Monday, September 27, 2010

PENGLIPUR LARA DI KOTA LONDON

  
Duduk sebentar menunggu dijemput Mrs Annabel


Di Lobi British Library sedang menunggu Mrs Annabel Teh Gallop

Semasa di British Library, kami diberitahu tentang seorang teman yang gemar mengumpul cerita-cerita tentang sejarah tempatan. Mrs Annabel Teh Gallop telah memberikan nombor telefonnya kepada kami. Selepas makan dan solat zohor papa buat temu janji untuk bertemu dengannya. Kami bertiga setuju untuk bertemu Puan Zaharah Othman di Restoran Tok Din, London, lebih kurang jam 6.00 petang. Beliau menunggu kami bersama suaminya Wan Ahmad Hulaimi. Ketika kami tiba beliau sedang berbual dengan 2 orang Malaysia yang kebetulan juga mengunjungi restoran itu untuk menjamu selera – two Chinese men from Alor Setar, class mates Pn Zaharah di Kolej Sultan Abdul Hamid. Restoran Tok Din ini dimiliki oleh seorang pengusaha Melayu, asal dari pekan Langgar Alor Setar, yang kini sedang menempa nama di tengah Kota London ini.

Di pejabat Mrs Annabel, Pengarah Unit Koleksi Manuskrip Melayu di British Library 
Rupa-rupanya puan Zaharah seorang wartawan bebas, suaminya juga. Kami sungguh rasa bertuah kerana dapat bertemu seorang wartawan dan suaminya seorang penulis bebas, yang giat berkarya, di tengah kota London. Sungguh tidak pernah diduga. Sungguh istimewa, kerana beliau sendiri memiliki ruangan khas mingguannya dalam akhbar New Straits Times. Suaminya juga seorang wartawan. Dia telah dan menghasilkan buku tentang kehidupan zaman remajanya di Terengganu. Nama penanya Awang Goneng. Paling seronok kami dihadiahkan buku tulisannya dalam pertemuan yang singkat itu. 

Puan Zaharah dan suaminya mencadangkan kami makan sambil berbual-bual dan berkenalan. Dia order mee kari, along minta mee rebus, En Wan order kueteow, papa turut order dan kongsi kueteow goreng dengan mama. Sungguh teruja dapat menikmati semua itu di kota London, tambah-tambah lagi bang long. Dia sudah 2 tahun tidak merasa makanan Malaysia yang istimewa itu – semangkok besar habis. Perbualan kami sangat santai, cerita-cerita latar belakang serba sedikit untuk mengenali satu sama lain. Cerita tentang kampong halaman di Alor Setar kedah. Kebetulan puan Zaharah telah lama tidak balik bercuti. Dia telah lama tinggal di London – lebih 10 tahun, jadi sudah tentulah kerinduannya amat tinggi. Sudah tentulah sangat nostalgik – mengenangkan Kolej Sultan Abdul Hamid dan Sekolah Convent sekolah lamanya dulu dan Sekolah Asma sekolahku dulu. Banyak yang disebut-sebut.

Sesekali En Wan mencelah, tentang pengalaman waktu kecilnya di Terengganu. Pengalaman yang sungguh bermakna, dan pengalaman yang sungguh berharga, yang hanya tinggal kenangan dalam lipatan sejarah hidupnya. Semuanya sudah tidak dapat dirasai oleh anak-anak zaman sekarang, tapi dapat dinikmati dalam buku tulisannya. Semuanya bermula dengan curahan pengalaman dalam blognya sahaja dan kemudian diterbitkan untuk dinikmati.
Lebih memanaskan petang yang dingin itu, puan Zaharah bercerita tentang susur galur keluarganya. Papa pula bercerita tentang sejarah susur galur keturunan raja-raja negeri Kedah, juga pembesar-pembesarnya. Perbincangan menjadi semakin hangat, lagi sebab Pak Din tauke restoran juga, sudah turut serta. Ini kerana mungkin cerita sejarah, dapat dikaitkankan dengan susur galur keluarga puan Zaharah dan Pak Din. Sungguh mengasyikkan. 

Di Restoran Tok Din London. Bersama Tok Din (kiri), Puan Zaharah dan suami (kanan)
Barang kali sudah terlalu rindu puan zaharah dan Pak Din kepada keluarga dan tanah air. Barangkali nostalgia kepada datuk nenek dan juga kaum keluarga semakin menebal semasa kita berada jauh dari mereka. Sudah begitu lama mereka di perantauan, sudah tentulah sudah semakin rindu kepada kampung halaman dan sanak saudara juga. Kami pun rasa sungguh senang dan gembira. Walau baru pertama kali berjumpa, walau sekejap saja masanya, tapi sungguh terasa seperti sudah lama kenalnya. Tidak terasa masa kami bersama sudah lebih tiga jam. Sungguh mengasyikkan dan masa berlalu dengan cukup pantas. Jadi penglipur lara rupanya papa. Tak sangka cerita sejarah yang disampaikan dapat dihubungkaitkan dengan susur galur keluarga.

Sungguh tidak diduga silaturrahim yang dijalin dalam masa yang sungguh singkat telah banyak mencungkil sejarah silam, juga sejarah keluarga yang amat bermakna. Malam semakin larut dan dingin. Melihatkan jam sudah hampir 10.30 malam, kami mohon untuk pulang. Dari Restoran Tok Din, ke Malaysia Hall, lebih kurang 10 minit berjalan kaki. Kami meredah malam yang dingin dengan suatu perasaan sungguh gembira. Perjalanan ke London kali ini sungguh bermakna. Subhanallah, maha suci Allah Tuhan yang maha mengetahui, yang mengaturkan segalanya, yang menentukan segalanya menjadi kenyataan. Mudah-mudahan ia memberi manafaat walau pun cuma sebagai penglipur lara.

No comments:

Post a Comment