Thursday, April 18, 2019

KAJI SELIDIK PATTANI 24-26 DIS (5)


DAY 3
TRIP TO PATTANI
26 DIS 2018

Sedia mendengar taklimat Dr Kasri untuk perjalanan hari terakhir
Awal pagi  selepas sarapan kami mendengar taklimat terakhir Dr Kasri. Kemudian kami terus check-out. Destinasi pertama hari ini  berkunjung ke Masjid Raja. Tuan Imam menyambut kami bersama AJK masjid seperti menyambut saudara adanya. Turut hadir ADO Pelancongan dan beberapa orang pegawainya, memeriahkan majlis pagi itu. Sambil mendengar taklimat Tuan Imam yang diterjemahkan oleh Haji Ramli, kami dijamu nasi dagang Simpang Tiga Pattani, makanan eksotik yang menjadi buah mulut penduduk tempatan. Pemanis mulutnya pula putu halba, dan dilengkapi dengan nescafe panas yang menyelerakan.
Sampai di masjid Simpang Tiga
Gendang raya masih digunakan di sini untuk memaklumkan masa sembahyang atau masa  buka  puasa
Istimewanya Masjid Raja ini kerana ia terletak di hadapan Istana Asam Jawa Kampung Jebak Puyuh. Masjid ini amat besar perananya dalam menegakkan syiar Islam dan meniupkan jati diri Melayu Pattani. Banyak aktiviti yang dilaksanakan dan mereka mendapat sokongan daripada Pegawai Daerah Pattani yang sungguh berminat dengan aktiviti bersifat patriotik. Melihat keadaan fizikal masjid jelas kelihatan kemajuan pemikiran pentadbirnya. Ramai rakan kami mengambil peluang bersolat di situ. Kemudian kami melawat kawasan persekitaran. 

Perigi purba yang masih digunakan
Terdapat perigi purba yang berusia lebih seratus tahun yang masih berfungsi dan dijaga rapi oleh pegawai masjid. Tidak jauh dari masjid di kawasan belakangnya sebelah kanan, ditunjukkan kepada kami, rumah seorang pahlawan Pattani. Rumah itu telah lama ditinggalkan tapi masih kelihatan utuh. Rumah papan dua tingkat tinggalan keluarga pahlawan itu kini menjadi sejarah, buat tatapan pelawat yang berkunjung ke situ. Kononnya tiada waris yang menjaganya, atau sudi untuk tinggal di rumah itu. Tiada siapa yang dapat memberitahu kenapa itu boleh terjadi.

Di depan rumah pahlawan Pattani
Kemudian kami terus berjalan ke belakang masjid. Papan tanda Istana Asam Jawa menarik perhatian kami. Melihat temboknya saja dapat dibayangkan kehebatan istana itu pada zamannya. Mendekati istana, di sebelah kanan selepas memasuki pintu tembok, didapati Telaga Sumpah. Di situ orang  bersalah menjalani upacara angkat sumpah sebelum dibicarakan di hadapan sultan. Ia masih utuh dijaga rapi dan kawasan sekelilingnya dijaga bersih. Pelawat dapat melihat telaga itu dari dekat sebagai satu  unsur sejarah yang  menyimpan pelbagai peristiwa pada zamannya. Di samping itu, di belakang telaga, terdapat bangunan kilang tempat membuat bunga emas dan bunga perak. Kononnya tukang raja pandai emas menempa bunga emas  di situ untuk dibawa ke Bangkok. Bangunan itu juga masih dijaga rapi sehingga kelihatan masih elok seperti masih beroperasi.
Bersama Tuan Imam dan Pegawai dari Pejabat Daerah Pattani
Mengunjungi Istana Asam Jawa
Kami naik ke istana di sambut Tuan Wan Rosidi bin Wan Husin. Dia kerabat diraja dan penjaga istana itu.  Menurutnya hanya ruang tamu saja boleh dilawati. Di situ dipamerkan koleksi barangan keluarga diraja Pattani. Antaranya barangan porcelain, barangan hadiah peribadi Raja dari pelawat asing dan cenderamata berharga koleksi istimewa Raja semasa zamannya. Kami amat tertarik dengan sehelai kain limas Raja. Sulamannya halus, kainnya juga amat halus dan berkualiti tinggi. Tapi ia telah ditelan zaman usianya, maka dia kelihatan sangat rapuh. Selesai melihat-lihat ruang pameran, kami meninggalkan istana Asam Jawa ke destinasi kedua .

