Tuesday, March 26, 2013

KERJA ITU IBADAT


TAZKIRAH PAGI, 25 MAC 13
OLEH PN NORLELA MOHD SAHAD

Kerja dikategorikan sebagai ibadah, boleh diertikan sebagai membuat sesuatu tugas atau tanggung jawab yang diamanahkan, untuk mencari pendapatan di samping mendapat keredhaan Allah. Apabila seseorang itu bekerja semata-mata kerana Allah,  ia akan  mendapat keredhaan Allah, seperti yang terdapat dalam Surah AtTaubah ayat 105,
 "Katakanlah (Wahai Mohamad), beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasulnya serta orang yang beriman, akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan." 

Manusia sebenarnya bekerja untuk memenuhi tuntutan dan keperluan hidup di dunia yang sementara ini seperti berikut;

1. Memenuhi keperluan diri
Rasulullah saw bersabda, " Jika pergi seseorang daripada kamu pada tengah hari untuk mengambil kayu bakar di belakangnya, sehingga dia dapat bersedekah darinya dan mencegah daripada meminta-minta, maka yang demikian  adalah lebi baik daripada meminta-minta kepada orang lain, sama ada diberi atau tidak, kerana tangan yang di atas, adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah, ....."

2.  Memenuhi keperluan keluarga
Rasulullah saw bersabda, "Sesungguhnya Allah sangat cintakan kepada mukmin yang bekerja...."

3. Memenuhi keperluan masyarakat
Umum mengetahui tidak semua manusia mempunyai kepakaran dalam semua bidang pekerjaan. Untuk itu kemahiran individu dalam pelbagai jenis pekerjaan, yang dilaksanakan dengan ikhlas, dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat yang diklasifikasikan sebagai tuntutan fardhu kifayah, seperti firman Allah yang bermaksud, "bertanyalah kepada orang yang lebih tahu jika kamu tidak mengetahui......"

4. Membantu memakmurkan bumi Allah
 Pekerjaan yang kita lakukan mempunyai hubungan  dan kaitan yang rapat dengan unsur kehidupan manusi di dunia selain memelihara segala nikmat Allah yang dikurniakan di muka bumi ini.

Oleh itu marilah kita mengamalkan amalan kebiasaan, supaya kita dapat melaksanakan pekerjaan kita sebagai ibadah, untuk memenuhi keperluan dan kebaikan dunia dan pada masa yang sama, dihadiahkan ganjaran di akhirat pula. Marilah kita laksanakan amalan-amalan berikut;
1. Melangkahlah keluar ke tempat kerja dengan lafaz bismilla. dan berazam untuk mendapat keredhaan Allah
2.Bekerjalah  dengan amanah, adil dan bertanggung jawab
3. Laksanakan kerja dengan tekun, cekap dan bersungguh-sungguh
4. Berdisiplin dan menghasilkan kerja yang berkualiti dan berprestasi tinggi
5. Carilah kerja, dan sentiasa menjadi orang yang proaktif
6. Elakkan diri daripada sebarang kemungkaran di tempat kerja

Mudah-mudahan setiap pergerakan kita dari mula berdoa keluar rumah hingga kita pulang dikira sebagai ibadah dan amal soleh. Mudah-mudahan dengan cara itu rezeki yang diterima penuh keberkatan dan dapat menghindarkan diri kita dan keluarga kita daripada sebarang musibah, insyaa Allah....


No comments:

Post a Comment