Tuesday, February 15, 2022

CUCU-CUCU BALIK BERKAMPUNG

 

Tanggal  26 Oktober 2021,  bermula hidup baru bagi ku. Angah bertukar balik bekerja di Jabatan Kesihatan Negeri Kedah. Pejabatnya Bahagian Kejuruteraan JKN, di persimpangan Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Lebuhraya Sultan Abdul Halim, dekat sangat dengan rumah. Lima minit naik kereta sudah sampai. Aku sungguh bersyukur tiba-tiba sudah ada anak cucu yang tinggal bersamaku. Sudah lama kami hidup kesunyian. Sejak sekian lama rumah kami sunyi dan usang. Semua bilik setiap hari dicuci, tapi tiada penghuni. Cuma sesekali anak cucu balik bercuti rumah kami jadi ramai dan riuh rendah meriah jadinya. 

Kini angah bersama 4 orang anaknya memeriahkan rumah kami pada setiap masa setiap hari. Hayyan Naoki sudah darjah lima, sudah besar panjang sudah boleh mengurus diri dan menjaga adik-adik. Dia setiap hari melaungkan azan bila masuk waktu, diajak solat dan kini sudah boleh menjadi imam pula. Setiap hari baca quran dengan lenggok yang dicuba-cuba meniru Ustaz Tirmizi kegemarannya. Dan sesekali menghafaz ayat-ayat lazim yang masih belum dihafaz. Bila tiba waktu sekolah dah tak banyak kerja rumah kerana dah hujung tahun, tapi disuruh juga buat buku kerja bila ada masa terluang. Semoga Hayyan nantinya menjadi anak soleh dan memberi manfaat kepada agama insyaAllah, aamiin.

Cucu kedua Hannah Naomi sudah darjah tiga. Dia sangat berbakat dengan lukisan dan kraft. Masa lapang banyak dihabiskan membuat kraft atau membuat lukisan. Dia pendiam tapi sangat penyayang dan bertanggung jawab. Semua urusan adiknya dia yang jaga - mandi, pakai baju, makan, ajar ngaji, susun baju, main-main dengan adik dan jika adik meragam dialah yang menenangkannya. Dia memang sangat perihatin dengan adik-adik yang masih kecil. Dia suka tolong kerja-kerja dapur bila memasak. Dia dah pandai buat telur scramble, untuk adik dan dirinya, jika perlu, dan suka sangat  buat dalgona untuk makan bersama  adik-adik dan abangnya. Kalau nak keluar berjalan dia suka melaram dan bergaya. Semoga Hannah menjadi anak solehah berjaya dunia akhirat dan mendapat suami yang beriman untuk menaungi hidupnya nanti, insyaAllah.

Jadi dua orang cucu yang besar sudah boleh berdikari. Yang ketiga Hadeeja Naema baru darjah Satu. Dia sangat manja, makan lambat kalau boleh bersuap lebih digemari. Dia sangat kreatif. Banyak benda yang dia buat di luar kotak pemikiran kita. Kadang-kadang membahayakan dirinya. Dia sangat accident-prone dengan sikapnya itu, kadang-kadang terjatuh, kadang rosak benda, dan boleh jadi apa saja kalau kita tidak perhatikan dia betul-betul. Tambah-tambah lagi bila dia main dengan adiknya, macam-macam benda boleh jadi, yang tidak pernah terfikirkan langsung boleh dibuatnya, masyaAllah. Dia baru boleh membaca kerana kesan PKP sejak 2019. Dia tidak pergi tadika setahun, banyak buat online, darjah satu pun online, setahun tidak pergi sekolah sepunuhnya, jadi membaca buku pun  merangkak-rangkak. Jadi dia terpaksa dihantar tuisyen untuk kelas membaca bagi membantu dia catch-up dengan pelajarannya. Tapi dia sudah baca Iqra 4, alhamdulillah. Dia pun baru nak belajar sembahyang juga. Tapi dia lebih suka main dengan adik kecilnya kalau tak tengok memang tak belajarlah dia. Sekarang dia sudah banyak perkembangan, sudah mula suka membaca sedikit-sedikit dan merangkak-merangkak. Sudah mula pegang buku sekolah sebab dia rasa lebih pandai sikit apabila dia sudah mula dapat membaca walaupun lambat-lambat. Semoga Hadeeja akan menjadi anak solehah yang bakal menjadi berjaya dunia dan akhirat insyaAllah.

Yang paling manja, banyak akal, dan keras, cucu keempat Hawa Nerina. Dia sejak kecil rupa macam anak patung, jadi orang suka tengok dia. Dia cukup tidak suka stranger, sebab suka pandang dia dan tegur dia juga suka picit pipinya yang gebu. Jadi dia lambat mesra dan kuarang boleh ikut serta dengan kami, sebab selalu nak mami dia saja. Semua nak mami, nak makan, nak mandi nak pakai baju, nak tidur, malah apa-apa saja semua mesti mami. Jadi bila mami out-station kami jadi penat sebab dia tak mau langsung dengan kami. Yang lebih penat ialah Hannah sebab dia akan merap kakaknya itu saja, yang lain dia tak mau. Semoga Hawa juga membersar menjadi anak solehah dan berjaya di dunia dan juga di akhirat sana insyAllah.

Begitulah cucu-cucu yang balik berkampung di rumahku. Semoga bolehlah aku mendapat sedikit pahala bila mereka berbuat baik, baca quran dan sembahyang. Selagi mampu boleh membimbing dan mendidik buatlah apa yang terdaya, kerana mungkin barang  kali itu boleh menjadi penyebab untuk membawa kami ke syurga insyaAllah. Ya Allah aku serahkan semua cucu zuriat keturunanku kepadaMu, semoga Engkau ya Allah, ya Rahman, ya Rahim, ya Wadud mengasihi mereka dan menjadikan mereka anak-anak yang soleh dan solehah, semoga Engkau memberikan takdir yang baik-baik buat mereka. Murahkanlah dan luaskan rezeki mereka, tingkatkan darjat setinggi darjat di dunia dan akhirat. Semoga dengan itu mereka boleh memberi kebaikan kepada hidup dan matiku, dan semoga mereka boleh memberi manafaat kepada kebaikan agama Mu ya Allah ya Robbalaalamiin. 

No comments:

Post a Comment