Monday, February 2, 2015

CUTI SEKOLAH DI MEKAH MADINAH


Sungguh meriah musim cuti sekolah di Madinah. Kemeriahan ini amat dirasakan di Kota Madinah, khususnya di Mesjid Nabawi. Seluruh keluarga dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya mengunjugi kota suci itu seolah-olah berpesta, seolah-olah tiada malamnya, siang dan malam sama saja pesuh sesak orang bersembahyang, beriktikaf, berzikir dan membaca al-Quran tanpa henti, setiap masa, pagi petang, siang dan malam. Selepas Isyak kelihatan setiap keluarga duduk di perkarangan mesjid, menikmati juadah mengalas perut dalam dingin cuaca, dalam kumpulan masing-masing. Anak-anak kecil yang sudah kenyang bermain dengan gembiranya, manakala yang dewasa dan yang tua berbual-bual sambil tidak lupa berzikir dan dan berselawat kerana tasbih tidak pernah henti-henti digerakkan jari jemari mereka. Tiba waktu sembahyang semuanya menunaikan tanggung jawab; walaupun siibu yang beranak kecil dengan bayi yang dalam kendongan sehinggalah bayi yang baru boleh duduk atau anak kecil yang baru boleh berdiri, sehinggalah situa yang berkerusi roda, semuanya berjemaah di mesjid. Ramainya anak kecil yang dibawa ke mesjid, sehingga bila heningnya waktu sujud kedengaran dengan jelas suara anak-anak kecil menangis ditinggalkan ibunya untuk solat, kedengaran bersahut-sahutan pula adanya.

Begitulah juga di Mekah penuh sesak pengunjungnya sehingga lagi setengah jam tiba waktu sembahyang, polis sudah menutup laluan ke dalam mesjid, maka sembahyanglah di dataran di sekeliling mesjid, yang di situpun penuh sesak dengan manusia. Selesai berjemaah maka berkumpullah setiap keluarga masing-masing untuk makan pagi, makan tengah hari atau makan malam. Siang atau malam, pagi atau petang sama sahaja, setiap masa di semua tempat dipenuhi manusia yang dijemput menjadi tetamu Allah terutamanya orang-orang Arab yang bercuti sekolah selama dua minggu itu. Mereka berebut-rebut peluang beribadat kepada Allah pada setiap masa - sembahyang, tawaf, umrah, berzikir, membaca Quran atau beriktikaf, berjariah, dan melihat Kaabah - pada setiap ketika, dan setiap hari adanya.

Alangkah syahdunya, sejak dari kecil, semasa bayi lagi hingga ke alam kanak-kanak, sehingga meningkat remaja, menjadi dewasa dan semakin menjadi tua, dapat dirasakan kemeriahan bila tibanya musim cuti sekolah. Sermuanya menyumbang kepada pembentukan jiwa, kekentaalan rohani dan jati diri mukmin sejati. Alangkah, alangkah.....tiada lagi kata yang dapat diungkapkan, Allahurobbi, Allahhuakbar, subhallahwabihadihi subhanallahal azim.

No comments:

Post a Comment