Wednesday, February 18, 2015

EKSPEDISI ARKEOLOGI


Delegasi Jepun Ke Jeniang, Lembah Bujang dan Sungai Batu
Satu hari bersama dengan delegasi Jepun dari Konsortium Pemuliharaan Warisan Asia Tenggara sungguh membuka luas mata hati anak Kedah yang kerdil ini. Kami orang biasa yang tiada kuasa apa-apa. Tapi kami sangat sayang negeri Kedah negeri kami ini. Sejarah Kedah tersimpul kukuh di kalangan sarjana-sarjana di Menara gading, sejarahwan dan sebilangan kecil sukarelawan pencinta sejarah seperti Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah dan beberapa orang perseorangan sahaja. Jadi rakyat negeri Kedah tercinta ini, kurang berpeluang menghayati sejarah agung negeri ini, dan kurang mengetahui bahawa sebenarnya negeri Kedah ini telahpun  mendokong satu tamadun agung yang tersimpan pada tinggalan-tinggalan arkeologi di  kawasan Sungai Batu, Lembah Bujang Merbok, Jeniang dan kawasan sekitarnya. Disebabkan keunggulan itulah telah mengundang beberapa orang sarjana dari Jepun  untuk membuat kajian lapangan ke Kampung Gading Jeniang, yang dipercayai sebagai salah sebuah Pusat peleburan besi zaman purba seawal abad ke-3 Masihi.

Ketua Projek lawatan Dr Ibrahim selepas taklimat
 di tapak peleburan besi Jeniang
Perjalanan ke situ tidaklah begitu jauh, tapi setibanya kami ke sana, sungguh rasa terharu kerana jumpaan besar itu hanya orang yang tahu sahaja dapat sampai ke sana. Tiada papan tanda yang menyebut dan memberi panduan perjalanan serta boleh menunjukkan kepada pengguna jalan raya dan rakyat Kedah amnya, bahawa di Kawasan itu terdapat satu kawasan yang perlu dikunjungi dan dilawati. Kalaulah ada papan tanda dan penunjuk jalan bermula dari susur keluar lebuhraya Gurun dan di simpang jalan Jeniang ke Kampung itu, sudah tentu lebih ramai rakyat Kedah dan pelancong juga pengunjung ke negeri Kedah, tahu tentang kewujudan tinggalan tamadun besar hasil kerja pasukan aekeologi dari USM itu. Maka sudah pastilah keagungan Kedah akan menjadi kebanggaan orang Kedah dan keagungannya akan tersebar luas di kalangan rakyat Kedah dan rakyat Malaysia amnya, serta pelancong luar juga.
Di Muzeum Arkeologi Lembah Bujang
Kemudian kami bergerak ke Muzeum Arkeologi Lembah Bujang (LB) pula. Selepas taklimat ringkas diadakan pula sessi dialog antara pihak Muzeum dan pasukan delegasi Jepun. Nampaknya mereka berminat untuk mengadakan hubungan kerjasama dalam kajian dan pemuliharaan artifak tinggalan arkeologi yang ada di Kedah. Hubungan itu barangkali dalam bentuk kepakaran arkeologi, tapi nampaknya agak sukar, kerana melalui perbincangan didapati negeri Kedah yang kaya dengan artifak arkeologi tidak mempunyai seorang pakar arkeologi walaupun seorang dalam bidang arkeologi di Perbadanan Muzeun Negeri Kedah. Oleh itu aset besar negeri Kedah ini, tidak begitu mendapat liputan meluas kerana Pakar arkeologi yang ada sekarang, adalah pakar dari Universiti Sains Malaysia bersama kumpulannya, giat menjalankan kerja-kerja pemuliharaan tapak-tapak, yang ada di Sungai Batu. Sementara Muzeum Arkeologi LB adalah di bawah tadbiran Jabatan Muzeum, menjaga Candi-Candi dan Muzeum di Lembah Bujang, maka kuranglah publisiti dan perancangan yang sepatutnya bagi mempromosikan tapak-tapak arkeologi bagi pelancongan negeri Kedah barangkali, kita pun kurang pasti

Rombongan yang mengiringi pasukan penyelidik Jepun
 di Sg Batu bersama Dato Wan Shamsudin
Seterusnya dalam perbincangan itu, pegawai dari Kerajaan negeri Kedah juga mengesahkan, di kalangan mereka tiada kepakaran arkeologi, dan di UUM juga tiada pengajian khusus dalam bidang arkeologi yang di tawarkan setakat ini. Jadi tidak tahulah bagaimana jumpaan aset besar kepunyaan negeri tercinta ini, dapat diketengahkan agar menjadi gah ke  seluruh Kedah khususnya, dan Malaysia amnya serta seantero dunia, oleh kerajaan negeri, tiada mempunyai pakar-pakar yang selayaknya.




No comments:

Post a Comment