Monday, February 15, 2016

MENIMANG CUCU LAGI .....




Ya Allah aku bersyukur yang teramat sangat kepadaMu  ya Allah.. Engkau telah panjangkan usiaku. Dengan segala kasihMu engkau kurniakan aku seorang demi seorang cucu buat penyeri hidup, dan buat menjadi warisan meneruskan legasi keluarga. Kali ini aku ingin menulis tentang seorang cucu lelaki dari satu-satunya anak lelaki yang sulung, Danial Fa-iz Ibrahim. Kebetulan dia lewat bertemu jodoh, mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, jadi lambatlah dia memiliki cahaya mata. Dinamakan cucu lelaki yang menambah seri itu Ali AlFarinn. Dibawah ini ialah cacatan tok wan untuk cucunya itu dan fakta sejarah berkaitannya, agar menjadi kenang-kenangan yang abadi untuk tatapan semua ahli keluarga.




ALI ALFARINN, KETURUNAN KE-7 TOK MAT ALI LANGKAWI
1. Ali Alfarinn bin Danial Fa-iz lahir pada 10 Disember, tahun 2013 di Kuala Lumpur. Ali ialah keturunan ketujuh ‘Tok Ali’ atau ‘Tok Mat Ali’, penduduk Langkawi sekitar 200 tahun lalu.
2. Dr Danial Fa-iz bin Ibrahim, lahir pada 1984 di Alor Setar, anak pertama Dr Ibrahim dan Puan Rahinun. Danial memperoleh anak pertamanya ketika berumur 29 tahun.
3. Dr Ibrahim bin Bakar, lahir pada 1952 di Kampung Bayas, Pulau Langkawi, anak ke-5 Haji Bakar bin Taib dan Sitiamin binti Abdul Rahman. Ibrahim memperolah anak pertamanya ketika berumur 32 tahun.
4. Haji Bakar bin Taib lahir pada tahun ca. 1919 di Kampung Bayas (‘ca.’ menunjukkan anggaran, seperti tercatat pada kad pengenalan), dari hasil perkongsian hidup Taib bin Salleh dengan Syamsiyah binti Abdul Hamid. Haji Bakar ialah anak bungsu Tok Taib (Tok Yit). Abang Hj Bakar bernama Abdul Rahman (Tok Ngah Man), lahir ca. 1915, manakala abang sulungnya Ismail (panggilan, Tok Mail Badak), lahir ca. 1910. Anak pertama Haji Bakar lahir pada 1939, ketika beliau berumur 20 tahun (anggaran). Mulai Haji Bakar ke atas, tahun kelahiran adalah anggaran, sebab pada ketika itu memang belum ada dokumen kelahiran untuk rakyat). Ciri-ciri Haji Bakar: Pernah dihantar belajar agama di Pondok Penanti, Seberang Perai ketika remaja. Suka meneroka ilmu agama hingga akhir hayat. Banyak Kitab Kuning yang miliki dan dipelajarinya. Suaranya kedengaran bengis, tapi hatinya amat lemah lembut, mudah terkeluar air matanya.
5. Taib bin Salleh (Tok Yit) lahir ca. 1880, dari hasil perkongsian hidup bapanya Salleh bin Ali dengan ibunya Yah binti Abdul Rahman (Tok Yah), duduk di Kampung Bayas. Tok Yit berkahwin dengan Tok Syamsiyah, sepupunya sebelah ibu. Tok Yit adalah anak sulung.
6. Salleh bin Mat Ali (Tok Salleh ‘Kaya’) lahir ca. 1850 dan di Kg Candik Kura, Mukim Kedawang. Beliau lahir daripada hasil perkongsian hidup bapanya Tok Ali dan ibunya Tok Halimah, dibesarkan dan tinggal di Kampung Candik Kura.
Tok Salleh adalah anak keempat Tok Mat Ali. Saudara sebelumnya ialah Tok Alang Besar (lahir ca. 1845), Tok Simah (lahir ca. 1840), dan kakak sulung (lahir ca. 1835, nama tidak diingat oleh informan, nama anaknya: Tok Musa ‘Kora’).