Bergambar kenangan di hadapan istana
10.30 pagi
Kemudian van membawa kami ke Pondok Baba Lee (Baba Ramlee) di Kampung Padang Kucil Mukim Rumbia. Baba Lee kononnyanya seorang yang sangat disegani, berilmu tinggi, dihormati lagi berkarisma di daerah Pattani. Haji Ramle semasa masih menjadi DO Pattani selalu berjumpa Baba untuk sebarang urusan dengan penduduk Kampung daerah itu. Sebab itu bila Haji Ramlee tiba dengan rombongan kami, sambutannya masya Allah Tuhan saja yang tahu. Kemesraan dan keikhlasan terpancar di kedua-dua pihak.  Alangkah bahagianya menjadi tetamu yang diraikan dengan penuh  kasih sayang dan ukhwah Islamiyyah. Seluruh anak murid dan kaum keluarga di pondok itu turut meraikan kami. Amatlah terharunya kami menjadi tamu yang amat dihargai dan disanjungi. Alhamdulillah Subhanallahhh.

Kononnya pondok ini telah dibangunkan sejak lama dulu dan sejak 40 tahun yang lalu Baba Lee mengajar di situ sehinggalah dia menjadi penerajunya sekarang..  Baba Lee ini adalah waris generasi ke-5 kaum keluarganya yang mengetuai pondok. Pengasasnya dulu Haji Ahmad, telah menurunkan kepada waris lepas seorang kepada yang lain hingglah diserahkan kepada Baba Lee. Kononnya Hang Tuah dari Melaka pernah datang belajar agama di pondok ini dulu. Dan ramailah lepasan pondok ini yang berselerakan di seluruh Pattani dan Malaysia juga menjadi ulamak sehingga kini. Selepas ini pondok ini akan diwariskan kepimpinannya kepada Pak Su Abdullah pula, anak Baba Lee. Baba dan kaum keluarganya buat kenduri nasi menjamu kami tengah hari itu. Alhamdulillah syukur pada Allah jamuan yang sedap disajikan dengan rasa kasih saudara seagama menjadikan kami makan dengan sungguh berselera.  Selesai makan kami ibarat pacat terpaksa meneruskan perjalanan.  Dengan rasa syukur yang amat sangat kami mengucapkan selamat tinggal kepada seluruh kaum keluarga Baba Lee

Seterusnya van bergegas membawa kami ke Rumah Kopiah pula. Kami tak boleh berlengah di situ. Dengan pantas kaum lelaki memborong kopiah, yang wanita berehat menikmati suasana kaum lelaki membeli belah. Kami sungguh kagum dengan perusahaan jutaan ringgit taukeh kopiah yang berdaya maju. Mesin jahitnya sudah bernilai jutaan ringgit beroperasi 24 jam dikendalikan komputer, Melihat perusahaan itu kita amat kagum dengan kebolehan mengurus yang diberikan Allah kepadanya. Sungguh jika Allah kehendaki segalanya akan diberi jalan dan dipermudahkan. Sekarang kopiah keluarannya dieksport ke seluruh dunia, termasuk Malaysia dan Arab Saudi

Kemudian kami bergerak dalam hujan lebat untuk pulang ke Malaysia. Ramai kami yang tertidur sejenak kerana terlalu letih. Maklumlah kami  mengikuti jadual yang cukup padat pada pagi hingga ke tengah hari. Kami singgah solat di Ban Ka Me Yo (Rumbia). Selepas itu ka bertolak ke Ban Prakob Durian Burung. Alhamdulillah kami tiba di Durian Burung dalam pukul 4.00 petang. Ka mi engucapkan selamat tinggal kepada Haji Ramlee dan berharap dapat berjumpa lagi di masa yang akan datang dalam trip yang lain pula insyAllah. Kami amat bersyukur sepanjang 3 hari dua malam lawatan kami, semua makan minum ditaja dan dibuat jamuan oleh sahabat handai Haji Ramli yang menyambut kami dan Haji Ramlee dengan rasa kasih dan mesra. Sungguh tidak dapat dibalas, hutang budi dibawa mati. Semoga Haji Ramlee diberikah kesejahteraan dan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezekinya pada setiap masa, Allah sajalah yang layak membalasnya mudah-mudahan.
 
Mengucapkan selamat tinggal kepada Haji Ramli selepas tiga hari bersama kami

 


No comments:

Post a Comment