Saturday, November 6, 2010

AMSTERDAM THE SIN CITY 2

Menjejakkan kaki ke hotel tempat untuk penginapan sepanjang di Amsterdam sungguh menjadikan kami teruja. Kami memang tidak memilih mana-mana syarikat untuk membantu kami sepanjang kami berada di sana. Jadi kami memang buat keputusan untuk melancong dengan bantuan peta dan maklumat yang dibekalkan di kota itu. Di lobi hotel telah dibekalkan pelbagai jenis peta, untuk pelbagai jenis pelancong. Semasa di Schippol Airport juga, kami telah mendapat peta yang sudah agak lengkap, buat bekalan untuk melawat kota Amsterdam yang terkenal itu.

Papa memilih beberapa peta, membandingkan antara satu peta dengan yang lain. Mengambil mana yang menepati cita rasa buat pedoman untuk melihat-lihat dan melancong. Along juga memilih dua tiga peta yang sesuai. Aku juga memilih yang sesuai satu dua. Ada peta untuk pelancong memilih bagaimana cara untuk melancong di situ – menaiki basikal, menaiki trem, berjalan kaki, atau menggunakan canal bas. Menarik juga untuk diteliti dan merupakan pilihan yang sangat menjadikan kami teruja. Peta lain menceritakan aktiviti gay, dan Redlight Street sebagai satu aktiviti pelancongan. Bagi sebuah negara yang sudah dianggap maju, mengaku diri maju, menerima kehidupan di luar norma sebagai legal dan diterima masyarakat, tapi manusia tidak boleh membohongi diri sendiri, tentang apa yang boleh dan diterima conscious dan kata hati. Undang-undang boleh meluluskan sesuatu yang salah dari segi agama dan hak asasi manusia, sebagai diterima umum kononnya.

Contohnya, rata-rata dapat dilihat di poster, di peta, barang souvinir atau di baju-t di tuliskan Amsterdam The Sin City. Nampaknya, apa pun yang dibuat pemerintah, tidak sama dengan yang diyakini manusia sejagat. Manusia akan tetap mengatakan yang benar itu benar dan yang salah itu salah jauh di sudut hati yang tak terungkapkan, tapi amat dirasai dan diyakini. Itulah yang terlukiskan di Amsterdam. Itulah yang dipamerkan di Amsterdam – dihalalkan, tapi jauh di sudut hati tidak direstui, kerana manusia sampai bila pun tidak boleh membohongi diri sendiri.


No comments:

Post a Comment