Monday, April 13, 2015

JUJUR VS TIDAK


Mengunjungi ke bank pada hari itu betul-betul menimbulkan satu keinsafan dan membentuk satu kepercayaan baru. Selalu juga dibuat kenyataan bahawa masyarakat Malaysia didapati jarang-jarang mempunyai 'civic-minded', dan kurang jujur berbanding masyarakat Jepun misalnya, bila menghadapi suasana keciciran barangan peribadi di tempat awam. Tetapi pengalaman pada hari itu, menunjukkan pandangan itu ada kebenarannya dan terkadang boleh juga disangkalkan. Semasa berurusan memasukkan wang ke mesin 'auto-teller', tanpa disedari wang kertas seratus ringgit tercicir jatuh ke lantai. Dengan terpinga-pinga dan rasa kebingungan yang amat sangat, teruslah diminta penjelasan kepada pegawai petugas, yang cuma satu-satunya di bank itu.

Dengan pantas pegawai itu menjawab, "Oh duit kakkah yang cicir? Nasib baik tanya. Saya tak tahu duit sapa, kakak ni terjumpa di lantai tadi, terus bagi kat saya." Alhamdulillah masih ada rezeki duit yang seratus ringgit itu, tidak hilang diambil orang. Memang jujur betullah orang itu. Kalau tidak dia boleh saja terus megambilnya kerana tiada siapa pun yang sedar duit itu cicir. Tuan punya pun tidak sedar mana perginya duit itu, dan orang sekeliling pun tidak nampak. Sungguhlah amat bersyukur dan teramatlah bangga kerana ada juga rakyat Malaysia yang sejujur itu, jarang-jarang sekali dijumpai.

Selesai urusan di mesin 'auto-teller', teruslah diucapkan tahniah kepada seorang wanita separuh umur yang mengembalikan wang itu, dan juga kepada petugas di kaunter bank. Petugas itu menambah cerita, "Kakak syukurlah dapat balik duit, ada mak cik tadi tertinggal telefon bimbit di atas mesin tu semasa masuk duit, bila teringat, datang balik dah tak ada di situ. Kesian dia, baru sekejap ja dah lesap. Ni mesti orang selepas dia, nanti nak pastikan dengan cctv."

Masya Allah itulah sikap kebanyakan orang Malaysia yang selalu disebut-sebut, tidak bertanggung jawab langsung terhadap barangan yang terlupa atau tercicir. Kalau terjumpa sesuatu barang, terus dengan rasa tidak bersalah mengambil barangan yang tercicir atau hilang itu. Semua orang amat kesal dengan sikap buruk itu. Semua orang melahirkan rasa tak puas hati dengan perkara seperti itu. Bagaimanakah kita dapat menggalakkan  rasa tanggung jawab di kalangan rakyat kita? 

Sepatutnya kita rakyat Malaysia beragama Islam, kalau kita praktikkan betul-betul kepercayaan kepada Tuhan, iaitu Allah yang maha melihat dan maha mengetahui tentang sesuatu dan semua perbuatan kita, mesti kita lebih baik daripada orang Jepun. Di manakah silapnya? Marilah kita belajar dari mereka, kalau kita kurang dapat menghayati amalan baik dalam agama Islam kita yang mulia.




No comments:

Post a Comment