Tuesday, April 16, 2019

KAJI SELIDIK PETANI 24 DIS -26 DIS 2018 (3)


HARI KE-2:
25 DISEMBER 2018
UNIVERSITY PRINCE OF SONGKLA,
BENDANG GARAM, MESJID KERSIK, ISTANA JARING


Bersama Dekan Fakulti Islam di University Prince of Songkhla
7.00 pagi
Kami sarapan awal pagi untuk memulakan perjalanan yang padat jadualnya hingga ke petang nanti. Pattani memang syurga makanan. Menu yang pelbagai agak menarik dengan cita rasa tempatan yang sedap. Istimewa pagi ini ialah nasi kerabu Petani. Memang puas menikmati keenakannya, dan sangat sesuai pula dengan selera. Selesai menjamu selera dengan pelbagai hidangan, kami memulakan perjalanan sambil menghirup udara pagi yang nyaman dan segar.

8.30 pagi
Destinasi pertama kami, dibawa  ke Prince of Songkla Universiti Pattani. Rupanya dekat saja universiti dengan hotel tempat kami menginap. Kami melintasi bandar Pattani, suasananya tidaklah begitu sibuk, kereta pun tidak banyak, tenang dan tidak sesak. Sekejap saja perjalanan kami sudah memasuki kawasan universti. Menurut Haji Ramli kawasan universiti tanahnya yang  di tepi pantai bertambah besar saban tahun kerana berlaku penambakan pasir yang banyak sepanjang masa. Penambahan kawasan tepi pantai yang luas membolehkan  universiti membuat perluasan kawasan yang cantik menghadap ke pantai. 
Sesi taklimat universiti oleh Dekan Fakulti Islam
Kami disambut mesra oleh Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam dan pengajian Melayu bersama beberapa orang staff lain. Dalam sessi taklimat kami diperkenalkan dengan maklumat serba ringkas universiti dan Fakulti itu. Terharu juga sebab mereka masih fasih berbahasa Melayu. Inilah cabaran mereka, untuk mengekalkan penguasaan bahasa Melayu di kalangan generasi muda. Mereka mempunyai cabaran yang sungguh besar kerana berada di bawah pemerintahan Thailand  sebuah  kerajaan bukan Islam. Perjuangan mereka ialah supaya umat Islam dapat bersaing dan setanding dengan arus pemodenan bersama penduduk lain di Thailand dalam keadaan yang harmonis. Pihak universiti amat berminat untuk mengadakan kerjasama dalam usaha untuk memajukan Fakulti Islam sesuai dengan peredaran zaman yang serba mencabar ini. 

Sehububgan itu kalau boleh mereka perlukan guru Bahasa Melayu dan guru Bahasa Inggeris. Sebarang bentuk kerjasama sangat dialu-alukan dalam bidang tersebut. Sekarang mereka berhadapan dengan dilema kehilangan jati diri bangsa. Mereka perlukan kemajuan dan pembangunan. Pada masa yang sama mereka tidak mahu hilang penguasaan bahasa Melayu. Nampaknya merka tidak mampu mengharungi dilema ini. Maka semakin hari semakin kuranglah anak muda yang berbahasa Melayu, kerana mereka bersekolah di sekolah kerajaan yang berbahasa pengantarkan bahasa Thai. Walau bagaimanapun dengan izin Allah mereka masih kuat pegangan agama Islam. Mereka bersatu mempertahankan agama dan berjuang menegakkan syiar agama dengan meluaskan sekolah-sekolah pondok untuk pengajaran dan pembelajaran agama Islam yang mulia. Jadi peranan Universiti ini ialah menghasilkan sebanyak mungkin guru-guru agama dalam pelbagai bidang supaya boleh terus menyebarkan syiar Islam kepada generasi muda dan rakyat keseluruhannya. Terharu sungguh mendengar hasrat dan cita-cita yang diperjuangkan universiti ternama di Pattani ini. Semoga Allah memberikan mereka kekuatan, menunjukkan jalan dan mempermudahkan segala urusan mereka mencapai cita-cita murni ini. Selepas sessi soal jawab dan minum pagi kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.
11.00 pagi
Dengan perasaan yang bercampur baur, kami meninggalkan Universiti Prince of Songkhla Pattani. Dalam suasana pagi yang nyaman kami dapat melihat pemadangan bandar Pattani. Masyarakat Melayu Pattani kelihatan tiada bezanya dengan Melayu di Kedah. Cara berpakaian, dan rupa parasnya sekilas pandang memang sama dan sukar dicarikan perbezaannya. Begitulah satu rumpun bangsa yang berkongsi sejarah yang sama suatu ketika dulu, kini di bawah pentadbiran dua negara yang berbeza. Tanpa disedari perjalanan yang tidak jauh itu, lebih kurang dua puluh minit, kami kemudiannya dibawa singgah ke Pejabat Daerah Pentadbiran Bana di Kawasan Majlis Perbandaran Tambun (Local Government of Tambun). 

