Wednesday, September 28, 2016

HARI 2: 16 OGOS 2016 (1)


LAWATAN KAJISELIDIK KE BANGKOK 15-20 OGOS 2016
 DAY 2: 16 OGOS 2016 (SELASA)
1      
     1. Mesjid Chakrapong



Berkumpul di Lobbi Hotel Royal, Dr Ibrahim bersama Farid Rizal sebelum sarapan
Pagi-pagi lagi kami sudah berkumpul di lobi.  Lebih kurang jam 9.00, kami sudah bertolak untuk sarapan di Restoran SM Lokhande yang berasal dari India Utara, di hadapan Masjid Chakrapong. Van menurunkan kami di jalan besar, dan kami berjalan melalui sebuah lorong kecil yang terdapat juga banyak gerai menjual makanan yang bebagai-bagai di sepanjang lorong hampir 200 meter itu. Restoran yang bersebelahan Masjid itu, menyajikan kami nasi putih, dan nasi beriyani berlaukkan  ayam yang  kelihatan seperti kari. Ada juga antara kami yang makan roti canai berlaukkan ayam kari juga.

Di hadapan lorong menuju Masjid Chakrapong
Di hadapan Restoran Lokhande
Berbambar Kenangan di dalam Masjid Chakrapong

Selesai  sarapan, kami semua berkumpul di Masjid Chakrapong, sebuah mesjid dua tingkat yang luas dan cantik, yang diimmarahkan oleh penduduk Islam di kawasan itu. Pak Mustaffa telah aturkan dua orang respoden untuk ditemubual, iaitu Haji  Hassan Tok Khatib dan Encik Abdul Karim dari Pejabat Kebudayaan Di Bangkok. Majlis temubual dibuat dalam bahasa Thai, dan diterjemahkan oleh Pak Mus dan Tuan Ramli bekas Pegawai Daerah di Satun yang mengiringi kami.

Dari kiri: Tuan Ramli, Hj Hassan, Pak Mus dan Hj Karim

Dr Kasri memulakan majlis dengan menyatakan 5 fokus temubual iaitu: Membicarakan lokaliti tempat, Kewujudan orang Melayu di Chakrapong, Perkembangan orang Melayu Kedah, Hubung kait orang Melayu atau asal usul orang Melayu Kedah, dan Hal-hal lain yang berkaitan.


Maklumat yang diberikan dalam temubual  2 Responden: Haji Hassan Tok Khatib dan Abdul Karim Chatsuwan


Menjawab soalan Dr Kasri:

Di hadapan Masjid
  1.        Orang Melayu datang ke Siam di daerah Chakrapong lebih daripada 200 tahun dahulu, dari Wilayah Selatan Thai dan menetap di sekirar kawasan Chakrapong ini.
  2.        Penghijran berlaku semasa pemerintahan King Rama ll selepas Perang Pattani Darussalam. Dengan kekalahan itu Siam telah membawa tawanan perang yang dijangkakan terdiri daripada orang penting seperti kaum kerabat Raja Pattani ke Bangkok. Mereka tinggal di sekitar Chakrapong yang berhampiran dengan kawasan istana. Mereka ini dijangkakan sebagai orang penting kepada Raja, kerana kawasan ini merupakan pusat kota pada  zaman dahulu. Di samping itu, terdapat juga tukang-tukang emas atau pandai emas yang turut tinggal di Chakrapong. Raja membawa tukang emas tinggal di istana menjadi tukang untuk ukir emas dan perak bagi kegunaan Raja. Mereka itulah datuk nenek Haji Hassan danAbdul Karim yang memakai nama keluarga Chatsuwan yang bermaksud paying emas.       Menurut orang tua-tua dulu-dulu terdapat seorang tua bernama Haji Ali Omari yang mewakafkan tanah di sini untuk dibina mesjid pada tahun 1922. Haji  Ali bekerja kampung, tapi dia orang pandai sebab telah berhijran pergi mengaji di Mekah. Jadi Haji Ali dilantik jadi ketua dalam komuniti di kawasan ini selepas balik dari Mekah dan dia  dikenali sebagai Tok Ki Ali.
  3. Dulunya mesjid ini dalam kawasan istana jadi tidak dibenarkan dan tidak boleh ada kubur. Di Chakrapong tiada kubur orang Islam. Kawasan kubur tidak mencukupi jadi, jadi berlaku proses tindan mayat di atas kuburan orang lain yang barangkali adik beradik atau sanak saudara.
  4.        Semua orang Melayu Islam di Bangkok dikuburkan di Mahanak. Orang berketurunan raja atau bangsawan juga dikebumikan di Mahanak lebih kurang 5 kilometer dari Chakrapong.  
  5.        Bahasa pertuturan nenek moyang Tok Khatib ialah bahasa Melayu sebab asal keturunan mereka dari Pattani, tetapi sekarang bahasa Melaya sudah semakin hilang, kerana kurang digunakan oleh generasi muda.
  6.       Dulu-dulu Haji Ismail juga dikenali sebagai Sheikhul  Islam Ahli Sunnah yang ke-2 (yang pertama Haji Shamsudin 1935). Dia banyak mengajar Kitab Perukunan dalam tulisan jawi dengan perantaraan medium bahasa Melayu. Selepas beliau tiada lagi guru agama yang mengajar agama dalam bahasa Melayu. Selepas itu banyak kitab bahasa Melayu diterjemahkan ke bahasa Thai sekitar tahun 1949, jadi pelajaran agama Islam diajarkan kepada orang Melayu dalam bahasa Thai.

