Monday, January 7, 2013

SALAH LAYAN EMOSI ANAK


Seminggu ini banyak betul masa yang diguna pakai untuk mengurus perasaan. Banyak betul anak-anak yang rapuh perasaan mereka. Emosi mereka tidak stabil, emosi mereka terganggu, dan emosi mereka kacau. Kononnya daripada cerita ibu bapa, ada antara mereka yang murung, ada yang menangis tidak henti-henti, ada yang tidak lalu makan, ada yang berkurung dalam bilik, ada yang sakit kepala dan ada yang sampai termuntah-muntah. Semua ini gara-gara tidak dapat menerima kenyataan, keputusan mereka kurang cemerlang beranding rakan lain. Semua ini kerana terlalu mengharapkan dapat cemerlang dalam periksa. Semua ini gara-gara sistem pendidikan kita terlalu mementingkan peperiksaan, terlalu 'exam-oriented'. 

Oleh kerana itu, maka ada pelajar yang mendapat cuma 2A, merayu-rayu supaya dapat dililuskan kemasukan ke kelas aliran sains. Maka datanglah bapa memberikan pelbagai alasan agar anak dapat masuk ke kelas sains dengan alasan takut anak kecewa. Lebih teruk lagi alasannya bapa inginkan anak masuk kelas sains kerana saudara yang lain semuanya dalam aliran sains. 

Memang semua ibu bapa mahukan  yang terbaik untuk anak-anak yang dicintai. Tapi jika inilah caranya, ibu bapa lebih pentingkan cita-citanya, bukan kemampuan anaknya, dan bukan sayangkan anaknya, itulah sebabnya remaja sekarang banyak yang  mengalami tekanan emosi, atau dalam kata lain sakit emosi. Sakit emosi ini lebih teruk lagi jika anak-anak tidak dapat menerima kekurangan dirinya, dan tidak dapat mengukur kebolehan diri dengan keinginannya. Yang menjadi lebih parah lagi, apabila ibu bapa tidak berusaha menangani emosi anak yang tidak sedar diri itu. Malah ibu bapa berusaha mengukuhkan lagi perasaan anak yang songsang itu, dengan cuba mendapatkan apa yang dimimpikan anaknya, agar menjadi kenyataan.

Bayangkan kita menuntut ilmu ini dan menduduki peperiksaan ini, ibaratnya seperti dalam perlawanan lumba lari. Semua orang kuat berlari, memecahkan rekod yang sebelumnya pula, tapi yang hanya akan diberikan hadiah cuma tempat pertama, kedua dan ketiga sahaja. Tapi oleh kerana ada orang yang tidak dapat menerima kekalahan, maka kita dipaksa untuk memberikan juga hadiah kepada peserta yang dapat nombor empat, lima atau yang kesepuluh. Tidakkah ini sangat pelik, tapi inilah yang berlaku kepada ibu bapa yang sering meminta-minta untuk dimasukkan anak mereka ke kelas yang tidak mampu ditanggung oleh anak mereka.

Cuba renungkan....Apa akan jadi kepada masyarakat kita nanti?

No comments:

Post a Comment