Wednesday, January 16, 2013

BR1M


Tahun ini (2013) genap dua kali Bantuan Rakyat 1M (BR1M) diberikan kepada semua pelajar sekolah. Masih jelas dalam ingatan  pada tahun 2011, bantuan ini buat pertama kalinya diagihkan oleh kerajaan. Pada waktu itu ramai  orang berkata, kerajaan menggula-gulakan rakyat dengan wang yang tidak seberapa itu. Ramai juga orang merungut kerana bantuan yang diagihkan melalui sekolah, menambahkan lagi beban guru yang ada. Tapi ramai juga orang yang tahu nikmat bersyukur, berterima kasih kepada kerajaan yang bermurah hati itu. 

Mengenang agihan yang dibuat pada tahun 2011 yang lalu, semua guru sangat rasa seronok menguruskan pemberian wang ihsan itu. Buat pertama kalinya sepanjang menjadi guru atau Pengetua, kehadiran waris ke sekolah mencapai 99%. Buat pertama kalinya guru tidak perlu menunggu lama untuk selesaikan tugas memberi wang kepada waris. Buat pertama kalinya guru tidak ada tugas tertunggak kerana ketidakhadiran waris berjumpa guru.

Di samping itu, terasa sungguh meriah melihat waris-waris datang berduyun-duyun. Bayangkan lebih seribu orang waris tua dan muda datang serentak untuk berjumpa guru tingkatan. Kelihatan sungguh membanggakan, tapi nun jaun di lubuk hati  terkenang masa mesyuarat PIBG yang sekolah memanggil waris untuk hadir. Suasana kelihatan suram. Waris datang seorang demi seorang, satu lepas satu, sedangkan tetamu utama sudah pun tiba. Dewan yang tidak begitu besar pun kelihatan lapang, dan lengang, sehinggalah majlis dimulakan. Akhirnya daripada seribu orang pelajar datanglah lebih kurang tiga empat ratus orang saja yang hadir. 

 Kalaulah sekolah ada duit untuk diberikan kepada waris, sudah tentulah semua waris akan datang untuk menyokong sekolah anak-anak mereka. Sudah tentulah tidak sukar untuk mendapat kerja sama waris untuk kecemerlangan  intelek dan sahsiah pelajar????????


No comments:

Post a Comment