Friday, October 15, 2010

Amsterdam berpesta bola


Awal-awal pagi kami sudah sedia ke Gatwick Airport, untuk ke Amsterdam, menaiki EasyJet. Yunus cleaner di Malaysian Hall telah sedia sebelum jam 9.00 lagi untuk menghantar kami. Perjalanan satu jam terasa amat singkat, sambil borak-borak mendengar kisah hidup Yunus merantau di kota London. Dia sangat senang tinggal di situ, berbanding negerinya yang tidak aman – maka jadilah dia pelarian yang mendapat perlindungan. Dia hidup dengan agak selesa – bekerja dan berkeluarga. Dia tidak pernah memikirkan untuk pulang ke tanah airnya lagi. Eritrea hanya tinggal kenangan pahit, tidak lebih dari itu.
Lama juga di Gatwic Airport, sempat minum capucino dan makan tengah hari nasi bungkus dari Malaysia Hall yang sedap. Sempat lagi shopping souvenir untuk anak-anak yang tinggal, walaupun sangat ramai dan sibuk keadaannya. Luggage yang banyak terpaksa dibawa kargo berbayar. Sejam di angkasa kami selamat sampai di Schipol Airport, kira-kira sejam perjalanan dengan teksi ke Amsterdam.

Semasa di Schippol Airport, kami dimaklumkan dengan bangganya Belanda menjadi naib juara, oleh seorang wanita pekerja Netherland Information Centre. Mungkin kereta tidak boleh masuk ke bandar, kerana orang Belanda berpesta di tengah kota – kononnya puluhan ribu, mungkin lebih 50 ribu. Mereka meraikan wira-wira pasukan bola Belanda, balik dari Afrika Selatan, menjadi naib juara Piala Dunia 2010.

Kami membayangkan entah jauh mana kami mesti berjalan ke hotel di tengah pekan. Semakin hampir ke Amsterdam, semakin nampak jelas penyokong dan rakyat jelata sedang berpesta – dengan teashirt oren di sana sini, dengan cat warna muka bendera Belanda, topi dan trompet Afrika – semuanya sudah pasti tidak ketinggalan berpesta, kerana Belanda menjulang naib juara Piala Dunia.


Rupanya andaian kami salah sama sekali, melihat teksi membawa pelancong, polis lalu lintas mempesilakan kami dibawa masuk menuju ke hotel di tengah bandaraya Amsterdam. Sepanjang jalan menuju hotel memang sangat ramai, memang sangat meriah, memang sangat terasa aura Belanda berpesta bola. Kami bagaikan VIPlah pula - kerana jalan yang ditutup hanya dapat dilalui oleh teksi yang kami naiki sahaja. Pemikiran negara maju memang menakjubkan - sangat kreatif dan bijak - hal ini kurang dihiraukan di Malaysia, mudahnya ikut buku, banyak birokrasi, berbau superiority kompleks.


Setibanya di hotel, memang suasana riuh rendah, gamat dengan nyanyian dan sorakan, sama ada yang sedang berpusu-pusu berjalan atau yang menyanyi-nyanyi dan menari-nari di bar, seberang sungai di depan hotel. Dari jendela hotel kami dapat lihat orang juga berpesta menaiki bot, tidak henti-henti. Ada bot kecil, dengan sedikit penumpang dan ada bot besar dengan penumpang yang penuh, menyanyi, menari dan ketawa ria meraikan kemenangan juara pasukan bola mereka.

Sepetang itu kami juga turut seronok melihat gelagat dan telatah orang Belanda. Kami juga seperti berpesta bola dengan penduduk Amsterdam. Petang itu memang mengasyikkan, turut teruja dengan keseronokan dan kemeriahan Belanda berpesta bola.

No comments:

Post a Comment