Tuesday, March 26, 2013

MAHKAMAH RABBUL JALIL


TAZKIRAH PAGI, 26 MAC 2013
OLEH US ABD GHANI AWANG SEMAN

HADITH KETUJUH - MAHKAMAH QADHI RABBUL JALIL
Pengajaran ayat;
  1. Semua orang akan dihadapkan kepada Allah swt pada hari qiamat nanti, seorang demi seorang dan tidak ada seorang pun yang sanggup menolong orang lain pada waktu itu,  walaupun anak isteri yang dikasihi di dunia ini.
  2. Di akhirat nanti kita menjadi sebatang kara, sebatang tubuh yang kerdil, yang akan berdiri tegak di hadapan Allah, Qadhi Rabbul Jalil yang maha mengetahui segala perbuatan dan rahsia hambaNya, mampukah kita mengangkat muka kita, yang berlumuran dengan dosa di hadapan mahkamah Tuhan nanti?
  3. Dalam ketakutan menunggu untuk dihisab itu, bila kita menoleh ke kanan ternampak amalan kebaikan, dan bila menoleh ke kiri ternampak perbuatan maksiat, dan bila mengangkat kepala ternampak di hadapan, kemarakan api neraka, yang terbentang sejauh mata memandang dan syurga masih jauh di sebalik api yang menyala.
  4. Dalam ketakutan itu, kita belum pasti apakah kita  akan mendapat kejayaan untuk sampai ke syurga sana, atau kita akan terjatuh di tengah perjalanan titian siratal mustaqim ke jurang api neraka jahannam.
  5. Oleh itu dari sekarang marilah kita tentukan arah perjalanan kita menyeberangi ke negeri syurga. Buatlah bekalan, dengan melakukan kebaikan sebanyak mungkin, sedikit demi sedikit, akhirnya menjadi bukit, kerana di akhirat sana, kita sangat berhajat kepada pahala kebaikan yang dilakukan sendiri di dunia.
HADITH KELAPAN  - BERENANG DI LAUTAN PELUH
Pengajaran Ayat;
  1. Suasana hari qiamat di Padang Mahsyar, adalah tersangat panas, ketika orang ramai dibangkitkan dari kubur dan berkumpul untuk dihisab dan diperhitungkan.
  2. Keadaan orang ramai pada masa itu, berbeza-beza mengikut keadaan amal perbuatan masing-masing di dunia dan hitungan perbuatannya yang baik atau yang buruk. Oleh kerana terlalu panas, ada yang berpeluh hingga ke tumit, atau sampai ke lutut, atau sampai ke pinggang, atau sampai ke telinga, hingga terpaksa berenang dalam lautan peluh.
  3. Walau bagaimanapun ada tujuh golongan yang dinaungi Allah di bawah naungan ArasyNya yang mulia, iaitu, pemimpin yang adil, pemuda yang rajin beribadat, lelaki yang hatinya terpaut dengan mesjid, lelaki yang digoda berzina tapi dapat menahan diri,orang yang menyembunyikan sedekahnya,dan oran yang mencucurkan air mata semata-mata kerana takut kepada Allah. 
  4. Marilah kita semua, sahabat handai, adik kakak, anak-anak tercinta, dan semua yang ter baca ruangan ini, berusaha dengan bersungguh, mudah-mudahan kita termasuk di kalangan golongan yang bertuah ini insyaa Allah.

     

No comments:

Post a Comment