Sunday, May 6, 2018

DAY 2: (2) TIRANA - BERAT (ALBANIA)


13 APRIL - JUMAAT
ISTANBUL  - TIRANA - BERAT ALBANIA

SCANDERBAG SQUARE:
Bangunan Parlimen

Selepas setengah jam di Thereza Square kami bergerak ke Scanderbag Square pula. Dalam perjalanan kami ditunjukkan dengan bangunan House of Parliment, Congress Palace dan Bangunan Perdana Menteri (Prime Minister Building). Kami juga melalui sebuah bangunan berbentuk piramid yang dipanggil Pyramida, iaitu sebuah dewan besar. 

Rumah Perdana Menteri
Pyramida
Kami berjalan ke Scandrbag Square kerana bas tidak dibenarkan ke kawasan itu. Ia suatu kawasan lapang yang sangat luas, di kiri bahagian hadapan ialah muzeum Albania yang tersergam, yang  telah dilukiskan mural besar di bahagian atas hadapannya. Lukisan itu  mempamerkan sejarah Albania dari zaman silam hinggalah ke zaman moden sekarang. Di sebelah kiri bahagian depan pula ialah  Opera House yang besar tapi malangnya masyarakat di situ tidak lagi berminat dengan pertunjukan-pertunjukan, ia kononnya menjadi gajah putih sahaja. Selepas itu Kami pergi ke Ethem Bay Mosque, terletak di sisi Opera House, tapi malangnya ia masih dalam proses penambahbaikan dan pembesaran, maka kami tidak berpeluang masuk ke dalamnya. Sekadar memandang dari luar pagar dapat dirasakan, mesjid itu suatu masa dahulu, sudah pastilah ramai umat Islam yang mengimarahkannya, terutamanya di zaman Khalifah Uthmaniah. Kini ia tinggal sepi, namun kekal sebagai lambang sejarah yang mempamerkan kegemilangan empayar Islam yang kini tersimpan dalam lipatan sejarah cuma.

Di hadapan Museum Tirana
Patung 'hero' Albania

Mesjid dari luar pagar
Di hadapan mesjid itu, di tengah Kawasan lapang,  tersergam patung seorang yang dikatakan wira Albania. Ia dahulunya dibesarkan oleh salah seorang pegawai tentera Khalifah, dan merupakan orang kepercayaan tentera itu tapi ia telah belot dan menentang tentera Uthmani dan kononnya membebaskan Albania dari pengaruh Islam. Kononnya dialah wira Albania, tapi sebenarnya dia adalah pembelot kepada orang yang berjasa kepadanya. Sungguh malang, moralnya musuh dalam lipatan sungguh berbahya dan boleh membawa kepada kemusnahan, dan itulah yang berlaku kepada kerajaan Uthmaniah. Selesai lawatan di situ dengan perasaan yang terharu, kami dibawa menjamu selera di Restoren Pizza Ena - menunya sup dengan roti, salad dan nasi.

Selesai menjamu selera
Selepas makan jam 1.20 tengah hari kami meneruskan perjalanan ke Berat. Kami berniat untuk sembahyang jamak takhir di Berat. Di sepanjang jalan kelihatan banyak ditanam pokok bawang putih, yang luas terbentanag seperti permaidani hijau. Di samping itu banyak juga kelihatan pokok-pokok anggur baru bertunas, dan pokok-pokok zaiton juga ditanam dengan banyak di halaman rumah dan di lereng-lereng bukit di sepanjang jalan itu. 
Memasuki bandar Berat
Kami tiba di Berat lebih kurang jam 3.30 petang, disambut oleh Mr Elton Pemandu Pelancong di Berat. Menurut Elton Berat adalah sebuah pekan yang mempunyai banyak mesjid dan gereja.

No comments:

Post a Comment