Wednesday, January 16, 2013

PONTENG


PK HEM dimaklumkan, ada pelajar sejak awal mula persekolahan, masih tidak hadir sekolah sehingga kini. Dia budak kelas pandai, kenapa tidak hadir ke sekolah? Semua orang pun tidak tahu kenapa. Bila ditanya rakan-rakan, dan siapa yang kenal, dimaklumkan dia sudah pergi bekerja di pasaraya. Kononnya gaji RM500.00, memang banyaklah jumlahnya untuk seorang remaja berbelanja. Semua orang tidak tahu di sebalik ketidakhadirannya, ada cerita yang tak terungkapkan. Semua orang pun tidak pernah membayangkan kesulitan yang dihadapinya.

Sudah berkali-kali ibunya minta dibelikan baju yang baru. Baju yang lama sudah tidak muat lagi. Begitu juga adik-adiknya yang dua orang lagi, mereka juga tidak mempunyai baju untuk ke sekolah. Apa daya mereka, si ibu yang tidak bekerja cuma dapat meminta kepada suami. Si suami pula entah kerana apa, tidak dapat menahan sabar dengan tekanan yang diberikan si isteri. Lalu si isteri menjadi mangsa. Buku lima naik ke muka. Apa lagi larilah ibu bersama anaknya. Aduhai..... Bagaimana boleh seorang anak dengan senang hati  pergi ke sekolah, jika keperluan asas pun tiada? Alangkah malangnya  nasib si anak. Alangkah sedihnya seorang kakak, yang bukan saja tidak dapat pergi ke sekolah, tapi adik-adiknya juga, mengalami nasib yang sama?

Jadi dia pun pergilah bekerja. Harapannya cuma untuk dapat membelikan baju sekolah. Harapannya supaya adik-adiknya juga dapat hadir ke sekolah. Alangkah malangnya nasib seorang anak. Anak yang masih kecil ini memerlukan bapanya untuk berlindung., memerlukan bapanya untuk dapat belajar, memerlukan bapanya untuk sebuah kehidupan. Bagaimanakah kita boleh memajukan bangsa, jika ibu bapa tidak dapat menyediakan sebuah kehidupan yang memberikan pendidikan, untuk kemajuan masa depan anak-anak mereka?




No comments:

Post a Comment