Friday, November 26, 2010

CANAL BUS TOUR (2) WINDMILL OH! WINDMILL



Menaiki canal bus ke destinasi kedua mengikut peta yang disediakan, kami memilih untuk pergi melihat windmill. Kalau pelancong melawat ke Amsterdam pasti itulah antara tarikan yang patut dilihat, kerana sangat sinonim dengan Amsterdam. Kami tidak teruja untuk ke luar kota melihat windwill di kawasan pertanian, kerana perjalanan yang agak jauh, akan mengurangkan aktiviti kami sekitar Amsterdam yang sangat singkat – lima hari empat malam memang sangat suntuk, Cuma boleh pusing-pusing keliling bandar yang indah itu sahaja. Jadi berhampiran dengan Nemo Science Centre memang ada tinggalan windmill tidak jauh dari bandar, yang masih teguh, masih dijaga rapi dan masih berfungsi untuk dilihat oleh pelancong. Dari jauh kami sudah dapat melihat windmill yang tersergam itu, melalui tingkap bas air yang menyusuri terusan binaan manusia yang hebat di Bandar unik ini. Semua penumpang bas sibuk mengabadikan gambar windmill, termasuklah papa dan along. Dari bas yang melalui terusan memang sangat jelas, nampak dari hadapan, sisi, dan belakang. Agaknya memang sengaja dibina terusan yang menuju ke windmill itu, supaya menjadi tarikan pelancong yang tidak mahu berjalan jauh ke luar kota.

Bas air berhenti tidak jauh dari tempat yang nak dituju. Kami bersama penumpang lainnya turun untuk melihat windmill dari dekat. Lima minit berjalan kami tiba di hadapan windmill itu. Masya Allah, sangat dijaga dengan rapinya. Di sekitarnya ada lanskap penuh dihiasi pokok-pokok bunga, cantik, ceria segar dan mengasyikkan sungguh. Di bahagian hadapan ada restoran, ala kedai kopi mamak di Malaysia. Pelanacong yang berkunjung boleh menikmati hidangan, sambil tangkap-tangkap gambar. Masyarakat lokal juga suka makan-makan dan lepak-lepak di situ, udaranya nyaman, pemandanganya cantik dan kebanggaan milik bangsa mereka yang agong dari unsur budaya dan sejarah bangsa juga terjaga rapi, amat membanggakan bagi yang melihatnya.

Teringat aku unsur-unsur budaya bangsa kita yang juga, suatu ketika dulu sangat agong. Di mana letaknya jelapang padi yang gah ada di keliling kampung? Di mana adanya tong pemukul padi yang sangat berjasa kepada rakyat dan juga petani – tuan-tuan tanah yang kaya raya ketika dulu? Di mana boleh dilihat pengisar padi milik orang kaya bendang suatu ketika dahulu? Semuanya hilang ditelan zaman, semuanya sudah tidak dapat dilihat, sudah tidak dapat dinikmati, dan tidak juga dapat dirasai atau tidak langsung boleh menjadi kebanggaan bangsa dan tidak lagi menjadi satu penerusan unsur budaya agraria yang sebati dan agong suatu masa dahulu. Kita sesungguhnya pandai meniru, tapi kita tidak pandai menjaga, kita tidak pandai menghargai, kita juga tidak pandai mendokumentasi, dan mempamerkan keagongan kita sendiri untuk kita eksploit bagi menunjukkan keagongan kita. Alangkah.... alangkah ..... tak tahu apa yang patut dirasakan..... sungguh amat malang....! Janganlah hendaknya segalanya hilang berkubur sehingga tiada apa lagi yang boleh dibanggakan nanti, untuk generasi pewaris bangsa.

No comments:

Post a Comment