Friday, September 9, 2011

MENGUBAT PENYAKIT MISTERI


Suatu hari (sekitar tahun 71 - masa aku tingkatan 2) aku tidak pergi sekolah kerana seorang saudara terdekat abah, sepupunya sakit kuat. Aku dibawa bersama ke rumah orang sakit untuk menemani keluarga bagi berkongsi kesusahan yang menimpa mereka. Ramai sanak saudara berkumpul menemani emak saudara abah kerana anaknya sakit kuat. Konon cerita dari malam lagi sisakit tidak dapat tidur ditemani sanak saudara terdekat dan jiran-jiran sekampung untuk memberi sokongan moral kepada sisakit dan keluarganya. Kononnya malam tadi bomoh sudah berubat sepanjang malam itu, tapi sakit masih belum berkurang, dan sisakit masih meraung menangis kesakitan sejak malam hingga ke pagi - tidak tidur, tidak makan dan tidak juga sembuh-sembuh.

Oleh kerana aku masih kecil jadi aku tidak boleh masuk campur urusan orang tua, jadi aku sekadar duduk diam dan mendengar perbincangan orang tua-tua. Kononnya cerita sasakit terkena buatan orang yang sangat serius. Dia diserang dalam perut sebab tu, dia mengadu sakit di perut, dan perutnya seolah-olah pelik, kerana bila disentuh saja, dia sangat sakit. Yang lagi sedihnya, dia turun darah tak henti-henti. Habis kain batik yang dilapik untuk tidur basah dengan darah yang mengalir. Semua orang kelihatan sangat risau, kasihan, runsing dan takut juga barangkali, mengenangkan sisakit yang masih tidak sembuh-sembuh.

Walaupun sudah berubat, entah berapa orang bomoh telah dijemput silih berganti, untuk berubat, tapi tidak menunjukkan pesakit ada tanda-tanda akan sembuh dan berkurang sakitnya, malah dia menjadi semakin lemah kononnya. Pagi itu sudah berganjak ke tengah hari, lepas semua orang makan seadanya untuk jamuan tengah hari, sisakit masih lagi tidak berkurang laungan teriak tangisnya menahan kesakitan. Si bomoh meneruskan kerjanya berubat dengan pelbagai cara, tabur beras, pukul lantai, pukul keliling rumah, jampi air dan entah apa-apa lagi yang aku tidak dapat liahat, berusah menyembuhkan penyakit misteri itu. Semua orang jadi bingung, semakin hari berganjak ke petang semakin lemah tangisannya, walaupun bomoh semakin rancak berusaha sekeras-kerasnya.

Selepas itu, aku dapat dengar hampir ke petang bomoh beritahu dia sudah tak berdaya membantu. Akhirnya selepas waktu asar hampir ke senja, tangisannya menjadi semakin lemah longlai dan hampir tidak kedengaran. Semua orang berkumpul di sekelilingnya. Aku dengar ada tangisan, ada yang menahan tangisan juga, dan aku juga dengar ada orang ajar sisakit mengucap dua kalimah syahadah. Aku sangat sedih kerana aku sedar ajalnya sudah tiba. Memang benar seketika selepas itu aku dengar laungan tangisan ibu sisakit, diikuti tangisan orang lain dan kemudian semua orang dalam tangisan, beredar dari mengelilingi si sakit. Aku memejam mata turut merasakan kesedihan, mengalir juga air mataku, mengenangkan sisakit pergi meninggalkan kami dalam usianya yang masih muda sekitar tiga puluhan saja.

Aku tidak faham waktu itu apa penyakit yang menimpanya sehingga sangat perit kesakitan yang ditanggung. Dan aku juga tidak faham kenapa dia tidak dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan. Tapi itulah cara hidup waktu itu, kalau sakit, pilihan pertama ialah menjemput bomoh.


No comments:

Post a Comment