Saturday, August 20, 2016

HARI 1: 15 OGOS 2016



LAWATAN KAJI SELIDIK KE BANGKOK:  15 – 20 OGOS 2016

Sesungguhnya Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) amat bersyukur kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, pasukan  kajiselidik  telah berjaya untuk bergerak ke Bangkok seperti yang telah diaturkan.  Perjalanan ahli rombongan seramai 13 orang mula bertolak ke Lapangan Terbang Hatyai, dari Muzeum Negeri Kedah tepat jam 2.30 petang. 

Rombongan diketuai  Dato Wan Shamsuddin Pengerusi PSMCK, dan Pengurus Projek Kajiselidik ke Bangkok ialah Dr Kasri Saidon, dibantu oleh setiausaha  Hairul Reazuan Asmayadi yang cekap dan penuh dedikasi. Ahli-ahli lain termasuklah Pengarah Muzeum En Suhadi Shukri, dan pembantunya Zulkhiberi Mat. Seterusnya  Dr Ibrahim Bakar, Dato Shaarani Hassan, Mohd Firdaus Abu Bakar, Sopiah Ramli, M Jamil Ramli, Amirah Rifhan Ahmad Tajudin, Lokman L. Isa dan Rahinun Mohd Noor.

Selesai Urusan Imigresen di Danok
Kemudian lebih kurang jam 4.00 petang, semua kami melepasi sempadan Malaysia-Thai di Bukit Kayu Hitam dan Danok, dengan mudah dan pantas, dibantu oleh Che Man pemandu van dari Satun.  Seterusnya perjalanan dengan van pun cepat  ke airport  sebab Che Man mengambil jalan pintas. Kami dapat ‘check-in’ tepat pada masanya, tapi penerbangan ‘delay’ hampir setengah jam. Jadi dapatlah kami menikmati makan malam yang dibekalkan dengan agak santai dan menyelerakan.

Lapangan Terbang Hatyai dihiasi indah dengan gambar 'Queen' sempena Hari Ibu

Menulis Ucapan Hari Ibu untuk Queen
Penerbangan dari Hatyai ke Bangkok dengan pesawat Thai Smile mengambil masa 1 jam 10 minit. Jadi dalam pukul 10.00 kami sudah tiba di sana. Kami sungguh gembira kerana ketibaan kami disambut oleh Tuan Ramli seorang petugas di FICT, yang akan bersama kami sepanjang 6 hari nanti. Tapi pergerakan kami yang kebanyaknya warga emas agak lambat. Begitu juga urusan mengambil bagasi juga sangat lambat, lebih kurang sejam baru semuanya selesai.

Selesai mengambil bagasi di Swarnabumi Airport Bangkok
Jadi kami hanya boleh menaiki teksi ke hotel  sejam selepas itu. Kami tiba di Hotel Royal Rattanakosin, Khausan, sebuah hotel terkenal di Bangkok terletak di No 2, Jalan Rajdamnern Avenue, sejak lebih 50 tahun yang lalu, sudah agak lewat tengah malam sebab, terkandas dalam kesesakan lalu lintas yang teruk di Bangkok. Walau bagaimanapun lebih kurang jam 1 pagi, kami semua telah mendapat bilik masing-masing dan dapatlah berehat untuk mengumpul tenaga bagi pergerakan seterusnya di esok hari. 
Tiba di Hotel Royal

No comments:

Post a Comment