Friday, November 26, 2010

St Helen Car-boot sale


Pagi itu hujan renyai-renyai, jadi cuaca sangat dingin. Walaupun masih terasa malas, untuk keluar rumah, tapi dek kerana kami sudah terlanjur berjanji dengan Nik dan emaknya untuk ke St Helen maka kami pun dengan penuh semangat bergerak keluar. Kedinginan pagi menjadikan kami lebih segar dan bertenaga. Kononnya di situ car-boot sale agak besar dan meriah, lagipun tidak terlalu awal beroperasi. Sesuailah dengan kami yang suka santai-santai dan relaks. Jam 9.00 pagi lebih kurang kami sampai ke situ, selepas satu jam perjalanan dari Liverpool. Hujan masih renyai-renyai, semasa ketibaan kami.

Kami menjamu mata. Bermula di tapak letak kereta, suatu padang parking lot yang luas, penuh dengan kereta-kereta yang memperagakan pelbagai barangan, kami meninjau-ninjau barangan yang ada. Namakan apa saja semuanya ada di situ – baju, baju sejuk, seluar, selimut, mainan, beg tangan, piring hitam dan entah apa-apa lagi. Hujan mula turun menyejukkan lagi pagi yang suram itu. Nasib baik barangan lama di sini dijual juga di parking lot bertingkat-tingkat – 7 tingkat semuanya. Jadi hujan pun tidaklah menghalang kami untuk terus menjamu mata.

Dengan tidak sedikit pun terburu-buru, kami membelek-belek barangan dari satu tingkat ke satu tingkat. Bang longlah yang paling banyak membeli, dia beli game dan cd filem-filem yang digemarinya. Papa juga beli satu dua barang yang memenuhi cita rasanya, juga barangan yang tidak memerlukan space yang banyak untuk dibawa balik ke Malaysia. Memanglah kalau lama tinggal di Liverpool sudah pasti banyaklah benda yang dapat dikumpul untuk dibawa balik sebagai koleksi. Memang sangat murah dan masih cantik-cantik lagi kualiti barangan yang dijual di car boot sale di sini.

Bagus juga budaya car boot sale ini. Kalau ada barang yang sudah tidak diperlukan, atau barangan yang sudah jemu digunakan tapi masih baru dan tidak sanggup untuk dibuang, maka boleh dijual, dan boleh juga dimanfaatkan oleh orang yang memerlukan. Di Malaysia kalau barangan yang aku tidak begitu guna, atau, tidak dipakai selalu, tak tau mana nak letak lagi, memenuhi ruang rumah. Nak diberi kepada orang, cita rasa tak sama, sekarang orang tidak suka barang percuma, orang yang susah atau dalam kesusahan pun sudah tidak pakai barang secondhand. Mangsa banjir pun tidak sudi lagi menerima dengan hati gembiranya. Alahai susah juga, Negara maju pemikiran kurang maju. Nasib baik jugalah sekarang kat Malaysia sudah ada charity shop, tapi masih belum banyak lagi. Cuma ada kat Bandar besar saja. Isy, isy……

No comments:

Post a Comment