Friday, October 29, 2010

AMSTERDAM THE SIN CITY


Lepas sarapan seawal 8.30 pagi kami sudah berada di luar Quint Hotel, menikmati udara segar lagi nyaman yang sungguh mengasyikkan. Duduk-duduk di depan hotel, dapat dirasai kesibukan, orang berpusu-pusu naik basikal ke tempat kerja. Berpakaian kemas dan cantik, dengan pelbagai jenis kot yang bagus-bagus, dengan sepatu hitam dan kasut bertumit tinggi, semuanya sungguh kelihatan seperti dalam filem klasik Inngeris. Macam-macam jenis basikal – besar, kecil, sporty, berdua, bertiga – pelbagai rupa yang tidak pernah dijumpa, dapat dilihat di sini. Bukan pergi kerja sahaja, tapi juga pergi ke sekolah dihantar ibu atau bapa, dengan basikal juga. Aduh, sungguh mengasyikkan. Mereka kelihatan sungguh sihat, segar dan bertenaga, kerana pagi-pagi lagi, sudah mulakan hidup dengan gaya hidup sihat.

Sambil menikmati udara pagi, kami melihat-lihat peta, untuk menentukan arah tujuan perjalanan kami pada hari ini. Papa memilih satu peta yang digemarinya kerana dia senang mencari lokasi dengan peta itu. Selepas membuat keputusan untuk ke beberap tempat, kami buat keputusan untuk berjalan kerana tempat pertama yang nak dituju tidak jauh antara satu dengan yang lainnya. Mula-mula kami menuju ke Flower Market – di situ dijual pelbagai jenis bunga tulip, benih bunga tulip, tulip ukiran, dan segala bentuk cenderamata untuk pengunjung.

Sukanya, memang sangat suka dikelilingi bunga pelbagai bentuk, pelbagai jenis dan pelbagai warna. Sungguh mengasyikkan, tapi aku sungguh takjub dengan kebesaran Tuhan yang menciptakan segalanya untuk dinikmati, yang memungkinkan segalanya untuk terjadi.

Sambil itu, dalam meneruskan perjalanan, papa mencari-cari kedai antik atau kedai buku supaya dia dapat merisik-risik jika ada wang lama, buku lama atau peta lama. Memang nasib papa baik kerana terjumpa sebuah kedai buku yang agak besar juga. Maka asyiklah papa memilih peta-peta lama yang memang sangat banyak dijual di kedai itu. Harganya pun taklah begitu mahal sangat – memang papa rasa sangat gembira dapat jumpa peta-peta yang memang dicari-carinya. Semasa di Portobello ada juga peta-peta yang dijumpainya, tapi harganya sangat mahal, rasa tak berbaloilah pula, jadi dia tidak membeli sangat di situ.

Selesai shopping peta, kami terus ke destinasi kedua, Pejabat VOC Holland. Kini menjadi sebahagian daripada bangunan milik Universiti Amstedam. Pejabat VOC, sebenarnya berada di banyak tempat yang menjadi cawangan-cawangannya, kerana ahli lembaga VOC terdiri daripada wakil-wakil daripada negeri-negeri kecil. Pejabat yang kami kunjungi ialah pejabat ahli lembaga VOC pusat, tempat semua wakil lembaga pengarah datang bermesyuarat untuk membuat keputusan.


Berada di pejabat itu, atau lebih tepat di kamar itu, dapatlah kami bayangkan betapa orang-orang Belanda bermesyuarat mengatur strategi perniagaan di luar negeri Belanda. Biliknya tidaklah sebesar mana, tapi pengaruh mereka sangatlah besar pada waktu itu. .Sungguh terasa mengaibkan. Cuma sebuah Syarikat perniagaan perkapalan, mereka telah dengan mudahnya, dapat menjajah suatu bangsa besar, kitalah orangnya yang dijajah itu.


Terasa sungguh kerdil, malu dan tertipu. Tapi apa nak dikata, sejarah sudah berlaku, sudah terpahat dalam sejarah bangsa kita, kita dijajah, dijajah dengan mudahnya. Pengajarannya kita tidak beleh tidah selidik, tidak mendapat maklumat tepat dan tidak berpendidikan, orang mudah tipu kita hidup-hidup. Jangan pandang rupa saja, sudah naik gerun terus ikut, tanpa usul periksa. Benggali putih dulu datang ke rantau kita, dengan badan yang besar, rupa yang menggerunkan, kelihatan sangat menyakinknan, kita pun terpesona, apa lagi terus ikut saja apa cadangan, tanpa usul periksa lagi dah. Alahai……

Lama jugalah kami melihat-lihat, cuba membayangkan keadaan mereka yang sangat kelihatan hebat waktu mereka meneroka ke alam Melayu. Semuanya sangat memedihkan lagi memilukan. Mereka dengan bangganya mempamerkan kebangganaan itu, dan kita dengan sedihnya menyaksikan sejarah hitam itu menjadi kebanggaan mareka zaman berzaman, sampai bila-bila .

No comments:

Post a Comment