Wednesday, September 28, 2016

HARI 2 - 16 OGOS 2016 (2)


KAJI SELIDIK KE BANGKOK
DAY 2: 16 OGOS 2016 (SELASA)


        2. Tanah Perkuburan Islam Maha Nak – Responden Ali Wongsontham Neirut (Ali bin Husin bin Abd Mutalib bin  Abd Rahman bin Ismail)



Papan tanda di hadapan lorong menuju ke masjid dan kuburan

Selepas makan kami meneruskan perjalanan ke Kuburan Maha Nak yang terletak berdekatan Masjid Maha Nak. Dalam perjalanan, Pak Mus mula bercerita seolah-olah ‘city-tour’. Kami melalui Jalan Dam Neru, yang dibina selepas Raja Chulalongkon kembali dari melawat London, kerana meniru idea Buckingham Palace. Jadi deretan rumah-rumah kedai lama dipelihara oleh kerajaan. Deretan rumah  kedai adalah milik Raja dan tidak boleh diubahsuai, yang disewakan dengan harga yang murah kepada penyewa. 
Lorong menuju ke Kuburan Maha Nak
Di Bangkok kerajaan banyak membina wat-wat kerajaan yang besar-besar. Kami juga melalui Padang Awam tempat berlaku pemberontakan antara penyokong Thaksin (baju merah) dan penyokong kerajaan (baju kuning). Semasa kami melintasi sungai San Thep iaitu sungai korek yang terpanjang, Pak Mus menceritakan sungai San Thep dalam bahasa Siam bermakna kesusahan, air mata, atau  sengsara dalam bahasa Siam kerana mengikut sejarahnya, buruh paksa tawanan perang yang mengorek sungai itu menggunakan tangan dengan susah payah dan sengsaranya. 

Lebih kurang jam 12.30 tengah hari, sampailah kami di lorong yang menuju ke Kubur Maha Nak. kami berjalan mengikuti lorong di antara rumah-rumah kedai dan rumah kediaman, dari jalan besar menuju ke Kuburan yang terletak berhampiran masjid Maha Nak. Kubur Maha Nak boleh tanam berlapis-lapis, dan tiada batu nesan, tidak seperti kubur di Thon Sam yang ada batu nesan. Semasa menuju ke kuburan, seorang penduduk tempatan mengikuti kami ke keburan dan memperkenalkan diri sebagai Ali Wonsontham. Dia kemudiannya diminta menceritakan tentang kubur orang Malaysia. Dia bertutur dalam bahasa Thai dan diterjemahkan oleh Pak Mus kepada kami. Menurut Ali memang ada suatu kubur orang Malaysia di situ, diberitahu oleh moyangnya seorang Imam tua di mesjid Maha Nak sejak sekian lama dahulu.

Di hadapan Kuburan Maha Nak
Responden: Ali berbaju batik sedang memberi taklimat
Bergambar kenangan di  kuburan Imam nenek Ali
Menurut Ali moyangnyanya amat tegas tidak bersetuju kubur itu dipindahkan ke Malaysia, tapi Imam muda memberi kebenaran  kerana kononnya kubur itu milik seorang kenamaan dari Malaysia. Selepas kubur itu dipindahkan datuk Ali meletakkan jawatan sebagai Imam dalam usia 40 tahun. Moyang  Ali meninggal lebih kurang 30 tahun  yang lalu. Ketika itu umur moyangnya lebih kurang 80 tahun. Ali juga memberitahu, semasa urusan mengorek kubur itu, tidak diberitahu kepada sesiapapun. Tapi selepas selesai mengoreknya, ramai juga orang datang, kononnya orang besar dari luar negera, Malaysia. Kononnya kubur itu milik saudara atau kerabat Sultan dari Kedah.Apabila ditanya berapa orang kerabat diraja yang disemadikan di situ, Ali memberitahu cuma seorang itu sahaja, tiada yang lain lagi.

Ali menunjukkan bekas kuburan Tengku Yusof
Beginilah keadaan asal bekas kuburan Tengku Yusof
Kesimpulan: Apabila meneliti kenyataan responden, dan  dan membuat perbandingan tahun, maka kumpulan kajiselidik membuat kesimpulan bahawa itulah bekas kubur Tengku Yusof. Dan ini disahkan dari bacaan Dato Wan, yang menyatakan kubur Tengku Yusof ada di Maha Nak, maka  besar kemungkinannya tempat yang ditunjukkan adalah kubur milik Tengku Yusof. Kami amat terharu dan teruja dengan penemuan bekas kubur Tengku Yusof yang tidak disangka-sangka itu. Ahli rombongan membacakan doa kepada arwah mendoakan supaya rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan di kalangan orang-orang beriman. Selepas berdoa kami melawat-lawat kuburan Imam nenek Ali responden dan kaum keluarganya serta membacakan doa selamat. Selepas itu kami bergerak ke Sekolah Debsirin kerana mereka sudah pun menunggu ketibaan kami di sana.


No comments:

Post a Comment