Thursday, November 10, 2016

PINJAM-PINJAMAN


CERAMAH USTAZ AHMAD DUSUKI
BERDASARKAN SURAH MARYAM

Hidup  kita di dunia, ibarat kita tumpang dan ibarat kita pinjam kehidupan ini dari Allah. Dunia ini milik Allah, jadi manusia kena ikut tuan punya yang kita tumpang. Ada caranya, ada peraturan yang dikenakan pemiliknya iaitu Allah, maka manusia kena ikut, wajib patuh peraturan Allah. Bila kita tidak ikut peraturan iaitu yang Allah sediakan, yang Allah tunjukkan melalui AlQuran, Allah kenakan azab sama ada di dunia atau di akhirat kelak. Allah telah beritahu dalam Quran banyak kaum telah diazab kerana melawan perintah Allah. Kaum dahulu yang tamadunnya hebat, dan kehidupannya nampak di mata manusia amat sempurna dan maju, tapi kerana mereka  engkar, Allah telah hancurkan mereka, contohnya kaum AAd dan kaum Thamud, mereka dihancurkan kerana tiada pembangunan manusia. Tiada pembangunan manusia bermakna melawan Allah, bila lawan Allah, Allah hancurkan mereka seperti yang diterangkan dalam AlQuran. Pada zaman moden ini, Allah beri pelbagai penyakit contonya aids, penyakit emosi bunuh diri, gempa bumi, dan pelbagai lagi bencana yang memusnahkan manusia dan pembangunan yang telah dicapai dan dibangunkan. Jadi belajarlah  dengan kaum-kaum yang telah dimusnahkan sebelum in kerana mereka  lawan Allah. Kalau ada kalangan keluarga kita tak solat, buat maksiat, tak tutup aurat, tak jaga peraturan Allah, maka akan mulalah  berlaku kehancuran dalam keluarga kita.

Allah telah berfirman, Allah biarkan manusia dalam kesesatan dalam tempoh yang panjang.  Manusia akan tersedar dan tercelik mata bila datangnya azab kesusahan di dunia atau apabila masa menghadapi saat mati, atau datangnya hari qiamat.  Maka pada waktu itu, barulah manusia tahu siapa yang betul, dan siapa yang dapat memberi pertolongan di saat kita berada dalam kesusahan sakratul maut.  Dalam menghadapi perjalanan hidup manusia selalu sesat, dan Allah biarkan kesesatan itu sehingga sampai janji Allah, sehingga tiba masa Allah azab manusia iaitu alam kubur  atau hari kiamat. Manusia memang hidup dalam kealpaan dengan nikmat yang Allah berikan tanpa ingat untuk bersyukur. Apabila diberi masalah, kena jerebu maka mulalah solat hajat. Air penuh di empangan tak solat hajat, air kering baru solat istisqa. Bila kita diberi nikmat kita tak sedar, bila diberi azab baru tersedar. Bila sakit cari quran, dan baca doa, masa nikmat tidak rasa bersyukur, bila diberi azab barulah kalut tak tahu kepala ekor. 

Dalam dunia ini ada orang tolol, hari nak mati baru cari agama, tak mati tak buat apa-apa persediaan. Dalam keadaan itu baru tahu siapa yang kuat dan siapa yang lemah. Hidup di dunia hanyut leka, seronok main piano,dan main gitar bagai, ada bila nak mati main piano?. Masa nak mati cari yasin, cari quran, kalut cari itu ini. waktu itu baru kalut nak cari Allah. Masa hidup sombong dan tak kenal Allah. Jangan sombong dengan Allah. Sombong ni untuk Allah kerana kita mempunyai kelemahan tak layak sombong. Tinggi mana pun kita, atau besar mana pun kita, biarlah tawadhuk kerana kita hamba kepada Allah Taala. Janganlah hendaknya Allah panjangkan masa kita hidup dalam sesat, sentiasa sesat, lalai dan leka dengan nikmat Allah dalam hidup.

