Thursday, September 13, 2012

KURUNG AYAM


Lama sudah tidak makan di luar. Sejak akhir-akhir ini memang sangat ketat jadual harian dari pagi hinggalah  ke petang. Oleh kerana alang tidak 'on-call' malam ini, maka kami makan di luar kerana meraikannya yang selalu juga sibuk.Restoran D'dapor Ibu sungguh nyaman dalam keadaan hujan turun tidak henti-henti sejak dari pagi. Kami pesan makanan, ikan siakap goreng halia, sup tulang, udang celup tepung dan sayur cendawan, sungguh menyelerakan kerana cuaca yang sejuk nyaman menjadikan kita terasa lapar dan teringin hendak makan.  Seperti biasa sejak akhir-akhir ini, alang memang banyak benda yang nak diceritakan, sambil kami menuggu makanan siap masak dihidang.

Tiba-tiba perhatian kami berubah sebentar. Papa tanya kami, nama  bagi benda yang menjadi hiasan di dinding restoran itu. Alang bagi tau papa benda itu bubu. Mama pun kata bubu, dan papa ketawa, sebelum papa beritahu kami, benda itu sebenarnya bukan bubu, tapi kurung ayam zaman dulu-dulu. Memang betul, baru teringat, masa kecik-kecil dulu, boleh dikatakan  setiap rumah akan ada kurung ayam di bawah rumah setiap orang, barang sebiji atau dua. Ia dibuat daripada batang buluh, dibelah-belah menjadi sebesar jari di bahagian atasnya, dan dianyam jari-jari belahan buluh, dengan bilah-bilah buluh yang diraut nipis.Bentuknya selepas siap dianyam seperti gelas berkaki.


Biasanya kurung ayam akan dipacak di sebatang kayu supaya tingginya menjadi lebih kurang setinggi dada, kemudian ia diikat di tiang rumah supaya kuat dan tidak tumbang. Di dalamnya akan diletakkan rumput-rumput kering, kemudian dilapiskan dengan jerami kering pula. Kegunaannya ialah menjadi tempat atau sarang untuk ayam bertelur, dan seterusnya menjadi tempat untuk ayam mengeramkan telur pula.Kurung ayam ini sebenarnya disediakan pada zaman dahulu, untuk mengelakkan ayam bertelur merata-rata dan juga untuk  membiakkan ayam jika telur tidak dijual atau dimakan. Di samping itu, kadang-kadang ayam digunakan juga untuk mengeramkan telur-telur itik juga. Maka jadilah ayam sebagai ibu tumpang anak-anak itik sehingga mereka, pandai berenang di air.

Begitulah unsur budaya lama dalam arus pemodenan ini menjadi semakin pupus dan ditinggalkan. Ini terjadi bukan saja dalam dunia melayu tetapi bangsa lain mengalami proses yang sama. Bezanya unsur budaya bangsa lain yang lebih maju, walau mengalami kepupusan, akan kekal dan diabadikan untuk tatapan generasi muda kerana didokumenkan, atau ditulis dan dibukukan atau dipamerkan di muzium-muzium budaya. Sama-samalah kita terus mengekalkan warisan budaya kita untuk tatapan anak-anak zaman ini.

No comments:

Post a Comment