Sunday, March 26, 2017

ANUGERAH ALLAH ADANYA


Sudah hampir setahun emak terlantar di katilnya, sejak 24 April 2016 lagi. Sejak itu selepas dua minggu dia keluar dari hospital, emak menjalani fisioterapi, dan juga mengikut program mengurut. Semuanya dibuat untuk menjadikan  usaha dan ikhtiar kami, di samping mengambil ubat-ubatan yang perlu. Selainnya jagaan harian dibuat sendiri; cucian dan pakai lampin, makan minum dan lain-lainnya, serba serbi dibuat seadanya dan sebaik yang mampu untuk menjaganya. Bermula dari sejak itu emak terlantar di katilnya dan memerlukan jagaan. Oleh kerana akulah satu-satunya anak perempuan maka dia tinggal bersamaku dibawah jagaanku. Alhamdulillah syukur kepada Allah, yang maha pengasih lagi maha penyayang, suamiku dengan senang hati merelakan aku menjaganya. 

Mengadun pesakit diserang stroke, memerlukan kesabaran, dan memerlukan ketabahan. Dia yang sakit esosinya kurang stabil. Tindakannya juga kurang menentu, sekejap elok sekejap meragam, sekejap murung dan sekejap meracau. Jadi kita yang menjaganya perlu tenang, dan perlu stabil, jika tidak akan stress jadinya.

Alhamdulillah syukur adanya jua, sebab ada juga yang sanggup membantu dalam saat-saat yang sangat memerlukan. Tuhan lapangkan kakak Asriyah, Kak Cik Nurul dan Mak Su Junaidah, dapat menghulurkan bantuan masa dan tenaga, jika keadaan memerlukan aku keluar kawasan untuk urusan yang sangat perlu. Sesekali aku minta pertolongan adik Johari, tapi aku rasa isterinya tidak selesa untuk menguruskan kencing berak emak, sebab akhirnya dia tidak datang-datang lagi menjenguk emak bila diperlukan.

Oleh sebab terasa keseorangan dan sangat-sangat memerlukan bantuan, setiap hari  dipohonkan pertolongan Allah. Setiap hari diminta belas kasihan Allah kepada hambaNya yang tidak berdaya dan tidak lagi berupaya mengurus kehidupan ini sendiri.
"Ya Allah Engkau yang telah menetapkan takdir ini kepadaku. Aku sangat yakin ada kebaikannya kepadaku. Aku sangat yakin inilah yang terbaik untuk ku. Janganlah Engkau biarkan aku seorang diri menghadapi masalah ini. Bantulah aku Ya Allah, berilah kekuatan kepadaku. Jadikan aku sabar, jadikan aku ikhlas dan jadikan aku redha atas segala pemberianMu ini, dan redhalah ke atas ku Ya Allah. Ya Allah aku sangat-sangat memerlukan bantuanMu. Bantulah aku, berilah aku seorang pembantu yang baik. Berilah aku seorang pembantu untuk dapat membantu menjaga emak ku, agar dia sempurna dalam sakitnya. Tolonglah aku ya Allah yang maha mendengar lagi maha mengetahui"

Begitulah, takdir Allah tiada siapa yang tahu melainkan Ia jua.  Tanggal 10 mac, kami mendapat seorang pembantu, Atilah yang akan membantu menguruskan emak. Alhamdulillah syukur pada Mu Ya Allah, Engkau hantarkan aku seorang yang dapat memberikan pertolongan dalam menjaga seorang yang amat aku kasihi. Semoga dapatlah aku berbakti kepada emak dengan sempurna, di samping dapat juga aku menjalani kehidupan ku seperti biasa, insyaAllah. Syukur Ya Allah atas anugerah yang ditakdirkan ini.

No comments:

Post a Comment