Sunday, January 8, 2017

DYTM TUNKU ABDUL MALIK: RAJA MUDA KEDAH




DYTM Tuanku Raja Muda Kedah
Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah
Oleh: Hajah Rahinun binti Mohd Noor,
Diterbitkan oleh Buletin Lindungan Bulan 2016 


Tanggal 29 November 2015, rakyat negeri Kedah telah dikejutkan dengan berita sedih kemangkatan DYTM Tuanku Raja Muda Kedah. Berita  sedih dan dukacita itu telah dimaklumkan bahawa Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman, Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah, telah mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah, kira-kira pukul 1 pagi, pada usia 86 tahun. Baginda mangkat akibat kegeringan dan sakit tua, lebih kurang 2 bulan selepas kemangkatan isteri baginda Almarhum Tengku Hajah Raudzah.

Mengenang kembali riwayat hidup baginda, Tunku Abdul Malik diputerakan pada 24 Sptember 1929 di Istana Anak Bukit, Kedah. Tunku Abdul Malik merupakan adinda kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Baginda merupakan putera kepada pasangan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Yang Amat Mulia Tunku Sofiah Binti Almarhum Tunku Mahmud. 

Tunku Abdul Malik mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah. Di sinilah baginda berpeluang dapat bergaul dengan rakan-rakan yang menjadikannya lebih memahami akan kehidupan dan keadaan hidup rakyat.  Selepas itu baginda menyambung pelajaran menengah ke Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Kemudian baginda melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi di Wadham College, Oxford, United Kingdom, dalam bidang Ilmu Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.

Tunku Abdul Malik menamatkan zaman bujangnya apabila bertemu jodoh dengan puteri Sultan Selangor iaitu Yang Amat Mulia Tengku Raudzah Binti Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj. Baginda berkahwin pada 16 Julai 1956 di Istana Bukit Kota, Alor Star.

Apabila Ayahanda baginda mangkat pada 13 Julai 1958 dan kekanda baginda Tunku Abdul Halim dilantik sebagai Sultan Kedah, baginda telah berkenan untuk mengurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah kepada Tunku Abdul Malik pada 23 Februari 1959. Akhirnya Tuanku Sultan telah berkenan melantik Tunku Abdul Malik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah berkuatkuasa 28 November 1981.

Oleh kerana baginda menceburi bidang pendidikan  dalam  Ilmu Kemasyarakatan, maka  tidak hairanlah baginda telah berkenan menjadi Penaung kepada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), sejak persatuan ini  diasaskan pada tahun 1956, sehingalah kemangkatan baginda. Di bawah naungan baginda persatuan ini bergerak semakin hari semakin maju. Sehingga kini PSMCK sudah genap mencecah usia 60 tahun, sehingga dapat memantapkan budaya dan jati diri masyarakat Kedah, melalui kecintaan terhadap sejarah. PSMCK bergerak aktif dalam memasyarakatkan ilmu sejarah, melalui pelbagai aktiviti yang direncanakan saban tahun. Sehubungan itu, Baginda DYTM Raja Muda Tunku Abd Malik, telah memberikan sokongan yang kuat kepada PSMCK dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan pada setiap masa. PSMCK amat merasakan kehilangan baginda kerana sepanjang penglibatan Baginda, boleh dikatakan setiap agenda besar PSMCK akan mendapat sentuhan baginda. Setiap majlis besar juga akan diserikan jua. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda dan dimasukkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.


No comments:

Post a Comment