Tok Alang Besar mempunyai 5 anak. (1) Tok Man, kahwin Tok Nun binti Salleh ‘Kaya’ sepupunya. (2) Tok Wahab. (3) Tok Tih ‘Alang’, kahwin Tok Nah. Antara anak-anak mereka ialah a) Tok Tam, b)Tok Leha, c) Tok Din ‘Ansun’ (datuk kepada ADUN Kedah, YB Nor Saidi bin Nayan), d) Tok Mayah (Umaiyah) dan e) Tok Su Kiah (kahwin Tok Alang ‘Kechik’).

Saudara Tok Saleh ‘Kaya’ di bawahnya ialah (1)Seorang lelaki, menetap di Parit Buntar (nama tak diingat oleg informan). Anaknya Haji Hassan kembali ke Langkawi, berkahwin dengan Tok Misah binti Jusoh, anak saudara isteri Tok Salleh ‘Kaya’ (tinggal bersama mereka). Haji Hassan dan Tok Misah dikurniakan: a) Ibrahim ‘Eka’, b) Haji Kamariah, kahwin Tok Mawan, dikurniakan Zakaria (bapa Puan Latifah binti Zakaria, kahwin Cikgu Ali), c) Tam, d) Jamaliah, e) Sulaiman ‘Lebai Laju’, dan e) Asma, kahwin Tok Din ‘Kucing Jalang’, f) Husin, g) Talib.

Tok Salleh dikurniakan 4 orang anak, (1) Taib, (2) Tok Nun (perempuan), kahwin Man bin Alang Besar, sepupunya sebelah ayah, (3) Tok Wi (perempuan), kahwin Ibrahim dari Setul, dan (4) Tok Samad (Tok Su), kahwin Tok Cah binti Musa Tok Aris, perempuan dari Padang Matsirat.

Ciri-ciri Tok Salleh ‘Kaya’: Beliau digelar ‘Kaya’ sebab mempunyai hartanah sawah dan kebun, yang luas; dan memiliki ternakan kerbau berpuak-puak tak terbilang banyaknya. Berbadan tegap dan mempunyai kekuatan yang luar biasa dan rajin bekerja membuka kebun dan sawah. Memiliki rumah yang besar, dan satu-satunya penduduk yang memiliki ‘peti nyanyi’ di kampung itu, menandakan jiwanya yang ‘halus dan muzikal’.

7. Tok Mat Ali atau ‘Tok Ali’ dianggarkan lahir pada tahun 1805. Isterinya bernama Tok Halimah. Mereka tinggal di Kampung Candik Kura, Mukim Kedawang, Langkawi. Pasangan ini dikurniakan 7 orang anak. (1) Anak sulung, perempuan, ibu Tok Musa ‘Kora’, lahir ca. 1835, (2) Tok Simah, lahir ca. 1840. (3) Tok Alang Besar, lahir ca. 1845. (4) Tok Salleh ‘Kaya’, lahir ca. 1850. (5) Lelaki, tinggal di Parit Buntar, Perak. (6) Tok Bakar, kahwin Tok Roknah, (7) Nama tidak diingati informan.
Tok Mat Ali telah disemadikan diperkuburan Kampung Candik Kura, sebuah perkuburan tua yang kini masih berfungsi. Tidak diketahui bilakah Tok Mat Ali meninggal dunia.
Tok Saleh ‘Kaya’ juga disemadikan di perkuburan yang sama, berdekatan ayahnya, Tok Mat Ali. Kedua-dua perkuburan mereka ditandakan dengan batu nisan berukuran agak besar, daripada batu bukit, berbanding kubur-kubur lain sekitarnya.

Ibrahim Bakar's photo.
CIRI-CIRI GENETIK KELUARGA TOK ALI:
1. Berukuran tinggi, besar, berbadan tegap dan sasa.
2. Memiliki telapak kaki dan telapak tangan besar.
3. Berkulit cerah.
4. Muka bujur sirih, sedikit lebar.
5. Bertelinga besar.
6. Wajahnya sentiasa kelihatan serius.
7. Bermata agak sepet tetapi pandangannya tajam.
8. Dalam keadaan marah, matanya berapi dan menggerunkan.
9. Dalam keadaan tenang mudah tersenyum dan manis dipandang.
10. Suaranya tegas
11. Hatinya lembut, mudah mengeluarkan air mata.
12. Mudah didekati (friendly).
13. Mudah menyumbang tenaga untuk masyarakat kelilingnya.
14. Gemar ilmu, suka mentelaah buku.
15. Gemar bunyi-bunyian dan budaya.

No comments:

Post a Comment