Alangkah bersyukurnya, di situ kami disambut meriah dan mesra seolah-olah berkunjung ke rumah saudara rasanya. Ini tidak lain kerana dahulunya pentadbiran pejabat ini berada di bawah pengawasan kuasa Haji Ramli Pegawai Perhubungan kami, yang pernah menjawat jawatan Pegawai Daerah Pattani suatu ketika dulu. Jadi mereka seolah-olah menyambut Mantan Pegawai Daerah mereka. Dapat dilihat keakraban dan hubungan perasaan yang erat merlalui sambutan yang diberikan kepada kami. Sungguh rasa berbesar hati melihat acara yang diaturkan kepada rombongan kami. Kami diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pentadbiran Tambun. Seperti biasa taklimat oleh Pegawai Eksekutid dalam bahasa Thai, kemudian  diterjemahkan oleh Haji Ramli. 

Di sini apa yang menarik perhatian kami ialah di kawasan Bana Tambun ini terkenal dengan perusahaan garam manis. Mereka menjadikan perusahaan ini sebagai perusahaan kawasan Bana. Banyak produk yang diusahakan penduduk di situ menggunakan garam manis. Apa yang menarik tentang garam manis ini, perusahaannya diusahakan di tanah daratan  yang tidak jauh dari kawasan pantai. Kawasan perusahaan itu dibuat seperti kawasan sawah padi dipanggil bendang yang sangat luas saujana mata memandang. Untuk menghasilkan garam kawasan bendang akan dibuang air, diratakan, digelek dan dimampatkan. Setelah beberapa hari bendang itu kering, air laut akan dialirkan ke bendang. Kemudian air laut dibiarkan selama 5 hari. Selama 5 hari itu akan berlaku proses pembentukan garam. Mereka akan mengaut garam yang terhasil untuk diproses dan dipasarkan. Banyak produk terhasil daripada garam manis yang menjadi sumber pendapatan masyarakat di situ. Inilah keistimewaan kawasan Bana Tambun yang menjadi perusahaan kampung yang amat lumayan sebagai pendapatan mereka. Kami tidak lepaskan peluang membeli belah hasil produk garam manis sebagai buah tangan untuk dibawa pulang. Ada garam spa untuk kecantikan, ada garam kunyit, garam masak dan bermacam lagi produk hasilan mereka. Kami amat teruja untuk pergi berkunjung ke bendang garam. Katanya selepas makan tengah hari kami akan dapat melihat sendiri yang dikatakan bendang garam di Bana Pattani. Tanpa kami sedari masa sungguh pantas berlalu, hampir 2 jam lebih kami di situ.
Membeli barangan produk garam manis selepas taklimat
12.40 tengah hari
Akhirnya di dalam panas terik matahari ditiupi angin yang menyamankan,  kami bertolak untuk menikmati pemandangan indah di  Kuala Bekah atau Kuala Pattani. Kawasan rawat dan rehat Kuala Bekah ini masih belum dibuka kepada awam. Tapi kami sungguh amat bertuah kerana Ketua Pegawai Eksekutif sendiri yang membawa kami melawat ke tempat pelancongan yang akan dibuka tak lama lagi. Kawasan rekreasi ini memang cantik, lautnya yang biru dan binaan jeti dan pejabat Jabatan Laut yang cantik menghiasi Kuala Bekah. Kuala Bekah sedang sedang dalam proses pembangunan. Ia akan menjadi daya tarikan pelancong domestik dan pelancong luar untuk menghirup udara nyaman kuala dan menikmati keindahan semula jadi yang mengasyikkan. Di situ juga nanti akan menjadi syurga pelbagai jenis makanan Pattani yang sedap dengan bermacam-macam rasa dan jenisnya.
Menikmati pemandanga indah Kuala Bekah
Menurut Pegawai Eksekutifnya setiap tahun kawasan laut Kuala Bekah akan di korek supaya laut menjadi dalam dan airnya menjadi jernih. Laut yang dalam akan memudah kapal-kapal terutamanya kapal ikan laut dalam untuk berlabuh dan mendarat, bagi menurunkan hasil tangkapan ikan mereka. Cuaca di kuala Bekah amat cerah, tapi kurang dirasakan kepanasannya kerana tiupan angin laut yang menyegarkan itu menjadikan kami rasa agak selesa menikmati pemandangan di situ untuk seketika. Kawasan Pelabuhan yang cantik itu dibawah tadbiran Jabatan Laut. Kawasan gerai-gerai makan dan pemandangan indah akan diserahkan kepada Kerajaan tempatan untuk menguruskan dan mempromosikannya sebagai produk pelancongan. Kos pengurusan dan pembangunannya memang tinggi, tapi ia dilaksanakan dengan amat terancang, maka kawasan itu telah berjaya dibangunkan untuk untuk terus menjana pendapatan rakyat dalam bidang pelancongan. Dengan iringan angin yang agak kencang namun amat mendinginkan kami meninggalkan kuala yang cantik itu, kuala yang  baru dibangunkan dengan gerai-gerai yang menghiasi kuala yang indah itu. Segalanya meninggalkan kenangan manis untuk kami, akan segar dalam ingatan sebagai suatu pengalaman yang sungguh mengasyikkan.

