Tuesday, September 18, 2012

TELAN PAHIT


Makan-makan semasa meraikan teman-teman yang akan bersara, menyajikan kami dengan pelbagai topik menarik. Seorang rakan bertanyakan kami tentang "telan pahit". Kami sabar menantikan jawapannya, kerana masing-masing enggan menjawab. Kononnya dia dapat istilah ini semasa kursus motivasi suatu masa dulu. Katanya lagi semasa soalan itu ditanya, ramai juga yang memberi jawapan, telan ubat, kerana tidak pernah didengar ada ubat yang manis, kecuali ubat kanak-kanak. Pakar motivasi itu pun memberi tahu jawapan itu betul. Tapi yang lebih betul ialah, dalam menjalani kehidupan kita, kita akan berhadapan dengan situasi "telan pahit" ini, terutamanya dalam pengurusan organisasi.

Contohnya dalam kehidupan seorang pelajar, kita mesti belajar, mesti siapkan kerja rumah, mesti ke sekolah ikut masa dan peraturan dan mesti ulangkaji untuk lulus periksa. Semua itu adalah kerja-kerja yang bukan mudah, tapi kerja yang susah, walau bagaimanapun, terpaksa dilakukan juga. Maka itulah yang dikatakan "telan pahit". Contoh lain seperti kehidupan berkeluarga, yang juga merupakan suatu pengalaman yang sinonim dengan istilah di atas. Sebagai ketua keluarga kita terpaksa bekerja keras dan  membanting tulang untuk memesarkan anak-anak. Di samping itu kita perlu mendidik anak-anak supaya menjadi manusia yang berguna, dan berjaya dalam pelajaran dan berjaya juga di akhirat. Ini tidak termasuk lagi menyediakan perbelanjaan makan minum, wang tuisyen, keperluan asas dan lain-lain lagi. Semuanya itu amat sukar tapi mesti dilaksanakan juga, ditelan juga walaupun pahit.........

No comments:

Post a Comment