Friday, August 5, 2016

EMAK OH EMAK


Hari ini sudah lebih tiga bulan, bersama emak di rumah. Selama itulah rutin harian macam biasa, dressing, minum pagi, senaman, rehat, dan tidur. Sesekali sibuk juga melayan tetamu yang datang berkunjung, dan mengadun sanak saudara yang datang melawat dia. Sesekali emosinya terganggu, marah-marah, merungut, meracau dan kadang kala menangis tanpa sebab. Sekarang dah kurang sikit rungutannya untuk balik ke rumahnya yang telah lama ditinggalkan. Sekarang juga telah berkurang rungutannya mahu telefon anak cucu untuk datang membantu, supaya dia tidak sunyi. Juga sudah kurang didengar arahannya untuk menjaga harta bendanya yang ada di rumahnya itu.

Semakin hari semakin kasihan sungguh, melihat emak yang ingatannya sudah tidak seperti biasa lagi. Fikirannya lebih kelihatan kacau, daripada normalnya. Sering kali dia beritahu, setiap pagi dia bangun pergi ke bilik air membersihkan dirinya. Setiap  hari kononnya dia berlatih berjalan meniti tepian tingkap dan dinding. Setiap hari kononnya dia juga membuat senaman yang aku buatkan untuk menggerakkan tangan dan kakinya. Dia juga sering minta al-Quran  kecil supaya dapat dia membacanya.

Akhir-akhir ini pula, emak semakin 'fragile' emosinya. Dia kurang boleh ditinggalkan seorang diri agak lama sedikit. Kalau masak di dapur, sembahyang, mandi atau buat kerja di luar biliknya, tidak nampak di matanya sahaja, dia akan panggil tak henti-henti. Bila ditanya kenapa dia minta dipicitkan tengkuknya, disapukan minyak angin di kepalanya atau akan minta dibantu untuk mengubah posisi duduk atau tidurnya. Kadang-kadang dia merungut dan membebel kononnya aku tidak suka dia tinggal dengan ku. Sebab itulah aku tinggalkan dia seorang diri. Jadi aku pun dengarlah dengan sabar rungutannya itu. Kadang-kadang aku beritahunya, dia kelihatan seperti faham, tapi kemudian dia ulang lagi benda yang sama. 

Apabila waktu makan dia sering kali akan menitiskan air mata, tak henti dia beritahu teringatkan abah yang sudah lama meninggalkan kami. Kadang-kadang dia juga  teringatkan Tok Cik dan Tok Bah bila makan masakan kegemaran mereka yang aku sajikan. Emak memang susah makan tambah lagi sewaktu dia sedang sakit ini. Dulunya dia pandai masak dan sangat teliti dengan masakan. Jadi kalau makanan yang dia tidak gemar dia enggan untuk makan. Susah sungguh bila dia tidak mahu makan. Kadang-kadang aku kena masak lain masakan yang dia minta aku sediakan. Tapi makannya cuma sesudu dua sahaja. 

Akhir-akhir ini juga dia jadi semakin  agak pemarah, dan perengus pula. Kadang-kadan tak tahu kenapa dia marah dan kenapa dia membebel. Kalau dia naik 'sheh' aku mesti tunggu dan dengar sampai dia selesai membebel. Jika aku tinggalkan dia, dia akan lebih marah dan membebel lagi teruk. Maka dengarlah aku dengan penuh sabar.

Ya Allah Engkaulah yang maha mengetahui segala yang Engkau telah takdirkan. Berilah kebaikan sama ada yang aku tahu atau yang terselindung. Ya Allah ya Rahman ya Rahim. Amin.

No comments:

Post a Comment