Monday, February 14, 2022

CUCU BARU

 

CUCU KE-8 MYIESHA AMANI BINTI MUHAMAD ASFAR

12.11. 2021, hampir  jam 11 malam, anak bongsuku Mahya Diyana telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang sihat dan comel pada hari Sabtu. Alhamdulillah dia ditemani suami tercinta bersama menyambut kelahiran Amani yang sudah sekian lama ditunggu oleh  pasangan ini. Adik Mahya sakit sejak jam 5.30 pagi Sabtu itu. Lama mengalami sakit bersalin tapi jalan masih belum buka untuk Amani didatangkan ke dunia. Memang bersalin anak pertama selalunya agak lambat, jalan keluar buka, untuk proses melahirkan. Namun masa yang ditunggu sampai, apabila sudah hampir tengah malam. Alhamdulillah semua kami menadah tangan mengucapkan syukur. Semuanya selamat, maklumlah melahirkan bayi semasa zaman covid19 tengah melanda memang amat mencemaskan. Nak masuk wad pun takut, melalui pelbagai proses, nak menjadi pengiring dalam bilik bersalin pun penuh prosedur. Tak ada yang boleh tunggu apatah lagi untuk pergi melawat langsung tidak dibenarkan. Jadi setelah semunya selesai semua kami bersyukur yang tidak terhingga dan menarik nafas lega dengan anugerah Allah atas segala nikmat yang diberi, alhamdulillah.

Amani seperti bayi lain membesar dengan cepat. Dia beruntung kerana adik Mahya maminya banyak susu. Cuma pada mulanya maminya bengkak susu kerana beberapa saluran susu masih tersumbat. Selepas diurut mencurah-curah pula, cuma Amani saja yang kurang pandai mengisap, asyik tersedak-sedak. Maminya pula sakit putingnya teramat sangat kerana dihisap terlalu kuat oleh Amani. Terkadang sehingga menjerit maminya menahan sakit dan pedih, semasa Amani mengisap susu. 

Setiap pagi Amani dibawa ke Klinik Kesihatan untuk diperiksa, selama seminggu. Alhamdulillah walaupun ada tanda-tanda kekuningan tapi selepas seminggu lebih  kadar kuning menurun dan akhirnya Amani bebas kuning. Maminya pun turut diperiksa jahitan lukanya semasa di klinik. Kadang-kadan nurse datang ke rumah untuk lawatan dan pemeriksaan rutin yang biasa. 

Hari ke-9 Amani dicukur kepalanya sehingga licin oleh bidan Kak Syimah. Bayaran upah cukur kepala RM 50.25 (lima puluh ringgit suku). Dedi dan mami tak tau maksud suku, kami semua tergelak besar kerana ia sungguh klasik, hanya difahami orang-orang tua-tua dulu sahaja. Selepas itu maminya mengurut selama 3 hari berturut-turut, untuk memulihkan kesegaran badan selepas teruk bersalin, dengan bayaran RM 200. 

Setiap malam kelakuan Amani berubah-ubah, ada masa nyenyak tidur, ada masa tak lena tidur. Kadang-kadang menangis sehingga tak boleh letak, kadang-kadang lena sehingga tak gerak-gerak. Kadang-kadang siang pun tak boleh lekang dari menyusu maminya, atau digendung dedinya. Lama-lama anti ngah cadangkan letak dalam buaian, kalau tidak penat tak boleh rehat langsung. Naik buai pun kadang-kadang lena banyak, kadang-kadang tak mau juga. Sehingglah dah masuk dua bulan Amani dah nyenyak sikit tidur malam. Alhamdulillah.

Semoga Amani akan membesar dengan baik dan sihat. Semoga mami dan dedi akan bersabar dalam proses membesarkan Amani. Semoga melimpah ruahlah rezeki mami dan dedi melalui Amani. Semoga Amani menjadi anak solehah bakal menjadi penawar untuk kami semua di dunia dan akhirat. Ya Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, kami serahkan Amani dan ibubapanya kepadaMu untuk Engkau uruskan dengan takdir yang terbaik untuk mereka. Wahai Allah berikanlah yang terbaik untuk mereka sepanjang hayat mereka, ya Fattah, ya baarik, ya Rahman, ya Rahim, ya Zaljalaliwalikrom. Aamiin ya Robbalaalamiin.

No comments:

Post a Comment