Saturday, March 14, 2015

CERITA-CERITA DOKTOR



Gambar hiasan Doktor yang sudah bekerja


Bila ditanya anak-anak kecil, bila besar nak jadi apa, jawapannya sudah pasti nak jadi doktor. Emak bapa pun tersenyum gembira dan merasa sungguh berbesar hati dan diam-diam mengharapkan ia menjadi kenyataan hendaknya. Kemudian apabila remaja, selepas mendapat keputusan cemerlang bila ditanya lagi, dengan yakin dan senang hati mereka memberitahu nak jadi doktor. Emak bapa pun terus mengharapkan dan terus berdoa agar anak-anak yang dikasihi akan berjaya menjadi doktor nantinya. Kemudian impian untuk menjadi doktor menjadi kenyataan apabila diterima masuk ke universiti dalam Jurusan Kedoktoran. Maka bermulalah satu era baru dalam kehidupan iaitu mengejar cita-cita yang dihajatkan sejak sekian lama.

Sesungguhnya dalam menyusuri era ini banyak cerita yang ingin dikongsi bersama untuk renungan. Seorang teman pernah berkata, aku tak ada rezeki nak jadi doktor. Dua kali  gagal ujian di tahun dua dan tahun tiga pre-klinikal, maka pengajiannya terpaksa ditamatkan. Dia masih ingat dengan jelas emaknya sering menitiskan air mata semasa makan bersama. "Nak buat macam mana nak, tak sampai hajat dan tak ada rezeki nak makan duit doktor, makanlah apa yang ada". Lama juga saat-saat sedih itu menyelubungi keluarga rakan tersebut, sementara hati yang luka diubati dengan sabar dan redha, sehinggalah kehidupan berjalan seperti biasa semula.

Yang tidak menjadi Doktor

Cerita kedua: Seorang anak memang sangat cemerlang sejak di sekolah rendah, sekolah menengah, MRSM, Kursus Persediaan International Barcalaureat, dan berjaya ke Universiti Cambridge dalam bidang perubatan. Pengajian dalam tahun satu hingga tahun tiga berjalan lancar dengan cemerlangnya. Masalahnya timbul bila masuk ke tahun empat, dia terpaksa menjalani latihan klinikal. Kecemerlangan yang dilalui sejak kecil hingga dewasa tidak menjanjikan kecemerlangan semasa dia berada di hospital. Maka bermulalah mimpi ngeri dalam era mengejar cita-cita menjadi doktor. Takdir telah menentukan dia gagal dua kali ujian klinikal di tahun empat yang terpaksa diulangnya. Maka dengan sedihnya dia gagal mendapat gelaran yang dikejarnya sejak kecil, kerana ditamatkan pengajiannya setelah gagal dua tahun  berturut-turut. Maka berkecailah harapannya dan harapan ayah bonda untuk melihatnya menjadi doktor.



Gambar Hiasan Doktor yang sudah bekerja




Cerita ketiga: Ini kisah sedih yang sangat menyentuh jiwa juga. Seorang pelajar perubatan sebuah universiti di England, berada di tahun empat, dikatakan telah mengalami tekanan yang teramat sangat. Mula-mula dia sering berkongsi cerita dengan rakan seperjuangan tentang masalahnya itu. Kemudaian dia bertukar menjadi murung dan akhirnya barangkali tidak tertanggung bebanannya, dia terus hilang ingatan. Rakan-rakan sudah tidak terdaya membantu lagi, kerana dia sudah lupa diri, lari keluar rumah dalam keadaan yang tidak terkawal dan terkadang bertindak berbahaya. Dia terpaksa dirawat di unit psikologi, kemudian ditangguhkan pengajian kerana tidak sihat dan tidak mampu belajar lagi. 

Cerita keempat: Pelajar ini keputusannya cemerlang, boleh mengikuti pengajian perubatan di universiti tempatan dari awal hingga tamat. Dia mendapat ijazah dan sudah bergelar doktor. Kemudian dengan senang hatinya melapor diri di Hospital Alor Setar. Dengan itu bermulalah kehidupan yang mencabar sebagai seorang doktor yang dicita-citakan sejak kecil. Dia bertugas di unit "Medical". Macam biasalah setiap "Houseman" perlu menjalani masa "tagging" selama dua minggu, untuk membiasakan diri bekerja di ward. Menjalani "tagging" ini masa bekerjanya sangat lama, bermula seawal jam lima pagi dan berakhir selewat jam satu pagi. Dan bekerja di ward sudah tentulah di bawah pengawasan doktor-doktor yang lebih senior. Selepas sebulan bekerja dia terus buat keputusan tidak mahu sambung bekerja sebagai doktor. Kononnya dia tidak tahan dengan bebanan kerja dan tekanan doktor-doktor senior yang selalu marah-marah dan tengking-tengking semasa bertugas di ward. Dia berhenti dan terus mencari kerja lain. Alangkah kecewanya ibu ayah yang selama ini mengharapkan anaknya menjawat jawatan doktor yang  selama ini. Ibu ayah yang susuh hidupnya itu, sekian lama mengharapkan kehidupannya akan lebih baik, bila anaknya berjawatan tinggi dan bergaji besar. Namun amatlah malang bila anak yang sudah berjaya menjadi doktot lari dari tugasnya begitu sahaja. Amatlah sedih ibu ayah, namun itulah takdir yang terpaksa diterimanya dengan hati yang berat.

Gambar hiasan Doktor  yang sudah lama bertugas
Bakal-bakal Doktor
Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah sedih  dalam proses menjadi doktor. Sebab terjadinya kisah sedih ini terbahagi kepada beberapa fasa - fasa pertama ialah semasa pembelajaran iaitu tidak lulus dua kali di tahun pre-klinikal, atau tahun klinikal. Dalam fasa ini selain gagal peperiksaan bertulis atau praktikal,  terjadi juga masalah apabila pelajar mengalami gangguan tekanan sehingga menjadi tidak sihat kerana tidak mampu menahan bebanan pembelajaran. Maka jika berlaku pelajar tidak sihat juga, pembelajaran akan ditangguhkan atau ditamatkan ikut ketetapan pihak universiti. Fasa kedua ialah tidak tahan dengan tekanan semasa sudah mula bekerja sebagai houseman. Jadi itulah antara cerita-cerita sedih yang boleh dikongsikan bersama untuk renungan. Semuanya adalah takdir dan ketentuan Allah yang telah diaturkan Allah untuk semua umatNya. Mudah-mudahan kita mengambil iktibar daripada kisah-kisah di atas.

No comments:

Post a Comment