Tuesday, September 6, 2011

BELARAK PENGANTIN TAHUN 50AN



Papa pernah bercerita, dia sangat teringat kenduri kahwin kakaknya yang sangat unik dan penuh peristiwa. Zaman dahulu perkahwinan ditentukan dan diatur oleh orang tua-tua. Dia masih ingat dengan jelas, kakaknya dipinang orang dari kampung berdekatan, dari kaum keluarga yang ada pertalian darah juga, tapi sudah bau bancang.

Tiba hari perkahwinan, pengantin lelaki diarak diusung di atas tandu, merentasi bendang yang kering kontang selepas musim menuai. Paluan gendang berkumandang meramaikan perarakan pengantin yang diiringi sanak saudara serta sahabat handai terdekat. Kanak-kanaklah yang paling seronok, berjalan sambil menikmati paluan gendang yang gamat dan menhidupkan suasana - sungguh amat meriah, sungguh amat menggembirakan semua yang turut serta dalam rombongan pengantin lelaki menuju ke rumah pengantin perempuan. Ibarat panglima berarak menuju ke medan perang - sungguh gah dan mengasyikkan.

Tiba di rumah pengantin perempuan pengantin lelaki diletakkan di atas balai, duduk bersanding bagai merpati dua sejoli, tidak langsung dibenarkan memijak tanah sebelum disandingkan. Di atas pelamin dua mempelai dihiburkan dengan silat pengantin pula. Selepas makan,maka tibalah masa membawa pengatin perempuan ke rumah pengantin lelaki. Pengantin perempuan diusung di atas tandu pula, diiringi pula paluan gendang yang rancak itu. Seperti biasa kaum keluarga kedua belah pihak akan turut mengiringi perarakan yang ramai dan meriah itu.

Kali ini pengantin lelaki akan turut berjalan bersama sanak saudara, bagi memberi peluang kepada pengantin perempuan pula diraikan, di atas usungan. Sementara kanak-kanak akan mengikut perarakan dengan penuh emosi. Zaman itu, perkawinan bagai suatu pesta hiburan. Satu kampung berhimpun dan semua sanak saudara mengambil peluang menghantar pengantin. Perjalanan jauh menempuh bendang di tengah terik matahari, tidak dihiraukan, malah semua merasa amat gembira, turut dapat bergembira menjadi pengiring pengantin, yang sangat diraikan pada hari istimewa itu.


No comments:

Post a Comment