Monday, January 2, 2017

MENIMANG CUCU - CATATAN BUAT EMAK YANG AMAT KUSAYANGI


Apabila melihat kawan-kawan menimang cucu, dan mendengar berita kawan-kawan mendapat cucu baru, aku turut tumpang rasa gembira dan terharu. Terbayang jelas di ingatan betapa gembiranya aku semasa menimang cucu, satu lepas satu sehinggalah sudah lima orang cucu semuanya. Alangkah sungguh bahagianya mendapat orang baru dalam keluarga, yang dinamakan cucu. Aku masih ingat bagaimana gembiranya kedua orang tuaku semasa mereka menimang cucu sulung yang dinamakan Khairul Amilin anak adikku. Kemudian diikuti pula dengan kelahiran anak sulungku Danial Fa-iz. Oleh kerana aku dan adik bekerja maka kedua cucu itu ditinggalkan untuk dijaga oleh kedua orang tua dengan penuh kasih sayangnya. Betapa mereka membelai kedua-dua orang cucu itu seperti menatang minyak yang penuh. Kemudian bertambah lagi anak-anakku Haidar Najiyah, Fatin Zahirah, dan Mahya Diyana. Sementara adikku pula bertambah anaknya Nabila Anith, Haifa Nazia,  Mohamad Naufal dan Juwaini Athirah. Kasih dan sayang mereka tetap melimpah ruah. Semasa cucu mereka masih kecil, semua keperluan dijaga sehinggalah semuanya membesar dan masuk sekolah, mereka masih meneruskan khidmat menjaga cucu-cucu atas dasar kasih sayang yang tidak terhingga. 

Aku masih ingat dengan jelas, setiap hari abah dan emak akan datang ke rumahku. Emak akan membasuh pakaian cucu-cucunya. Kebetulan semua anak adikku berhimpun di rumahku selepas balik sekolah. Emak memang rajin dan pandai memasak jadi semua anak cucunya dapat makan tengah hari yang sungguh enak setiap hari selepas balik sekolah. Emak juga masak untuk minum petang dan makan malam sekali. 

Setiap bulan puasa dan hari raya, kami berhimpun di rumahnya. Emak akan masak makanan kegemaran cucu-cucunya. Kuih-kuih untuk berbuka puasa seperti buah melaka, pulut seri muka, tepung talam, lopeh, kuih jala, cucur udang dan macam-macam lagi. Di samping itu makanan kegemaran seperti  ayam masak merah, gulai ayam atau daging, dan juga rendang akan disediakan bila anak cucu berhimpun dan beramai di rumahnya. Setiap petang raya dia akan masak ketupat dan rendang menunggu kami balik. Dia tidak pernah lupa merebus tulang kaki untuk dibuat sup, supaya anak cucunya boleh menikmati bihun sup istimewanya. Atau dia juga akan masak laksa buat anak cucunya yang menggemari makanan itu. Setiap pagi raya emak akan masak nasi tomato, atau nasi daging dan dalca ayam untuk kami anak beranak menjamu selera. 

Itulah emak dengan anak cucunya.  Dia sentiasa berkorban, dia sentiasa berbakti, dia sentiasa mengingati, dia tidak pernah lupa di hati akan anak cucunya yang amat dikasihi. Sekarang dia dia terlantar sakit, cuma boleh duduk  atas di katil. Dia tetap sangat ingat akan anak cucunya. Dia sentiasa sangat ingat akan arwah cucunya Nabila Anith. Setiap hari dia akan bertanyakan cucu-cucunya, dia rindukan mereka. Dia tidak akan pernah faham bahawa cucunya tinggal jauh dan tidak boleh menjenguknya setiap hari. Setiap hari dia akan bertanya siapa  balik, bila mereka akan balik, dan kenapa tak panggil mereka balik. Dia sering minta buat kenduri arwah, dan dia suruh telefon anak cucunya supaya balik makan kenduri.

Aduhai emakku sayang, alangkah tersentuhnya hati mengenangkan, sangat kuat ingatan dan kasihnya kepada semua cucu yang dijaganya semasa mereka masih kecil dan kanak-kanak, sehinggalah mereka dewasa. Masa sudah berubah wahai emak yang banyak berbakti. Mereka semuanya sudah berkeluarga. Mereka sudah tidak lagi dapat berhimpun semuanya serentak seperti dulu-dulu. Mereka akan menjenguk emak bila ada kelapangan dan ada cuti atau pada hari perayaan. Tapi pada waktu lain mereka mesti bekerja mencari sesuap nasi untuk keluarga masing-masing. 

Ya Allah, bagaimana dapat aku jelaskan kepadanya, kerana sekarang dia tidak begitu faham akan keadaan. Padanya cucunya masih perlu berhimpun dan berkumpul supaya dia dapat menyediakan masakan untuk anak cucunya, barulah dia rasa puas dan lega. Ya Allah pandanglah kepada emakku dengan pandangan redhaMu, berilah dia balasan yang setimpal dengan pengorbanannya. Hanya Engkaulah yang selayaknya yang dapat memberi kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat kepada emakku. Ya Allah kasihanilah kedua orang tuaku seperti mana mereka mengasihi kami semasa kami masih kecil Ya Allah. Ampunilah dosa mereka dan tingkatkanlah mereka setinggi-tinggi darjat di sisiMu. Amin  

No comments:

Post a Comment