Monday, February 2, 2015

UMRAH MABRUR -TAZKIRAH US IZZUDDIN ANDALUSIA


25 JANUARI 2015
DALAM BAS NO 1 - 2.30 PETANG
PERJALANAN KE JEDAH UNTUK PULANG KE TANAH AIR


Menunggu kamar di Madinah



Selesai solat

Menghayati jihad Nabi di Jabal Uhud


Kita semua dikira sangat bertuah kerana telah dipilih Allah, dan diizinkan Allah, telah selesai dan dengan selamatnya berziarah ke Makam Rasulullah yang kita cintai. Kita juga amat bersyukur dan dikira bertuah kerana telah dijemput menjadi tetamu Allah, dan diizinkan Allah selesai melaksanakan umrah. Sekarang pula dalam perjalanan pulang ke tanah air bakal bertemu kaum keluarga dan sanak saudara semuanya. Semuanya dengan izin Allah dan kehendak Allah jua adanya. Marilah kita memanjatkan setinggi syukur ke Hadhrat Allah swt, kerana Dialah selayaknya yang mengaturkan segalanya untuk kita.



Sekadar untuk renungan bersama,  tujuan kita berkunjung ke Mekah ini, tidak lain untuk menunaikan ibadat khususnya umrah. Dalam zaman serba moden dan dikatakan mewah ini, semua orang mampu dan boleh usahakan untuk tujuan kerja umrah ke Mekah  dan ziarah Makam Rasulullah di Madinah. Boleh dikatakan semua orang mampu dari segi kewangan. Marilah kita tinjau sejenak, umrah yang kita idamkan itu semua kita inginkan umrah yang mabrur.


Umrah yang mabrur itu tidak semudahnya kita peroleh, kerana untuk mendapatkan sesuatu yang baik dari Allah, sudah tentulah mesti melalui siri ujian-ujian yang Allah sediakan, dan mestilah lulus siri-siri ujian Allah itu pula dengan jayanya. Cuba kita imbau perjalanan kita yang dirancang dengan teliti ini oleh manusia, tapi bagi Allah telah disediakan satu silibus ujian untuk kita tempuhi sebagai ujian kepada kita ke arah mencapai umrah yang mabrur. Allah maha mengetahui segalanya, kita merancang sebaik manapun, ketentuannya hanya Allah jua yang maha mengetahui. Jadi fikirkanlah dan renungkanlah adakah kita telah lulus ujian-ujian itu dengan jayanya?.


Keduanya, semasa di Mekah dan Madinah kita belajar dan mengamalkan berbagai-bagai amalan, perkara baik-baik yang Allah perintahkan kepada kita dengan tekun dan baik sekali. Kita sangat istiqamah melaksanakannya dengan sungguh-sungguh. Kita belajar menepati waktu solat, ke mesjid di awal waktu, beriktikaf, sembahyang sunat, berqiamullail, berzikir, sembahyang berjemaah, dan sembahyang jenazah boleh dikatakan setiap waktu solat. Umrah yang mabrur ialah umrah yang membawa tuannya terus beristiqamah melaksanakan apa yang dibuat di tanah suci Mekah sebagai amalan yang berterusan yang dapat dilaksanakan selepas pulangnya kita  ke rumah nanti. Umrah yang mabrur menggerakkan tuannya setiap saat, sangat cinta sunah Rasul dan tuntutan Allah, sehingga dapat terus berkunjung ke mesjid untuk solat berjemaah di sana tanpa alasan, tanpa henti dengan tekunnya. Di samping itu, umrah mabrur juga dapat menggerakkan tuannya agar terus dapat berqiamullail di malam hari, dengan istiqamahnya, dan sentiasa berzikir membasahkan  lidah mengingati Allah yang maha pemurah, tanpa henti, dengan penuh kasihnya, walau di mana jua adanya.



Ketiganya, semasa menjadi tetamu Allah kita mendidik perasaan dan hati kita dengan pelbagai sifat yang baik-baik belaka. Sentiasa mendoakan ibu bapa dan muslimin muslimat seluruhnya, rajin bersedekah, sabar sedaya mungkin, dan redha menerima qadha dan qadar yang ditentukan. Apakah nanti semua sifat baik ini akan terus menjadi amalan secara berterusan lagi istiqamah pula? Apakah sifat-sifat baik ini dapat didorongkan dan disebarkan, supaya semua anak-anak, sanak saudara, dan sahabat handai juga, turut terdorong mengamalkannya? Umrah yang mabrur dapat menyaksikan semuanya itu terus kekal diamalkan dengan istiqamah dan orang lain juga akan turut dapat mengamalkannya  bersama-sama dengan rela dan redha, tanpa dipaksakan.




Semoga renungan ringkas ini dapat menarik jiwa kita untuk menilai diri kita, dan umrah yang kita telah laksanakan, setelah dijemput menjadi tetamu Allah untuk  sekian lamanya. Semoga   semangat cintakan Rasullullah akan dapat dinikmati dan mendorong kita terus beribadat mengikut sunah Nabi, sebagai tanda kasih dan cintanya kita kepada baginda.



No comments:

Post a Comment