Thursday, January 26, 2017

33 PESANAN DR HAMID ARSHAT SEMPENA TAHUN 2017 (3)


Berikut disambungkan lagi petikan pesanan yang dirasakan baik untuk kita ambil peduli bagi membantu kesejahteraan hidup dan kebahagiaan yang diimpikan kita semua.
 


13. Bertindak, Berusaha dan Berkerja. 
Jadi orang yang 'action oriented' yang suka dan gembira buat kerja serta menghasilkan sesuatu. Bila suatu cita-cita dan sasaran telah dikenal pasti terus ambil tindakan segera. Jangan tangguh (procrastinate)  ia menjadi pencuri masa.
Jangan  asyik merungut dan mengkritik sahaja.

14. Sangka baik terhadap orang lain. 
Jangan sering buruk sangka terhadap orang lain - kawan-kawan dan jiran kita, pekerja-pekerja sepejabat atau lain-lain.
Fikirkan mereka ada niat baik.
Fikir positif.

15. Bersyukur kepada Allah dan insan lain.
Sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan - nikmat kesihatan, panca indera normal, rezeki, iman dan kebahagian hidup. Tunaikan hak dan perintah Allah.

16. Cakap lunak dan sedap didengar.  
Cakap-cakap yang berbentuk pujian dan sanjungan dengan ikhlas kepada mereka berhak menjadi penyejuk dan penawar hati dan merupakan suatu sedekah.
Jauhkan cakap-cakap  negatif yang boleh matikan initiatif orang lain. Cakap-cakap positif memberi galakan.

17. Senyum dan ucap salam selalu. 
Jangan terlalu serious. Senyum dan ketawa boleh kurangkan mental stress.
Beri senyuman dan ucap salam kepada orang lain walaupun tidak dikenali, ia merupakan sedekah. Munkin ini akan membuka pintu perkenalan.

18. Beristighfar, taubat dan bermaafan. 
Mohon ampun kepada Allah setiap masa dengan istighfar berulang-ulang kali.
Mohon maaf jika kita buat kesilapan terhadap orang lain. Rendahkan diri.
Jangan buang tenaga membenci orang lain.
Sedia memaafkan orang lain - satu pahala besar dari Allah.

19. Terima teguran dan pendapat orang lain.
Jangan cuba menang dalam semua perbinacangan. 
Menerima dan menghormati pendapat orang lain boleh menjadikan kita dihormati walau pun mungkin kita tidak setuju.
Jangan buang dan sia-siakan masa bercakap fasal politik.

20. Jangan bersedih terhadap cacian, umpatan dan gosip. 
Lebih baik kita mohon perlindungan Allah daripada cuba memberi penjelasan.

21. Kawal kemarahan.  
Jangan balas kemarahan dengan tindakan buruk. Ucap aauzubillah, istighfar dan ambil wuduk. Sabar dan bertenang.

22.  Bertenang ketika pandu kenderaan di jalan raya. 
Jangan bertindak balas kepada provokasi daripada road bully atas kelakuan buruk mereka. Jangan bunyikan horn. Sabar dan bertenang; sentiasa berzikir dan berselawat.

23. Biarkan apa orang fikir tentang diri kita.  
Jika orang berfikiran baik tentang kita ucapkan 'alhamdulillah'. Tetapi jika mereka fikir buruk , jangan risau atau sedih. Kita tahu diri kita sendiri. Yang penting pandangan Allah terhadap kita.

24. Muasabah diri.  
Cermin diri; tanya diri apa baiknya dan kelemahannya.
Jangan bandingkan diri dengan orang lain khususnya yang lebih kaya, lebih tinggi pangkat dan lebih mewah. Tengok ke bawah pada orang-orang yang miskin dan daif.
Kita lihat orang lain pada zahirnya sahaja sedangkan ciri-ciri lain dan dalaman kita tidak ketahui.

25. Kegagalan tangga kepada kejayaan.  
Kegagalan, kerugian niaga dan musibah adalah cubaan hidup. Bersabar, tabah dan terus berusaha. Jangan putus asa. Mohon pertolongan Allah.

26. Masa beredar, persekitaran berubah nasib kita juga akan berubah.  
Segala-gala akan berubah; masalah-masalah akan selesai, yang buruk jadi baik dan kegagalan bertukar kepada kejayaan. Sabar dan solat mohon pertolongan Allah; berusaha dan tawakkal.

27. Jadi seorang pemberi dan pemurah.  
Jadikan satu amalan dan budaya untuk memberi sedekah, beri makan, beri hadiah, beri senyuman, beri galakan dan seterusnya mengikut kemampuan dan kaedaan.

28. Jangan harap balasan dari orang yang kita tolong.  
Tolong orang dengan wang, barangan atau tenaga kerana Allah. Hati ikhlas dan tidak rasa bangga atau riak.
Allah akan balas jasa dengan cara lain dan lebih besar ganjarannya.

29. Mengetahui had diri.  
Kita hanya manusia. Ada had kemampuan. Jangan terlalu ghairah menempuhi risiko.
Sebelum menceburi sesuatu bidang buat analisis, penilaian dan dapatkan nasihat terlebih dahulu. Mampukah kita dari segi ilmu, kemahiran, tenaga dan kewangan. Ingat dan waspada.

30. Bergaul mesra dengan semua lapisan masyarakat.  
Jadi seorang peramah, mudah bergaul dan sesuaikan diri. 'Reach out' kita ambil initiatif mulakan perbualan. Mulakan dengan senyuman dan ucap salam.
Bila berjabat tangan genggam dengan kuat sambil senyum untuk menandakan kita ikhlas dan mesra.

31. Janji mesti ditepati.  
Bila berjanji dengan sesiapa pun untuk sesuatu urusan sama ada hal-hal pekerjaan, kewangan, perayaan, pertemuan atau lain-lain mestilah ditepati.
Jika janji untuk bertemu eloklah kita datang lebih awal dari waktu yang ditetapkan.

32. Bijak mengurus kewangan.  
Buat simpanan sedikit dari pendapatan bulanan dalam tabungan yang dikunci seperti tabung haji dan ASB.
Jangan percaya skim cepat kaya. Sudah beberapa kali tertipu.
Belanja untuk keperluan penting bukan ikut kemahuan. Hidup cara sederhana dan jangan terlalu mewah dengan membeli barang-barang branded.
Waspada bila guna credit card dan perlu selesai bayar sebelum habis tempuh sebulan kerana kadar faedah terlalu tinggi.
Berhutang untuk beli hartanah sahaja kerana ada peningkatan nilai. Jangan berhutang untuk beli barang-barang yang susut nilai.
Selesaikan semua hutang sebelum umur 60 tahun.
Waspada jika ada orang yang hendak berhutang dengan kita. Biasanya hutang tidak akan atau sukar dibayar. Ini pengalaman saya sendiri. Beri dia sedikit sebagai hadiah.

33. Dapatkan restu dan doa ibu bapa.  
Dalam segala urusan yang akan diceburi selain dari mendapat panduan Allah melalui solat istikharah doa dan restu ibu bapa sangat penting.
Sentiasa menghubungi dan ziarahi ibu bapa selagi mereka masih hidup.

RUMUSAN  
Untuk capai kejayaan dan kebahagian  hidup.
Perlu kuat iman dan taqwa
Perlu cara gaya hidup sihat tanpa stress.
Berilmu dan kemahiran tinggi.
Berdisiplin.
Bijak dalam pengurusan.
Berakhlak mulia.
Kuatkan Silaturrahim.

No comments:

Post a Comment