Orang yang diberi pertunjuk oleh Allah adalah golongan yang Allah sayang. Jika Allah sayang, Allah jaga kita daripada buat kerja maksiat, Allah bagi hidayah kepada kita. Allah bimbing kita, Allah tarik kita datang ke majlis agama. Tanda Allah sayang kita, kita terbuka untuk berbuat kebaikan dan kekalkan serta tambahkan benda-benda yang baik. Ada orang Allah bagi dia sakit terbaring, Allah bagi keluarga kita sakit dan susah. Dengan semua itu Allah akan tambah pertunjuk yang lain dalam hidup kita, Allah tambahkan amalan soleh yang kita kerjakan. Kerana yang inilah yang akan kamu  bawa apabila balik bertemu Allah nanti. Benda yang paling kekal ialah mendapat hidayah dari Allah dan terus mengerjakan amalan soleh yang kekal yang dibuat dalam hidup, yang akan memberikan kesudahan yang baik dalam hidup kita.

Sepatutnya orang mukmin lagi tua usia lagi soleh, dan semakin dekat dengan Allah. Jika tidak Allah panjangkan masa dia dalam kesesatan. Orang yang paling baik antara kamu lagi panjang usianya lagi semakin baik amalan kamu. Seburuk-buruk manusia Allah panjangkan usianya dan berterusan kesesatannya. Orang macam ini Allah sebut sebagi  orang-orang yang rugi. Allah berfirman orang kafir mereka tidak nampak benda-benda ghaib yang ada kaitan dan bersangkutan dengan Allah. Allah tanya, adakah mereka buat perjanjian dengan Allah  untuk tidak patuh Allah, sehingga kamu tidak patuh perintah Allah. Mereka tahu tak benda yang akan berlaku dalam kubur atau yang akan berlaku di hari kiamat nanti?.  Allah berfirman,  orang yang lawan Allah yang hanyut dengan dunia, Allah kata jangan begitu, kami akan catat dan akan sediakan azab yang berpenjang nanti. Orang kafir, kaya-kaya, berpengaruh, tiada kesusahan, sakit pun tiada, Allah  sengaja  panjangkan kesenangan itu suapaya senang Allah  nak azabkan mereka nanti di dalam kubur dan hari kiamat.

Manusia menjadi sombong kerana dapat nikmat lebih sikit, puncanya ada ilmu ada sikit, ada jawatan hebat, ada harta benda, ada duit banyak, ada pangkat, kebesaran, rupa paras yang Allah berikan jadi janganlah berlagak sombong. Semua nikmat  kamu itu tidak akan kekalkan, tidak akan diwarisi. Kamu saja yang sorang-sorang yang akan dihisap, waktu itu kamu tengok diri kamu depan Allah.  Semasa kamu mati, kamu datang berjumpa Allah sorang-sorang. Allah tunjuk semua kejahatan yang telah dilakukan di dunia. Jadi kita manusia kita mesti rasa kita hamba, kalau ada nikmat itu anugerah Allah kepada kita. Allah bagi segala nikmat itu untuk jadikan ujian dalam hidup kita. Jika kita tawdhuk, ikut perintah dan beramal soleh, barulah mati pun jadi indah. Ada kelebihan orang yang patuh perintah Allah mati, iaitu mati menjadi nikmat dan  menjadi impian indah.  Apabila mati  indahnya dapat berjumpa dengan kekasih iaitu Allah . Kedua  nikmat mati ialah dapat berehat kerana hidup di dunia sebagai penjara penuh dengan kesusahan. Yang ke-3 bila mati baru boleh masuk syurga, selagi di dunia hidup ibarat dalam penjara, tidak dirasakan adanya nikmat. Syurga Allah nikmatnya tidak dapat digambarkan keindahannya seperti nikmat mendengar yang tak pernah dengar, dan melihat apa yang tidak pernah dilihat.

Jadi di dunia ini kita sembah dan patuh kepada Allah, jangan sembah apa yang tak patut disembah. Dengan itu barulah kita dapat mengadap Allah di akhirat nanti dengan tenang dan tidak takut. Berdoalah kepada Allah supaya  Allah sayang kepada kita dan  Allah tambah kita amalan hari demi hari hingga kita mati, insyaa Allah.

No comments:

Post a Comment