Saturday, November 12, 2016

SEORANG BERNAMA IBU


Nabi Mohamad saw pernah bersabda, "kalau kamu mendukung ibu kamu sekalipun, tak akan terbalas pengorbanan dan jasa ibumu membesarkan kamu, semenjak kamu kecil". Pengalaman membesarkan anak-anak sejak dilahirkan penuh dengan rasa syukur, keterujaan, bahagia, suka dan dukanya malah penuh dengan pelbagai cabaran pula. Semasa bayi lagi dijaga dengan penuh perhatian dan kasih sayang, makan minum, pakai dan kebersihan. Asal lapar tak kira siang atau malam, menangis minta disuapkan susu atau makanan. Jika tidak selesa kerana basah lampin dengan air kencing atau najis, menangis juga tak kira bila pun masanya. Tidak diambil kira yang kuat menangis, tidak kira masa sehingga kadang-kadang genap tiga bulan masanya pun ada. Maka ibu pun jadilah 'burung hantu' kerana tidak mampu tidur pada malamnya. Kadang-kadang demam, kadang-kadang selsema, maka bersengkang matalah jawabnya dik kerana anak yang tak selesa tidur adanya. Kadang-kadang entah kerana apa, tersilap susu atau makanan yang kurang sesuai, cirit birit pula tanpa ada hentinya. Kadang-kadang diserang penyakit berjangkit lain seperti demam campak, maka lagi teruklah meragamnya, buat sekian masa dan ketika.

Di samping itu tidak dikira lagi sakit semasa tumbuh gigi, sakit semasa suntikan pelalian, atau kesakitan akibat ditimpa kemalangan kerana aktiviti-aktiviti mereka yang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru. Contohnya jatuh tersembam masa merangkak, tersadung kaki semasa mula memanjat-manjat dan baru tatih berjalan, atau terjatuh semasa memanjat tangga, semuanya menjadi biasa tapi memerlukan penjagaan yang rapi bagi menghilangkan kesakitan yang tidak diduga.  Kadang-kadang tanpa diduga berlaku kemalangan yang tidak disangka-sangka - menarik barangan seperti periok nasi dengan air panas, memanjat rak buku sehingga tertimpa rak dan tercabut kuku pun ada. Maka bertambahlah penjagaan kerana kesakitan yang tidak terhingga. Siang atau malam maka tempatnya di atas dukungan sahaja, asal tidak menangis maka direlakan saja adanya. Semuanya dilalui dengan penuh sabar oleh ibu dan bapa, dalam proses membesarkan anugerah Allah yang amat berharga yang mewarnai kehidupan lagi membahagiakan adanya.  Dan proses ini terus berjalan dalam ruang lingkup masa yang terus berjalan, dan jumlah anak pun semakin hari menjadi semakin ramai. Namun siibu tetap rasa bahagia dan terhibur dalam menjalani kehidupan dan mengadun proses pembesaran bersama anak-anaknya itu.

Masa pun terus berlalu, semua anak membesarlah sudah dan siibu pula bertambah usianya. Tiba masanya ibu pula sakit dan memerlukan perhatian seperti bayi adanya. Tika memadikan ibu, terbayang tangan yang sudah tidak bermaya itu telah bertahun-tahun memandikan anak yang masih bayi sehingga besar. Tika menyuap makanan terbayang suapan ibu yang dengan penuh manja dan kasih sayang menyuapkan makanan kepada bayi yang sangat dicintai dengan sabar dan rela. Tika menukarkan lampin terbayang betapa leganya sibayi yang telah dibersihkan, tidak kira tengah malam, pagi atau petang. Jika tengah malam atau dini hari  sekalipun siibu dengan penuh  belaian kasihnya, menggantikan lampin supaya bayi kesayangan dapat tidur kembali dengan selesa. Jika menangis didodoikan, jika sakit dirawatkan, jika takut didokong dan dipeluk erat dalam dakapan. Alangkah, alangkah besarnya kasih ibu untuk setiap anaknya sejak dari bayi sehinggalah menjadi dewasa. 

Bagaimanakah dapat kita membalasnya? Memang tidak terbalas, walau bagaimana rapinya sekalipun, seorang anak menjaga  orang tuanya, tidak akan terbalas jasanya, pengorbanannya dan kasih sayangnya yang telah tercurahkan sejak sekian lama. Semoga Allah mengampunkan dosa ibu-ibu dan memberikan balasan syurga kepada mereka.Amin


No comments:

Post a Comment