Thursday, February 10, 2022

ENGKAU MAHA MENGETAHUI

Seorang ibu mendapat berita dari anaknya, berita yang amat mengejutkan. Tidak pernah terbayang dalam hidupnya dia akan berhadapan dengan situasi macam itu. Dulu berita seperti itu dia hanya dengar dari orang, baca di akhbar, ditonton di filem dan menyaksikanya dalam drama. Tapi kali ini dia dengar dari mulut anaknya sendiri. Alangkah terkejutnya, alangkah buntunya, alangkah tidak pernah disangka sama sekali, tidak pernah terbayang dan tidak pernah terlintas dalam benak fikirannya yang sudah menjangkau lebih 60 tahun usianya.

Di hati si ibu terlintas, musibah apakah ini ya Allah? Apakah terlalu besar dosa si ibu, sehingga ini yang Kau takdirkan pada si ibu yang sudah tua uisanya. Si ibu sedang bersiap diri untuk mengadap Ilahi. Anak-anaknya semua sudah lepas tanggung jawabnya. Sudah berumah tangga, semuanya sudah bekerja, sudah beranak pinak. Cucu-cucunya pun sudah besar panjang. Tak ada apa lagi yang dia inginkan, Cuma mengharapkan redha Ilahi untuk menjemputnya dengan husnulkhotimah.

Ya Allah hancur luluh hati si ibu. Walaupun si ibu sangat yakin segala yang terjadi tidak mungking secara kebetulan. Dia juga sangat yakin segalanya, apa pun takdir Tuhan padaNya, walau seberat mana, dan walau seburuk mana sekalipun, namun  itulah yang terbaik untuknya. Tapi dia amat lemah, dia tidak berdaya. Dia kecundang, dia sedih, dia bingung dan dia marah yang amat sangat, walaupun dia amat sedar itulah takdir Ilahi untuk dia.

Bagaimana si ibu tidak sedih, bagaimana si ibu tidak marah. Binatang yang tidak berfikiran pun bertungkung lumus mencari rezeki untuk bawa pulang bagi anak-anak makan. Seburuk-buruk pencuri, sekejam–kejam penyamun, segala hasil pencarian dibawa balik untuk makan dan untuk keperluan anak bini. Pencuri tidak pernah biar anak bininya digertak dan diherdik orang. Penyamun pun tidak melibatkan anak bininya masa menyamun. Dia sorang-sorang mengharung kerja buatnya tanpa melibatkan anak bininya. 

Yang ini apa jenis manusia, memang kejam, memang zalim, memang binatang paling tak guna dalam dunia. Pinjam ahlong, berani, tapi dayus punya manusia bertopengkan binatang, takut bagi tau bini, biar along gertak bini minta bayar duit yang dia pinjam berpuluh ribu ringgit. Dayus punya manusia menggadaikan keselamatan anak bini.  Ahlong kata,  ‘laki you cakap bini dia jadi gerentor, sekarang you bayar kalau tidak kita sudah tau lu punya rumah’. Ibu mana yang boleh terima mendengar berita itu dari anak kesayangannya. Ibu mana boleh dengar anaknya dalam ketakutan yang amat sangat. Dibelanya berpuluh tahun tidak pernah disiksa emosi, dijaga dengan penuh susah payah tidak pernah didera perasaannya, dibelai penuh kasih sayang, dan ditatang bagai minyak yang penuh, tapi diperlakukan seperti itu oleh orang yang diamanahkan untuk menjaganya.

Hancur luluh hati si ibu, kehidupan yang telah dibina sejak sekian lama musnah. Rumah tergadai, hutang keliling pinggang, bank sudah disenarai hitam, malah duit mak bapaknya langsai. Tiada apa lagi yang tinggal, dan dia buat muka selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku. Manusia jenis apakah ini, binatangkah atau syaitankah? Patutnya dalam usia anak dia sedang meningkat dewasa dia tengok pelajaran anak, fikir masa depan anak, buat persediaan untuk pendidikan anak-anak. Jaga anak bini bagi elok. Ini dahlah dia buat hal, dia buat pasal, anak bini yang jadi mangsa hutang dia, kena bayak hutang dia, dan kena  tengok dia pula. Adilkah ini ya Allah. Ibu mana sanggup tengok anaknya dibuat begitu? 

Si ibu Tak habis-habis beristighfar, dan tak henti-henti memohon pertunjuk jalan yang benar. Si ibu tidak sanggup melihat anaknya diperbodoh, tidak sanggup melihat anaknya dipermainkan perasaan belas kasihan, sedangkan tindakannya kepada isterinya tidak sedikitpun mempunyai perasan kasih sayang dan belas kasihan. Kalau dia kasihkan anak bini dia, takkan dia sanggup gadai rumah yang menjadi tempat berteduh anak bininya. Kalau dia kasihahkan anak bini dia, tak kan dia pi buang duit  yang sepatutnya dia bagi pada anak bini dia. Si ibu mohon pada Allah tunjuki jalan benar, jalan yang diberikan nikmat bukan jalan yang sesat dan bukan jalan yang dimurkai. Si ibu hanya boleh berserah kepada Allah kerana Dia sahajalah yang maha mengetahui akan segalanya.

 Si ibu mahu anaknya dibebaskan dari kemelut yang amat kusut. Namun si ibu sedar untuk anaknya boleh menerima keadaan itu, memang akan amat perit dan amat menyakitkan. Dia hanya mampu berdoa kerana Allah saja yang maha mengetaui segalanya. Dia sedar anaknya tidak kuat  untuk menghadapi keadaan yang getir ini. Namun Allah saja yang maha mengetahuinya. Si ibu terus berserah agar Allah memberikan yang terbaik untuk anak-anak dan cucu-cucunya, masanya sudah senja, namun Allah saja yang maha mengetahuinya. Si ibu hanya boleh terus berserah dan pasrah, kerana dia yakin Allah maha pengasih dan penyayang. Diserahkan segala kesusahannya kepada Allah kerana Dialah Allah yang maha melihat akan segala kesusahannya, aamiin. 

No comments:

Post a Comment