Menjawab soalan Dr Ibrahim 


  1.       Haji Hassan berumur 63 tahun, dan Haji Ramli juga berumur 63 tahun.
  2.       Kawasan Chakrapong tidak jauh dari sungai Chao Phraya iaitu lebih kurang 200 meter sahaja. Sementara  jaraknya dengan kawasan istana lebih kurang 500 meter sahaja. Masjid inilah masjid yang paling dekat dengan istana raja.
  3.       Di kawasan Chakrapong tidak ada orang bekerja sebagai petani atau peniaga, dan sejarah penduduknya juga hanya datang dari Pattani sahaja, tiada orang selain Pattani.
  4.      Tidak pernah dengar cerita tentang anak perempuan seorang pembesar Pattani bernama Wan Jah anak Luang Nik Abidin yang dibawa ke Bangkok dan dipelihara oleh Somdet. Wan Jah kemudiannya dikahwinkan dengan Sultan Ahmad Tajuddin ll dari Kedah (1894).
  5.       Terdapat satu keluarga keturunan Raja bernama Din Dong tinggal di Ban Somdet berhampiran sini.
  6.       Menjawab soalan perjalanan Raja Kedah ke Bangkok yang singgah di kawasan Somdet sebelum mengadap Raja Siam, dalam tempoh 3 bulan dalam tahun 1914 – 1932: kawasan pelabuhan barangkali di sekitar masjid Luang Kuchaa Itsahak atau di Masjid Haroon.

Rumusan Dr Kasri:


  1.      Orang Melayu yang ada di sini tinggal berhampiran istana.
  2.      Keluarga diraja dibawa ke sini diberi layanan baik dan ada yang dikahwinkan dengan Raja Kedah.
  3.      Rombongan patut ke kubur di Mahanak untuk menjejaki kubur Tengku Yusuf.
  4.      Tengku Yusuf kekanda Tunku Abd Rahman, diberi pendidikan bersekolah di Debsirin School, sekolah yang menempatkan anak-anak Raja mendapatkan pendidikan, yang kemudiannya melanjutkan pelajarannya dengan biasiswa Kerajaan Siam ke England. 
  5.     Tengku yusof mangkat dan disemadikan di Kuburan di Bangkok barangkali di Mahanak dan tulang-tulang dibawa balik ke Kedah. Tapi masalahnya  kubur di Mahanak itu  tiada batu nesan.
  6.      Tidak tahu cerita tentang kewujudan Tunku Abdul Rahman di Chakrapong dan cerita Tunku naik basikal dengan kawannya Taween di Bangkok ini.
  7.     Pada zaman dahulu kalau orang kaya yang datang ke Bangkok, mereka tinggal di sekitar Mesjid Haroon. Ada antara mereka sekitar 100 tahun dahulu, yang mempunyai banyak tanah, mereka tinggal di kawasan sekitar Ramkamheng
Rumusan Dato Wan Shamsuddin

1.       Mahanak pernah disebut dalam filem keluaran Melayu Global, jadi dicadang supaya dibuat filem perjalanan Raja Kedah mengadap Raja Siam.  
2.       En Lokman menambah bahawa orang-orang tawanan daripada kalangan orang biasa dari Pattani yang dibawa ke Bangkok, kemudiannya mereka dikerah tenaga untuk mengorek sungai, yang dikenali sebagai Sungai Samseb sepanjang 72 kilometer. Menurut Pak Mustaffa dalam bahasa Siam, Samseb bermakna  air mata, atau  sengsara, kerana bersempena dengan kesusahan yang dilalui mereka, iaitu mereka telah mengorek sungai dengan menggunakan tangan dan kudrat  tenaga mereka tanpa sebarang bantuan mesin.
   
Rumusan Haji Ramli


1.       Penempatan penduduk di Bangkok berdasarkan aktiviti pertanian, jadi rakyat boleh memiliki tanah untuk bercucuk tanam pelbagai jenis tanaman.
2.       Orang Islam di Bangkok dulunya berniaga dan dan ada juga tawanan perang
3.       Di Bangkok ramai tukang emas atau pandai emas, yang kebanyakannya tinggal dekat dengan istana, kerana mereka berkepentingan kepada Raja yang diperlukan oleh golongan istana.
4.       Zaman dahulu istana terletak di kawasan hampir dengan Chakrapong. Sejarah ibu kota Thailand bermula di Sukhothai, kemudian ke Ayuthiya, Thonburi dan akhir sekali di Bangkok.


Seterusnya lebih kurang jam 11.30 pagi,  semua kami berjalan ke Tanom Tani (Jalan Pattani), untuk makan tengah hari di Restoran Azizah. Kedai yang mempunyai banyak gerai ala Kopi Tiam di Malaysia menyajikan makanan yang pelbagai: nasi putih dan lauk ayam, pelbagai jenis sup, murtabak, popia, dan minuman ikut pilihan sendiri. Selepas makan kami bergerak ke Maha Nak pula.

Jalan Pattani

No comments:

Post a Comment