Sunday, June 19, 2016

RAMADHAN KAREEM (1437H)



Sudah tibanya masa esok 6 Jun 2016,  kami menyambut Ramadhan. Seperti biasa semua umat Islam menantikan ketibaan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Tahun-tahun sebelumya bila tiba Ramadhan, maka siap siagalah kami untuk berkunjung ke surau, atau berkunjung ke mesjid, untuk berjemaah solat tarawih. Jadual sungguh padat kerana di samping ke masjid atau surau, kami juga mengatur masa untuk balik kampung menjenguk emak yang keseorangan dan bertarawih dengannya pula. Puaslah kami pujuk dia ajak ke rumah kami, supaya dapatlah berpuasa bersama-sama, berjemaah dan bertarawih, bersama-sama di surau atau di masjid. Tapi kami tidak pernah mendapat restu emak untuk mengimarahkan bulan Ramadhan dan beramai-ramai di rumah kami. Kami pun terkadang merasa sungguh risau dengan emak, risau dengan ketegasanya, dan mahu tetap terus bersendirian di rumahnya selepas pemergian Abah. Maka kami pun dalam keterpaksaan cuba untuk menerima keadaan itu seadanya. Sekejap ke masjid, sesekali ke surau-surau dan diagihkan dengan balik ke kampung.

Masa pun berlalu, maha suci Allah, Dia maha mengetahui dan maha pengasih lagi  maha penyayang. Dia maha mengetahui isi hati dan kehendak umat yang diciptakanNya. Sungguh tidak pernah diduga, Ramadhan tahun ini, Allah kurniakan  apa yang selalu dipintakan Allah hantarkan orang yang ku kasihi, orang yang selalu ku pujuk, orang yang selalu ku doakan supaya terbuka pintu hatinya untuk tinggal bersama ku, ke rumah ku. Allahu Robbi. Syukurlah ya Allah semuanya kau aturkan dengan amat rapi sekali. Segalanya ditadbirkan dengan tiada cacat celanya, berlaku dengan sekelip mata, secara tiba-tiba adanya.

Maka bermulalah era baru Ramadhan ini, emak sudah Tuhan hantarkan kepadaku dengan penuh santun. Dia diserahkan kepada ku untuk dirawat, diberi perhatian, dan penjagaan kerana emak sudah tidak lagi dapat menguruskan dirinya lagi. Allahu Robbi, aku terima takdir Mu, Ya Allah. Aku bersyukur kepadaMu ya Allah, kerana sebaik-baik hambaMu adalah hamba yang bersyukur, hambaMu yang sabar, hambaMu yang ikhlas dan hambaMu redha. Ya Allah aku pohon redhaMu ya Allah... Bantulah aku supaya sabar ikhlas dan redha, dan semoga Engkau redha kepadaku, Ya Allah ya Robbal aalamiin. 

   

 

No comments:

Post a Comment