Tuesday, September 25, 2012

ZIARAH KEMATIAN


Berada di kuburan yang hening dan sayu itu, terkenang aku realiti kehidupan masa kini berbanding dahulu. Dulu-dulu  masa masih kecil, masa kemajuan masih belum terasa bahang kesibukan, pernah aku mengikut emak berjaga orang sakit bermalam-malam. Setiap lepas solat maghrib, kami cepat-cepat makan, kemudian dengan menggunakan lampu suluh, kami berjalan meredah kampung ke rumah saudara yang sedang sakit tenat. Selalunya emak akan bawa makanan, bengkang atau apa-apa saja, buat hidangan kepada sanak saudara dan jiran tetangga yang turut serta meringankan beban atau memberi sokongan moral kepada keluarga yang ditimpa musibah.

Masih segar dalam ingatan sanak saudara  memenuhi ruang anjung rumah, membincangkan tentang penyakit dan juga sisakit. Kadang-kadang tok bomoh hadir untuk membuat rawatan pula. Kami yang masih kecil seolah-olah tidak memahami satu apa pun, bermain-main atau kadang-kadang baring saja di ribaan orang tua sementara masih mampu berjaga. Kini kalau ada yang sakit tempatnya di hospital, ditemani sanak saudara terdekat saja seorang dua. Itupun sekadar sebelum jam dua belas tengah malam, kerana esoknya semua orang terpaksa ke tempat kerja dan menguruskan anak-anak ke sekolah.

Oleh itu tiadalah lagi berjaga untuk  sama-sama "menjaga" saudara. Kalau yang sakit tiba masa dijemput  pulang, barulah terpaksa ambil cuti untuk ziarah kematian. Makna sebenarnya ialah menziarahi keluarga yang menghadapi kematian. Sangat suntuknya masa kita sehingga kita hanya mampu pulang bersama keluarga apabila sudah berlaku kematian. Kadang-kadang kita sempat jumpa saudara yang meninggal, tapi selalunya kita cuma sempat memberi pernghormatan terakhir sebelum dikuburkan. Alangkah..... alangkah baiknya jika kita masih mampu mempunyai sedikit masa untuk sama-sama memberi perhatian, dan sama memberi sokongan moral, semasa anggota keluarga masih belum kembali ke rahmatullah, seperti dulu-dulu.......

No comments:

Post a Comment