Friday, October 20, 2023

KUSSADASI, KAISERY AIRPORT, ISTANBUL

 Day 9
3 Disember 2022

Seperti biasa kami bangun awal pagi itu. Lepas subuh dari kaca jendela, sempat lagi menikmati suasana indah waktu pagi di Kussadasi yang akan ditinggalkan sebentar lagi. Bandar pelacongan tepi laut yang indah terasa nyaman sejuk hingga ke tulang sendi.  Kelihatan berbalam-balam kapal-kapal berlabuh, berbagai-bagai saiznya, besar kecil dan juga sederhana. Laut kelihatan biru bagaikan lukisan segar di kanvas. Hujan renyai-renyai menyebabkan kami tak dapat menikmati Kussadasi di luar hotel yang sederhana itu. 

Kami terus ke coffee-house menikmati kopi panas, roti dan omelet. Segar terasa selepas minum secawan kopi yang berkelun-kelun asapnya, menghangatkan suasana. Along, Ali  dan Hajar masih di kedai mencari barang-barang yang dirasakan tak sempat dibeli kelmarin. Mereka orang muda masih kuat untuk membawa barang cenderamata dan sebagainya, kerana kudrat masih kuat dan ruang masih banyak kilo yang dibolehkan. Tak lama selepas itu, mereka pun bersama kami meneruskan kebersamaan menikmati sarapan di hari akhir berada di Kussadasi. Bila time makan Ali dan along memang enjoy betul. Seronok tengok depa makan. Selesai makan kami terus checkout dan memulalakan perjalanan ke Kaiseri Airport.

Dalam hujan renyai dan suasana dingin pagi, kami meninggalkan bandar indah yang entah bila akan kami singgah lagi. Pemandangan indah di kiri kanan jalan kami nikmati buat kali terakhir di sini. Suasana musim luruh di Turki terasa sejuk. Pokok-pokoknya gondol tiada berdaun, cuma kelihatan ranting-rantingnya saja. Keadaan ini terkadang dirakamkan di kanvas kelihatan cantik dan anggun, kami rakamkan di kamera untuk dibuat kenangan semasa pulang. Kami akan berada enam jam dalam perjalanan ke Kaiseri Airport. Perjalanan sejauh ini seperti jaraknya dari Alor Setar Ke Kuala Lumpur kalau tiada kesesakan. Perjalanan amat selesa, lebuh rayanya luas merentasi kawasan bukit bukau yang tandus tiada berumput. Tak lama lagi dalam bulan disember ini salji akan turun di kawasan pergunungan tandus itu. Nanti warna kelabu akan bertukar dengan warna putih bila salji musim sejuk turun.

Berada di separuh jalan kami singgah di R&R, beli makanan untuk makan tengah hari solat dan terus gerak mengejar masa untuk menyerahkan kereta  sewa sebelum jam 6.00 petang seperti yang dijanjikan. Alhamdulillah semuanya lancar dan kami tiba dengan selamatnya di airport, serahkan kereta dan naik airport transfer ke Istanbul. Sampai di airport hujan, jadi kami berlari-lari ke tandas dan ke parking dan ke tempat menunggu ven dalam hujan renyai-renyai itu. 

Alhamdulillah bila dah naik ven kami terus dapat berehat seketika sebelum tiba di Istanbul semula. Rupanya trafik masuk ke bandaraya Istanbul sangat lambat, trafik jam memang tak boleh runding, tak pasti sama dengan KL atau lebih teruk kerana aku terlelap keletihan dalam perjalanan itu. Kami tiba di Hotel Black Tulip yang telah ditempah lebih awal dalam pukul 8.00 malam. Alhamdulillah syukur ya Allah segalanya Engkau takdirkan yang baik-baik saja, tiada yang bermasalah. Subhanallahn wa syukrulillah. 

Kalau sebelum ke Bursa kami tinggal di kawasan berhampiran dengan Grand Bazar, tapi Hotel Black Tulip terletak di kawasan yang lebih moden seperti pekan baru. Kami terpaksa berjalan hambpir 100 meter dari hotel sebab jalan ke hotel sesak dengan pelancong yang menjamu mata dan membeli belah di kedai-kedai sekitar hotel. Selepas selesai semua urusan checkin kami buat keputusan untuk pergi makan malam di Restoran Global Ikhwan Istanbul. Lama juga kami berjalan hampir setengah jam. Tapi berbaloi-baloi kerana kami dapat makan nasi masakan Malaysia yang sudah lama tidak dinikmati di Turkie. 

Kami sempat bertanya khabar pekerja yang memberikan kad perniagaan kepada kami semasa di Kaiseri airport sebelum ke Bursa. Rupanya bukan pekerja tapi di manager di restoran itu, tapi dia tak ada kami cuma menyampaikan salam dan mengucapkan terima kasih kerana menegur kami di Kaiseri tenpoh hari. Sampai di hotel lebih kurang jam 11. malam. Ali berehat di bilik kami dan Along dan Hajar pergi ke Cavahir Sultan Ahmed Hotel untuk mengambil beg yang kami tinggalkan di sana sebelum ke Bursa. Hampir tengah malam baru mereka sampai balik dan dapat berehat setelah seharian di perjalanan. Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment