil kilang pengusaha hotel itu. Setelah merasa keenakannya  kami hampir semuanya membeli jem segar dari kilang sebagai buah tangan. Kami juga turut membeli minyak zaiton segar dari kilang milik Pengurus itu.

Tepat jam 8.00 pagi, dalam suasana dingin  di awal musim bunga, bas kami mula bergerak menuju destinasi seterusnya Mecedonia. Menurut Liere perjalanan kami akan memakan masa lebih kurang 4 jam. Keindahan bandar  Berat bandar tradisi itu sedikit demi sedikit kami tinggalkan.  

Di sepanjang jalan di pinggir bandar, kami mula melihat kawasan-kawasan ladang ditanam pokok bawang (leeks) yang bunganya kelihatan kekuningan. Ada kawasan yang pokoknya masih belum berbunga kelihatan sungguh hijau sejuk mata memandang. 

Selain itu dapat dilihat pokok-pokok epal atau plum yang sedang berbunga gebu keputihan atau kemerahan ditanam di kawasan ladang persendirian. Senario yang menarik di sepanjang jalan di kawasan pedalaman ini ialah satu kawasan ladang ditanam pelbagai jenis  tanaman, seperti bawang, anggur, epal dan plum. Ia kelihatan seperti hiasan di halaman rumah yang disusun atur dengan rapi dan kelihatan sungguh cantik.

Oleh kerana cuaca agak dingin jadi kami berhenti sekejap minum kopi di sebuah restoren di tepi sungai yang airnya sungguh deras. Kami ambil peluang juga untuk ke bilik air melepaskan hajat. Kemudian kami berhenti juga di tepi jalan untuk membeli buah-buah segar, iaitu  strawberi yang baru mula dituai.

Seterusnya kami mula melalui kawasan pedalaman yang berbukit bukau. Sesekali dapat dilihat rumah-rumah di lerang bukit. Kawasan ini adalah kawasan yang penduduknya miskin hidup bercucuk tanam. Mereka tinggal jauh dari bandar dan jauh dari sekolah, serta perhubungan pun susah dengan dunia luar. Selain bercucuk tanam tiada apa-apa hasil industri kecuali kilang alluminuim yang tidak lagi ber0perasi. Sesekali dapat juga dilihat kesan-kesan jalan keretapi yang telah rosak dan tidak digunakan lagi. Keretapi itu gunanya mengangkut aluminium untuk ke pelabuhan. 


Itu pun telah dimusnahkan semasa zaman komunis berkuasa. Liere kata Komunis sangat 'pandai' memusnahkan apa-apa yang ada.  Melihat kawasan berbukit bukau itu Liere memberitahu pada musim sejuk kawasan ini diliputi salji. Kadang-kadang kelihatan rangka-rangka jambatan besar yang telah  rosak semasa zaman komunis. Memang jelas kesan tinggalan itu, dalam diam kita mengakui kata-katanya itu. Sayang sekali semua tinggalan besar itu kata Liere dibuat atas kerahan tenaga rakyat  tapi masa zaman Komunis memerintah, aset perhubungan itu musnah begitu sahaja. Dalam diam kita amat bersyukur kerana negara kita tidak mengalami saat perit getir di bawah komunis, alhamdulillah. 
Kami kemudiannya tiba di sempadan Albania, cop passport keluar dan masuk pula ke Mecedonia lebih kurang jam 12,30 tengah hari. Urusan Imegresen di dua sempadan itu memakan masa bebih daripada sejam.


No comments:

Post a Comment