Tuesday, April 16, 2019

KAJI SELIDIK PATTANI 24-26 DIS (4)


TRIP TO PATTANI
DAY 2: 25 DIS 18 (2)
MASJID KERSIK, TANJUNG BUDI

Dr Kasri di hadapan masjid

3.00 petang
Selepas makan tengah hari, kami terpaksa bergegas ke masjid kerana waktu zohor sudah pun lama berlalu. Dalam perjalanan kami melalui sebatang sungai namanya Alor Ku. Menurut Haji Ramli  perkataan Alor tidak ada di Pattani, cuma itulah satu-satunya nama sungai menggunakan perkataan alor di Petani. Barangkali ada orang Kedah yang tinggal di situ dan memberi nama sungai kecil itu Alor Ku. Menarik juga andaian itu tapi memang boleh diterima akal, kerana memang terdapat hubungan dua hala Kedah Pattani sejak sekian lama dari dulu. Kemudian dalam beberapa minit kami tiba di masjid Kersik, sebuah  mesjid berusia lebih 100 tahun. Kemudiannya disiapkan pada tahun 1514 masihi  iaitu  pada Zaman Sultan Muzafar Shah. Kononnya pada zaman itu, Hang Tuah pernah datang ke Pattani belajar agama, kerana ada sebuah talaga lama dikenali sebagai Telaga Hang Tuah, berhampiran mesjid itu.

Masjid Kersi yang bersejarah
Melihat sekeliling masjid tua itu kelihatan ramai sangat pengunjung di sekeliling masjid. Antara pengunjung yang sangat ramai ialah pelajar-pelajar sekolah. Mereka sangat khusyuk mengamati cerita tentang ulama dulu dan masyarakat Islam dulu yang mempertahankan mesjid daripada dirosakkan. Berkat pengorbanan orang dulu-dulu itu menjadikan kita masyarakat hari ini dapat melihat tinggalan-tinggalan sejarah dalam menegakkan syiar Islam. Kami terus menuju ke tempat wudhuk wanita, berwudhuk kemudian terus menunaikan solat jamak zohor asar. Selesai solat kami telah ditunggu oleh peserta lelaki dalam van, untuk kami meneruskan perjalanan ke Istana Jaring.

Di hadapan Istana Jaring bersama  Sh Habibah
 3.40 petang
Jarak antara masjid dengan istana agak dekat. Kami tiba di istana disambut mesra oleh petugas istana yang merupakan kaum keluarga kerabat diraja Pattani. Istana itu masih diguna pakai oleh beberapa orang kerabat, tapi kebanyakannya sudah tua-tua. Cuma bahagian depan istana yang boleh dilawati. Ruang depan dipamerkan photo-photo keluarga diraja. Terdapat juga koleksi barangan milik keluarga diraja yang telah diwarisi hingga ke hari ini. Kami lihat istana bahagian belakang agak terpisah kerana memang diubahsuai untuk membolehkan pelancong berziarah. Semasa kami ke situ ramai budak sekolah melawat istana jaring. Di samping itu, ramai juga pelancong lain, ada pelancong domestik dan ada yang datang dari Malaysia. Terharu juga melihat sebuah kerajaan Pattani yang besar suatu masa dahulu, kini cuma tinggal dalam lipatan sejarah. Begitulah yang terjadi dalam sejarah, kepada negeri Pattani, kerajaan besar itu telah berakhir dan kini Pattani  di bawah jajahan Thailand.

Menunggu perbualan DT Shaarani dengan saudara yang lam terpisah
Tanpa diduga sebelum kami berangkat meninggalkan istana, kami telah ditakdirkan berjumpa dengan seorang  saudara Pak Long Shaarani iaitu Syaripah Habibah Syed Abdullah Al-Jufri. Suaminya Tuan  Rahim telah meninggal. Dia tinggal di kawasan istana Jaring kerana itu kampung halaman dia. Dulunya dia sering berulang alik ke Kampung Pulau Pisang Tunjang, membawa orang untuk memotong padi masa musim kerat padi. Dia duduk di  Pulau Pisang itu 12 tahun. Dia jadi orang  tengah membawa orang kerja di bendang musim kerat padi atau musim menanam. Sungguh rasa tersentuh hati dua keluarga bertemu dalam suasana yang tidak pernah didugakan. Paling syahdu lagi apabila  kedua-dua saudara itu saling menyatakan entah bila pula meraka akan dipertemukan semula. Kami meninggalkan istana petang itu, dengan pelbagai perasaan terharu, sayu dan syukur yang teramat sangat. Semoga pengalaman petang itu, akan memberikan manfaat untuk ukhwah persaudaraan antara dua negara, dua keluarga besar dan dua keluarga yang telah lama terpisah, insyAllah.

4.30 petang
Kami bergerak meninggalkan istana bersejarah itu, Sepanjang perjalanan meninggalakan istana, semua kami diam membisu melayan perasaan sendiri. Tapi yang pasti minda kami semuanya sarat dengan peristiwa yang menyentuh perasaan kami sebentar tadi. Kami dimaklumkan akan dibawa melawat Tanjung Budi, suatu tanjung yang panjangnya mengunjur di sepanjang  tepi pantai negeri Pattani. Kami dibawa hingga ke penghujung tanjung, berhenti sekejap menikmati suasana dan pemandangan laut yang indah. Dalam perjalanan balik kami  singgah di Teluk Sembilan, di tepi pantai kelihatan ramai orang  berjualan.  Kami menikmati suasana dan pemandangan di tepi pantai.  Air lautnya kebiruan, pantainya masih  putih bersih tidak tercemar kelihatan seperti  Pantai Cenang 20 tahun yang lalu. 


Alangkah cantiknya bumi ciptaan Tuhan untuk dinikmati makhluknya. Di situ ada Chalet yang penghuninya boleh menikmati kaindahan laut di kiri dan kanan tempat penginapan. Kelihatannya tak ubah seperti Tanjung Rhu, pokok rhu berserakan di tepi pantai menyejukkan mata memandang dan menenangkan jiwa dengan dendangan bunyi tiupan angin yang mengasyikkan itu. Kami nampak banyak lembu sedang makan rumput di bawah pepohon rhu, barang kali itu peliharaan penduduk sekitar. Ada juga kelihatan  sekumpulan remaja bersiar-siar di situ menghirup udara segar waktu petang. Barangkali juga mereka ingin melihat keindahan matahari terbenam di situ. Bila ditanya rupanya mereka itu kawan lama. Mereka pelajar universiti tempatan yang balik bercuti di kampung, jadi ambil peluang berjumpa kawan-kawan yang sudah lama tidak berjumpa. Kami tinggallkan Teluk Sembilan kerana hari sudah semakin lewat.

6.30 petang
Dalam perjalanan kami berhenti di pasar minggu Tanjung Budi. Ramai sangat pengunjung pasar minggu itu. Macam-macam makanan dan buah-buahan jualan pasar minggu. Kami beli kueh tempatan  kueh madu gantung. Rasanya macam kueh dangai di Kedah. Selain tu kami beli goreng pisang panas. Kami teringin buah dokong,  manis rasanya. Jadi apa lagi, dalam cuaca panas kami makan buah dokong manis sepanjang perjalanan balik ke hotel. Kami sampai di hotel sudah masuk waktu maghrib. Selepas solat maghrib kami dibawa ke restoran steamboat untuk makan malam. Alhamdulillah makan malam ini ditaja oleh Pegawai Daerah Pattani. Syukur padaMu Ya Allah rezeki mencurah-curah adanya.



No comments:

Post a Comment