Sunday, September 25, 2011

MAHA SUCI ALLAH


Seorang ibu dengan wajah suram mohon untuk berjumpa di dalam pejabat. Tanpa banyak soal dia dijemput masuk. Pendek cerita dia ingin mohon masuk sekolah. Kenapa pindah sedang dia di sekolah ternama? Tiba-tiba ibu menangis terisak-isak.Saya sudah tak ada siapa lagi di sana, suami saya baru meninggal, saya dalam proses pohon pindah balik ke sini. Saya pindahkan anak saya dulu kerana dia nak ambil periksa. Tersentuh hati mendengar nasib malang yang menimpa ibu di hadapan aku. Tanpa banyak soal , atas dasar peri kemanusiaan, pelajar itu diterima masuk.
Seminggu kemudian Penolong Kanan dengan penuh perasaan bercerita, seorang guru sangat risau dengan pelajar baru yang tidak mahu bercakap, dan tidak mahu buat apa-apa pun. Nampak seperti degil, dan nampak seperti bermasalah besar. Susah nak tolong kalau macam tu, tak tau punca apa, tak tau masalah apa.

Rupanya ramai yang tidak tahu penanggungan anak itu. Ramai yang tidak tahu dia telah kehilangan bapa kesayangan tempat dia bermanja, tempat dia bergantung harap, dan tempat mengharap belaian kasih dan bermanja. Ramai juga yang tidak tahu di saat dia merindukan ayah yang telah meninggalkannya, dia juga terpaksa menanggung perasaan sedihnya seorang diri, tanpa siapa-siapa. Di saat dia memerlukan pelukan seseorang untuk meredakan sayu pilu di hatinya, dia tiada pilihan kerana terpaksa hidup sendiri-sendiri sementara menunggukan emaknya dapat bertukar ke kampung halamannya sekarang.

Bagaimanalah dapat seorang anak remaja semuda itu berdaya untuk mengharungi pahit getir gelombang yang melanda dalam jiwanya. Bagaimanalah si anak dapat bertenang dan berupaya menghadapi dunia yang seakan sudah gelap gulita tanpa orang tersayang yang telah dijemput pergi meninggalkannya. Tambah parah lagi dia tinggal sendirian, dia terpaksa mengubat hati pilunya sendirian dan dia tidak berdaya lagi untuk menangis kesedihan. Hanya yang mampu berdiam diri menaggung perasaan sedih, pilu, duka dan lara tanpa siapa-siapa. Alangkah....... Maha suci Allah, hanya Allah saja yang maha mengetahui akan segala apa yang berlaku...........

No comments:

Post a Comment