Singgah di Bendang Gram melihat air laut ditakung untuk menghasilkan garam
 1.30 tengah hari
Seterusnyaa, kami singgah sebentar di bendang garam. Kami melihat dengan mata kepada kami bendang garam manis yang telah diceritakann tadi. Bendang itu seluas mata memandang, bendang yang mengalami proses pembuangan air, dan sedang dalam proses pengeringan, proses meratakan dan mengeleknya untuk  dimampatkan. Kami dapat lihat sendiri bendang itu sedang dibiarkan selama seminggu, sedang menunggu masa untuk dialirkan air laut masuk ke bendang. Memang sungguh luas ilmu yang Allah berikan kepada manusia dalam pelbagai hal untuk mewarnai kehidupan di bumi Allah yang luas ini.Syukur alhamdulillah kami diberi peluang untuk dapat melihat kebesaran Allah yang maha agong. Subhanallah.
Di Restoran Leam Nok bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Bana Tambun
2.15 petang
Kemudian beredar dari bendang garam, baru terasa perut sudah menyanyi-nyanyi minta makan. Rupanya jam sudah lewat. Kami terus dibawa ke Kg Leam Nok di kawasan Tanjung Burung. Di Restoran Leam Nok kami menjamu selera, menunya tom yam, ikan goreng, udang madu, ketam goreng berlada dan teristimewa tiram segar. Kawasn sekitar restoran di tepi pantai itu rupanya tempat nelayan membawa hasil tiram untuk jualan. Beberapa orang pelanggan dilihat membawa tiram yang sudah dibeli dari nelayan di tepi pantai itu. Oleh kerana terlalu lapar kami makan tanpa banyak berbual, sekejap saja kami sudah selesai menunakan tanggung jawab mengisi perut yang sudah lama terbiar. Selepas itu kami bergegas untuk ke masjid bagi menunaikan solat zohor. Kami terus ke masjid Kersik dengan segera.
Masjid Kersik yang tidak siap kerana perang menjadi tarikan pelancong


No comments:

Post a Comment