Saturday, June 4, 2016

BUDAK-BUDAK MANA?


Sudah lebih sebulan mengadun dan mengasuh emak selepas keluar hospital pada 2 Mei 2016 yang lalu. Rutin harian nampak sungguh mudah, tapi pelaksanaannya Allah saja yang maha tahu. Semoga Allah siramkan baja kesabaran, keikhlasan dan keredhaan sebanyak-banyaknya, kerana tiada daya upaya kita untuk berbuat kebajikan dan tiada daya upaya kita untuk berbuat kejahatan melainkan dengan izinNya jua. Seawal pagi bermulalah tugas membuat dressing, membuang pampers dan membersihkan emak untuk sembahyang subuh. Kemudian makan pagi untuk kemudiannya diberi ubat dan 'supplemen' yang perlu. Selepas itu dia akan berehat hinggalah terlelap ikut sesuka hatinya. 

Waktu dia berehat itu bolehlah kita menguruskan diri dan melakukan sebarang kerja: mengampai kain, memasak, membeli barang keperluan, membaca dan berehat sebentar. Tengah hari selepas makan, mulalah membersihkan lampinnya untuk persediaan sembahyang zohor, dan kadang-kadang tahanlah sampai ke waktu asar. Selepas makan malam maka sekali lagi dibersihkan lampinnya untuk solat maghrib dan isyak. Alhamdulillah malamnya selepas  jam sepuluh emak dapat tidur, kalaupun dia tidak nyenyak tidur, dia tidak meragam, maka bolehlah kami berehat untuk terus berkhidmat menjaganya pada esok hari lagi. Alhamdulillah.

Kadang-kadang sesekali kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga datang bertandang melawat emak yang terlantar sakit. Maka rutin harian pun berubah-rubah mengikut masa dan tetamu yang datang. Maka emak pun kelihatan kadang-kadang gembira, dan kadang-kadang terharu hiba. Ada kalanya banyak pula dia bercerita, dan terkadang dia membisu seribu bahasa. Ceritanya cerita biasa,  tentang makan minum dan kenduri kendara, dan tentang anak cucunya yang diharapkan akan sentiasa kunjung tiba. Itulah antara hal-hal yang menghiasa memorinya, yang membuatkan dia sering tersenyum atau juga tertawa gembira. Tambahan lagi kalau bercerita pasal cucu cicitnya, maka bertubi-tubilah soalan budak-budak mana? Berulan-ulang Susun atur kotak memorinya sudah terganggu, banyak perkara yang dia lupa, tapi banyak juga yang dia bual bicara. Hanya Allah saja yang maha mengetahui akan duduk perkaranya. Maha suci Allah, yang telah mengaturkan segalanya begitu rupa. PadaMu kuserahkan segalanya.

Boleh dikatakan setiap hari ia bercerita berulangkali, perkara yang hampir sama setiap hari bila ada masa: antaranya, "nak ke bilik air membersihkan dirinya, nak naik rehat di atas rumahnya, nak balik ke rumahnya yang telah lama ditinggalkan sejak sakitnya, nak buat kenduri arwah panggil semua kaum keluarga,  nak masak menu kegemarannya untuk kenduri, nak pergi makan tengah hari di restoran kegemarannya, budak-budak mana, tak turun main lagi, dan nak pergi umrah dengan kak cik Mahya. Allah maha besar, tiada apa yang boleh dibantu, untuk menyenangkan hatinya kami turut saja apa katanya. Hanya doa yang dapat dipanjatkan, Ya Allah, semoga emak dapat pulih seperti sediakala adanya. Bantulah kami, kasihanilah emak kami, sepertimana dia mengasihani kami semasa kami kecil ya Allah, ya Rahman, ya Rahim. Amin ya Robb.




 


 

No comments:

Post a Comment