Tuesday, August 31, 2010

BRITISH LIBRARY



Kami ke Chelsea Hospital mencari meriam yang dipamerkan di kawasan depan hospital itu. Meriam itu meriam alam Melayu, yang dibawa oleh British ke London. Papa sangat berhajat untuk melihatnya, melihat khazanah melayu yang dicuri Inggeris masa zaman penjajahannya di Tanah Melayu. Jauh juga berjalan dari stesen tren untuk sampai ke destinasi, tapi dek kerana minat yang mendalam, yang jauh tidak teras penatnya. Tiba di depan pintu hospital, kami tidak dibenarkan masuk kerana waktu rehat tengah hari. Kami bertanyakan tentang meriam yang dicari kepada pengawal bertugas, tapi dia nampak seolah-olah tidak pernah melihat meriam yang dimaksudkan. Tapi dia mencadangkan supaya kami ke bangunan pejabat tentera tidak jauh dari situ, kerana memang terdapat beberapa pucuk meriam dipamerkan di perkarangan pejabat tentera itu.


Meriam di hadapan pejabat tentera yang kami jumpai

Tanpa melengahkan masa kami bergegas ke situ. Memang ada meriam yang dipamerkan tapi bukan meriam yang dicari oleh papa. Kami berpatah balik ke depan hospital, bertanya khabar kalau-kalau ada di mana-mana dalam kawasan hospital itu, yang terdapat meriam hiasan. Nampaknya dia tidak dapat membantu, tapi dia minta kami datang balik jam 2.00 petang untuk meninjau sendiri jika masih boleh ditemui apa yang kami haj ati itu.

Kami terpaksa bergegas ke stesen tren kerana ada satu temu janji lain di British Liabrary pula. Kami telah dijemput untuk satu pertemuan dengan Mrs Anabelle Gallop dari jam 1.00 th hingga jam 2.00 petang. Peluang keemasan itu memang sangat dinantikan. Papa dah berkali-kali menyatakan, alangkah bestnya kalau dapat berjumpa Mrs Anabelle, Head Of Malay Manuscript Section di British Liabrary.

Menunggu papa dan along bertanyakan temu janji dengan Mrs Annabelle

Kami sampai tepat pada masanya, lagi 15 minit ke pukul 1.00 th. Selepas mendapat pas pelawat dari Kaunter pelawat kami menunggu di ruang legar yang cukup luas dan selesa. Tidak lama selespas itu, kami bertiga, telah dijemput oleh Mrs Anabelle sendiri - orangnya kecil, berketurunan Inggeris campuran China dan berkahwin pula dengan warga negara British.

Duduk sebentar sementara menunggu dijemput Mrs Annabelle

Mendengar tutur katanya terasa dia yang berada di depan kami, tidak seperti orang Inggeris tulen. Dia lebih mirip orang Asia - tutur katanya, sopan santunnya dan pemikirannya juga. Barangkali dek kerana terlalu banyak berkecimpung dengan pemikiran melayu, maka dia juga sudah sebati dengan budaya melayu. Malah dia juga boleh berbahasa Melayu.

Bersama Mrs Annabelle selepas perbincangan ringkas

Banyak yang dibincangkan dalam biliknya yang penuh dengan hasil tulisan Melayu. Macam-macam judul buku Melayu yang tersusun di biliknya itu, sama ada untuk kajian atau untuk bacaan. Memang amat memalukan banyak khazanah kita tersimpan di negara penjajah itu. Banyak khazanah kita dikaji, disebarluas dan dikembangkan di negara yang pernah menjajah kita. Dari dulu kita dijajah, sekarang pun kita masih tidak serius dengan adat resam dan budaya kita sehingga orang lain yang mendokumentasikan, mengkaji dan mengembangkan unsur-unsur budaya kita sendiri. Kita tidak serius mengembangkan budaya sendiri, sehingga generasi muda tidak tahu, dan kurang mengamalkan budaya kita. Sebab itu jati diri kita rapuh. Kita tidak berpijak di bumi nyata. Kita tidak melihat kepunyaan kita sebagai hebat. Kita kurang bangga dengan apa yang kita ada. Sebab itu kita tidak menyebarkan secara serius. Sebab itu kita tidak abadikan dengan serius.

Selepas sejam kami pohon mengundur diri. Kami dihantar semula ke ruang legar kerana sekuriti yang ketat dan memang kami tidak tahu jalan keluar pun. Memang satu sejarah bertemu pencinta budaya Melayu di alam bukan Melayu

No comments:

Post a Comment