Wednesday, April 10, 2013

HARAPAN NAN MENGGUNUNG


Sudah berkali-kali dia muncul di hadapan pejabat. Petugas kaunter cepat-cepat memberitahu akan kehadirannya. Terasa keronkong tersekat. Entah apa pulalah yang bakal dipinta. Entah apa pulalah hajat besarnya yang bakal dipohon. Terkadang terasa mahu melarikan diri saja, supaya tidak perlu berhadapan dengan waris ini. Tapi dia jenis orang yang tidak pernah hilang semangat, apatah lagi boleh bertputus asa, tidak sama sekali. Beritahulah apa pun yang sebenarnya; yang fakta, dan yang jelas dan nyata, dia akan tetap dengan permintaannya, dia tetap dengan pendiriannya jua.

Mengenang segala permintaanya, memang terasa dia seorang yang sangat aneh dan ganjil. Mula-mula minta anaknya dapat diberi kebenaran untuk mengambil peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Mandrin  untuk PMR. Kalau dia minta anaknya mengambil peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Tamil memang tidak ganjil, dan suatu yang memang biasa. Puas dinasihat, tapi jawapannya tetap sama, tetap dengan permintaannya jua. Akhirnya bila keputusan PMR keluar, anaknya gagal Bahasa Mandrin itu. Tiadalah gunanya lagi kerana gagallah anaknya dalam PMR itu.

Gambar hiasan saja
Kini, sudah sekian kali datangnya, membawa hajat minta anaknya dimasukkan ke kelas aliran sains. Anaknya mendapat A dalam Sains. Berkali-kali sudah dijelaskan, berkali-kali sudah diberitahu, semua pelajar dalam kelas aliran sains itu mendapat 6A ke atas, sedangkan anaknya cuma mendapat 1A sahaja. Dicadangkan kepadanya, kalau tetap mahukan aliran sains, mungkin di sekolah lain boleh diberi pertimbangan, kerana pelajar yang mendapat 6A ke atas sangat kurang. Tapi masalahnya, dia tidak mahu meninggalkan sekolah ini. Apa lagilah yang dia mahu, anaknya sudah pun bersetuju untuk duduk di kelas sains sosial. 

Merenung wajahnya yang kemerahan aku pun rasa serba salah. Apalah pula yang tidak kena sehingga dia datang lagi, dan apalah pula isu yang dibawa pada hari ini, setelah berkali-kali bertandang ke pejabatku ini.. Selepas mendengar dengan sabar, dan memberi perhatian dengan tenang, barulah dapat kufahami tingkah lakunya yang selama ini dirasakan pelik. Kasihan... alangkah tersentuhnya hatiku ini. Alangkah sebak di hati ini. Mendengar ceritanya, tergenang air mata, tidak dapat ditahan lagi. 

Rupanya sangat tinggilah harapannya, dan sangat besarlah cita-citanya terhadap anak itu. Dia sudah tiada apa-apa lagi selain anaknya yang diharapkan dapat berjaya dalam pelajaran dan dan dapat mengubah nasibnya dan nasib keluarganya, keluar dari kepompong yang perit ini, kerana ditipu adik kandungnya sendiri. Dia bekerja sangat kuat, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, dan bekerja siang dan malam untuk beri pelajaran kepada anaknya. Harapannya tidak lain dan tidak bukan supaya anaknya boleh masuk ke universiti, boleh menjawat jawatan tinggi dan boleh bekerja menyara diri. Selagi kuderatnya ada dia akan bekerja supaya anaknya tidak susah, kerana dia rasa sangat bersalah kepada anak-anaknya, yang terpaksa hidup susah kerana menjadi mangsa ditipu keluarga sendiri.

Aduhai.... sungguh kasihan. Barangkali dia sudah tiada siapa-siapa untuk mengadu nasib, jadi pada hari ini dia mencurahkah segala isi hatinya seikhlas hati. Barangkali hari ini segala yang terbuku di hati telah terpancul keluar, barangkali juga hari ini segala penanggungannya  terlerai dan meringankan bebanannya selama ini. Patutlah selama ini harapannya menggunung tinggi.......



2 comments: