Tuesday, October 10, 2017

ORANG BERJAYA DI SISI TUHAN


SURAH AL AN'AM - AYAT 32:
"Dan tidak dinamakan kehidupan dunia ini, melainkan hanyalah permainan yang sia-sia dan senda gurau atau hiburan yang melalaikan. Dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu sungguh lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir atau mahu mengerti?"

Melihat tafsiran ayat di atas, terdetik di fikiran, tentang langkah-langkah  sepatutnya yang Allah mahukan kita menjadi orang yang mahu berfikir untuk menjadi orang-orang yang bertakwa. Sebab itulah Allah sediakan kita satu surah dalam kitabnNya yang suci, iaitu Surah Al Mukminun untuk menjadi panduan kita supaya dapat mencapai kejayaan menuju keredhaan Allah. 

Marilah kita hayati jalan pertunjuk yang digariskan,   dalam Surah Al Mukminun, kerana Allah telah berfirman dengan jelas tentang orang-orang yang bakal berjaya di sisi Allah, dalam ayat 1-11;

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya dengan menunaikan zakat harta itu. Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isteri atau hamba sahayanya maka mereka tidak tercela. Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.

Kesimpulan dari ayat di atas, Di sisi Allah, orang-orang yang berjaya dan akan diberikan dan dijanjikan balasan syurga dan kekal di dalam syurga Firdaus insya Allah, adalah orang -orang seperti berikut;
1. Orang yang beriman
2. Khusyuk dalam sembahyang
3. Menjauhkan diri daripada perbuatan sia-sia
4. Menunaikan zakat
5. Menjaga kehormatan
6. Amanah memegang janji
7. Memelihara sembahyang

Jadi marilah kita semua berusaha keras di dunia ini dengan merebut peluang untuk menjadi orang yang berjaya di akhirat nanti. Memanglah agak sukar dan banyak halangannya untuk melaksanakan kesemua tujuh perkara di atas. Ini kerana iblis telah bersumpah untuk menghasut anak Adam untuk mengikutinya dengan bersungguh-sungguh. Selepas itu iblis akan berlepas tangan kerana dia pun takut dengan azab Allah kepadanya. Ya Allah wahai zat yang membolak-balikkan jiwa, pandulah kami supaya kami dibimbing untuk menjadi lebih bertakwa kepada Mu dan mendapat keredhaan Mu jua. Aamiin.

No comments:

Post a Comment