Monday, April 1, 2013

JURANG API NERAKA


TAZKIRAH PAGI, 27 MAC 2013
OLEH USTAZAH PAZIAH SAAD

HADITH KESEMBILAN - BETAPA DALAMNYA JURANG API NERAKA
Pengajaran;
  1. Kita tidak dapat menghitung dalamnya jurang api neraka, yang ditempuhi oleh perjalanan kecepatan batu besar yang jatuh dan memakan masa tujuh puluh tahun lamanya untuk sampai jatuh ke dasarnya.
  2. Jurang yang teramat dalam itu, dipenuhi dengan bermacam-macam siksaan.
  3. Sampai saatnya pintu neraka akan ditutup serapat-rapatnya, dan segala penghuninya akan terus menerima siksaan demi siksaan dengan tiada kesudahannya.
Nabi Mohamad saw pernah bersabda, Malaikat Jibril mengatakan. " Demi Allah yang mengutusmu dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa nescaya akan terbakar orang yang berada di hujung timur kerana bersangatan panasnya (tersangat panas api neraka). Neraka jahanam itu sangat dalam dan perhiasannya adalah besi, minumannya adalah air panas campur nanah dan pakaiannya adalah potongan-potongan api."

Rasulullah  saw dalam wasiat baginda menyebut antara penghuni neraka ialah seperti berikut;
  1. Orang yang lemah pemikiran dan tidak suka berfikir, jadi dia gagal bertindak mengikut pertimbangan yang wajar, dan hanya menurut kehendak dan perbuatan orang lain.
  2. Pemalas yang tidak mahu bekerja  bagi mencari nafkah hidup dirinya serta keluarga, suka mengharapkan ihsan orang lain dan mencari jalan mendapat keuntungan dengan mudah.
  3. Pengkhianat yang tamak hingga sanggup menikam sesiapa saja dari belakang, tanpa mengira masa, tempat dan siapa yang menjadi mangsanya, demi keuntungan sendiri.
  4. Tangkai jering atau mereka yang sangat bakhil dengan harta dan kesenangan, seolah-olah diperolehi dengan tanga mereka sendiri.
  5. Orang yang suka melontarkan kata-kata nesta dan makian kepada orang lain.
Marilah kita jauhi golongan yang disebutkan oleh Nabi saw dan sama-samalah kita memohon hidayah Allah, agar kita mendapat pertolonganNya di hari akhirat nanti.

HADITH KESEPULUH, PENGHUNI SYURGA DAN NERAKA
Pengajaran;

Nabi bersabda, "Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada kalangan orang-orang yang faqir, dan aku melihat ke dalam neraka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada golongan perempuan"

Mari kita lihat siapakah yang dijanjikan Allah akan syurgaNya, Di antara ciri-ciri wanita syurga adalah seperti berikut;
  1. Bertaqwa
  2. Beriman kepada Allah, Maklaikat, Kitab, Rasul, Hari Qiamat,  qadha dan Qadar ketentuan Tuhan
  3. Bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Mohamad saw pesuruhNya, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa dan menunaikan haji
  4. Ihsan iaitu beribadah kpd Allah seolah-olah kita melihatNya, dan mengetahui Allah melihat diri kita
  5. Ikhlas  dan bertawakkal kepada Allah, takut kpd azabNya, mengharap rahmatNya, bertaubat kepadaNya, sabar atas segala taqdirNya,dan mensyukuri nikmatNya
  6. Gemar membaca AlQuran, berusaha memahaminya, berzikir mengingat Allah dan berdoa hanya kepada Allah
  7. Mengamalkan suruhan Allah dan menjauhi larangan Allah dalam keluarga dan masyarakat
  8. Berbuat baik kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin serta seluruh makhluk
  9. Menyambung tali persaudaraan dengan orang yang memutuskannya dan memaafkan orang yang menzalimi kita
  10. Adil dalam segala perkara
  11. Berinfak baik ketika lapang mahupun ketika sempit
  12.  Menepati janji dan amanah
  13. Berbakti kepada kedua orang tua
  14. Menyambung silaturrahim dengan kaum kerabat, sahabat handai yang jauh dan dekat
Semoga dengan mengenali ahli syurga, dan penghuni syurga Allah, mudah-mudahan kita akan mendapat manafaat daripadanya. Sama-samalah kita memohon hidayah Allah supaya   kita dijauhi daripada balasan api neraka dan ditempat di syurgaNya kelak.

No comments:

Post a Comment